Tuesday, March 30, 2010

Haruskah - 9

Adam menyerahkan bungkusan kecil yang dibawanya kepada Hans.

“Yang inikah?” tanya Alex.

“Yalah. Aku sudah periksa beberapa kali. Tidak mungkin tersalah.” jawab Adam.

“Tunggu apa lagi, Hans? Pergilah buat kerja kau sana,” arah Alex.

Hans segera mendekati pondok pengawal bersama-sama Hanna. Sementara Hanna berbual-bual dengan pengawal yang memakai tag nama Kasim itu, Hans memasukkan serbuk putih dari bungkusan yang diberikan oleh Adam ke dalam botol air minuman Pak Kasim.

Hanna hanya meninggalkan pondok pengawal itu setelah dilihatnya Hans berjalan ke arah teman-temannya seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.

“Sudah,” Hans memberitahu.

Alex sekadar mengangguk. Hanna terus mengambil begnya dan mendapatkan ayahnya yang baru tiba.

“Aku harap Hanna tidak dibenarkan keluar malam ini,” desis Alex.

“Kau tidak habis-habis mendiskriminasi.” komen Hans.

“Dia perempuan. Aku risau kalau ada apa-apa terjadi pada dia nanti, kita yang dipersalahkan.”

“Ah, cukuplah! Mari kita pulang. Nanti terlewat pula. Sekarang sudah pukul berapa? Aku belum sembahyang Asar lagi,” ujar Adam.

        *        *        *        *        *

Hanna merapati Adam yang sedang memerhati keadaan di sekitar mereka. Pos pengawal sudah agak jauh ditinggalkan. Sukar juga mereka hendak masuk tanpa dikesan sesiapa. Mujur Adam membawa paket ubat tidur milik ibunya semasa sesi kokurikulum petang itu. Hans pula dengan liciknya telah memasukkan ubat itu ke dalam bekas air Pak Kasim yang bertugas pada malam itu.

"Alex, kau sudah matikan semua kamera itu?" Adam cuba menghubungi Alex melalui alat perhubungan jarak jauh dalam genggamannya. Dia cuba tidak melihat alat itu kerana tidak mahu teringat kenangan bersama Puteri Karmila sepanjang dia tinggal di istana. Kerana kasihankan Puteri Karmila yang selalu mengadu tidak dapat tidur malam, dia meminta alat perhubungan seperti itu daripada Raja Puan Anis. Paling tidak dia dapat menemani Puteri Karmila dari kamarnya sahaja.

"Sudah. Ada masa 20 minit untuk kau buat kerja," balas Alex.
Adam dan Hans membuka penutup lorong udara yang terletak berdekatan dengan bilik guru. Mereka menanggalkan penutup itu dalam masa kurang daripada 3 minit. Hans menyusup masuk ke dalam saluran udara itu.

"Aku mahu masuk juga," ujar Hanna.

"Kau duduk sana diam-diam. Jaga-jaga kalau ada orang datang," arah Adam.

"Tidak adil. Aku hendak masuk juga!"

"Hanna. Biar aku dengan Hans yang uruskan benda ini. Bahaya kalau kau ikut sekali." pujuk Adam. Hanna menarik muka.

"Hanna, janganlah macam ini,"

"Pergilah sana!" jerkah Hanna.

Adam mengekori Hans yang sudah selesai membuka penutup lubang udara yang akan dijadikan tempat masuk ke bilik guru. Beberapa minit kemudian, Hans memasang kembali penutup itu. Adam keluar mendapatkan Hanna yang masih panas hati.

"Alex, kami sudah dapat," ujar Adam.

"Bagus. Lima minit lagi sistem itu hidup semula," balas Alex. Hans keluar dari lubang udara dan membersihkan pakaiannya daripada habuk yang menyelaputi bahagian dalam lubang udara itu.

        *        *        *        *        *

Puan Asma memasuki kelas. Semua mata tertumpu ke arahnya. Beberapa orang pelajar berlarian mengambil tempat masing-masing. Suasana sepi seketika. Tikus pun tidak berani berdecit. Hanya desiran angin menghidupkan suasana.

“ Hari ini kita adakan ujian. Sila simpan buku kamu dan jarakkan meja,” arah Puan Asma.

“Tapi cikgu, hari Jumaat baru habis ujian bulanan,” bantah seorang pelajar.

“Itu ujian bulanan. Yang ini ujian untuk unit Kaji Alam. Simpan buku kamu sekarang juga!” tegas Puan Asma.

“Puan, saya dengar ada orang ceroboh bilik guru,” ujar seorang pelajar lagi.

Hanna dan Adam bertukar jelingan. Alex menggenggam tangannya. Hans tunduk merenung lantai.

“Apa kaitannya dengan ujian hari ini?” tanya Puan Asma.

“Saya dengar ada kertas soalan Ilmu Kaji Bumi yang hilang,” balas pelajar itu.

Puan Asma merenung empat sahabat yang kelihatan gelisah di tempat duduk mereka di bahagian belakang kelas.

“Memang ada kertas soalan yang hilang. Tapi itu kertas soalan untuk pelajar kelas satu. Ada sesiapa yang hendak buat bantahan lagi?” tanya Puan Asma. Dia memandang wajah pelajar-pelajar itu satu demi satu.

Puan Asma meneruskan kata-katanya,“Kalau tidak ada apa-apa bantahan, kita mulakan ujian sekarang,”

        *        *        *        *        *

Hanna duduk di pondok menunggu bas di hadapan pagar sekolah sendirian. Beberapa kali dia melihat jam tangannya.

“Mana pula budak-budak itu?  Sudah lambat ini,” Hanna mengeluh sendiri.

Hanna membuka beg dan mengeluarkan buku catatan.

Bahunya ditepuk dari belakang.

“Alex! Kau dari mana? Adam dan Hans belum sampai lagikah?”

“Aku sudah lama sampai. Kau yang belum masuk ke kelas lagi. Hans pun sudah di dataran. Adam sahaja yang belum nampak batang hidung lagi,”

“Nampaknya nama dia akan naik di bilik disiplin lagi minggu ini,” keluh Hanna.

“Biarlah dia buat apa yang dia suka. Yang betul kita sokong. Yang salah kita tegur. Tapi kalau dia tidak mahu dengar, apa lagi yang kita boleh buat? Takkan kau nak biarkan saja dia terlepas bila buat kesalahan hanya kerana dia seorang kawan? Tapi, dia paling suka datang lambat bila tiba giliran kau bertugas, bukan?” ujar Alex.

“Aku pun tidak faham dengan perangai dia. Apa yang dia mahu buktikan? Dia pengawas, tapi paling tidak sekali seminggu mesti dia datang lambat,”

“Aku lebih tidak faham atas alasan apa dia diangkat menjadi pengawas,” balas Alex.

“Aku hendak masuk ke dalam. Ada urusan sedikit. Kau boleh gantikan tempat aku sekejap?”

“Kau hendak ke mana?” tanya Alex.

“Adalah kerja aku,” balas Hanna lalu meninggalkan Alex.

Seketika kemudian, Adam mendekati Alex.

“Alex, Hanna mana?”

“Entah. Katanya ada kerja,” jawab Alex jujur.

“Ada kerja, atau tidak mahu jumpa aku?” ujar Adam sinis.

“Manalah aku tahu kalau dia bohongkan aku. Kau dari mana?”

“Aku dari pintu pagar belakang. Hari ini aku meronda di sana. Kenapa kau tanya?”

“Hanna. Dia risau nama kau naik lagi di bilik disiplin sebab datang lambat,”

“Datang lambat itu bukankah hobi aku? Sejak hari pertama lagi aku lambat datang ke sekolah. Tapi hari ini tidak. Mungkin bukan untuk minggu ini,”

“Kenapa pula? Apa yang berlaku? Tapi baguslah kalau begitu. Lebih baik kau tinggalkan terus tabiat datang lambat itu,” ujar Alex.

Adam membisikkan sesuatu di telinga Alex. Segera dia menekup mulut Alex apabila melihat temannya itu hampir-hampir meletuskan tawa.

“Diamlah!” desis Adam.

“Kau beritahu sajalah pada dia. Bukannya susah,”

“Aku rasa belum masanya. Kau pun janganlah beritahu satu dunia pula.”

“Apa gunanya aku beritahu satu dunia? Lebih baik aku ceritakan pada Hanna,” Alex masih belum puas menyakat.

“Itu namanya mencari nahas. Kau jangan cuba cari fasal dengan aku!” Adam mengugut. Dia segera meninggalkan Alex.

        *        *        *        *        *

Adam memerhatikan notis-notis yang ditampal di hadapan bilik kaunseling. Beberapa pertandingan yang sedang berlangsung menarik perhatiannya. Namun, dia terus beredar tanpa mencatat apa-apa maklumat.

“Adam, aku nampak banyak notis di hadapan bilik kaunseling tadi. Kau ada baca, bukan? Notis apa yang ada?” tanya Alex.

“Macam-macam. Pertandingan, kursus kepimpinan, pendaftaran kelab seni mempertahankan diri, jadual peperiksaan,” balas Adam.

“Pertandingan?”

“Pertandingan rekacipta. Ada juga pertandingan menulis esei. Olimpiad ilmu hisab ada. Pertandingan teater dan pantomim juga ada,”

Hans yang mendiamkan diri sejak tadi mula memberi perhatian. Namun, suaranya masih tidak kedengaran.

“Bila tarikh tutup pertandingan rekacipta?” tanya Alex lagi.

“Sebulan dari sekarang. Kenapa?”

“Boleh kau tolong ambilkan borangnya? Aku jarang ke sana,”

“Kau mahu ikut pertandingan rekacipta?” tanya Hanna.

“Yalah.”

“Aku hairan tengok kau. Kalau bab rekacipta, cepat saja kau bertindak. Kalau belajar ilmu hisab, hancur..”

“Hanna, jangan naikkan darah aku hari ini, boleh?” tegur Alex.

“Oh. Aku minta maaf. Janganlah terasa hati,” ujar Hanna. Alex menghela nafas dalam-dalam. Panas benar hatinya mendengar komen Hanna.

Saturday, March 27, 2010

Haruskah - 8

Adam duduk sendirian di bawah sebatang pohon. Dia duduk bersandar pada batang pohon itu. Pelajar yang ditinggalkan di bawah jagaannya hanya dijeling sekali-sekala. Malas rasanya hendak menyakat. Sesekali bunyi unggas bersahutan menegakkan bulu tengkuknya. Adam menggosok-gosok lengannya untuk menghilangkan rasa seram yang mengusik hatinya.

“Kanda Adam,” Bisikan itu kedengaran lagi.

“Pedulikan!” desis Adam.

“Kanda sudah tidak sayangkan dinda lagikah?”

“Adam bukan kanda Tuanku Puteri.”

“Kanda, janganlah begini. Tolonglah. Ila perlukan kanda,”

Adam memegang kepalanya yang terasa sakit tiba-tiba.

“Jangan pujuk Adam lagi! Jangan pujuk Adam lagi!”

Berkali-kali Adam mengulangi ayat itu.

“Ila akan terus pujuk kanda sampai kanda mahu pulang ke Mahligai Kayangan,”

Adam menyumbat kedua-dua telinganya dengan jari.

        *        *        *        *        *

“Adam, kau sudah sedar?” Suara Hanna menyapa.

Adam memerhati keadaan sekelilingnya.

“Apa yang terjadi?”

“Kau pengsan semasa aktiviti kembara. Encik Akmal kata kau macam meracau-racau. Kau asyik sebut nama Ila dan Puteri. Kau ingat apa-apa tentang itu?”

Adam membisu. Soalan Hanna dibiarkan sepi. Matanya meliar seolah-olah mencari sesuatu.

“Ibu kau baru keluar. Sebentar lagi dia kembali.” ujar Hanna. Dia memberi laluan kepada doktor yang baru tiba bersama Alex dan Hans untuk memeriksa keadaan Adam.

Adam merelakan saja apa yang dilakukan oleh doktor itu ke atasnya. Suntikan yang diberikan seolah-olah tidak terasa. Fikirannya buntu mengingatkan apa yang terjadi pada malam itu.

Kehadiran Hasnah meredakan ketegangan yang dirasai Adam. Setelah doktor yang memeriksa Adam menyelesaikan tugasnya, Hasnah menghampiri Adam dan mengucup dahinya. Adam tersipu apabila ternampak Hanna sedang menekup mulut menahan tawa.

        *        *        *        *        *

"Adam, kau boleh tolong ajarkan aku buat latihan Ilmu Hisab malam ini? Esok kena hantar," pinta Alex.

"Kau belum siapkan lagikah? Bukankah semalam kita sudah bincangkan soalannya sama-sama. Aku hendak buat ulangkaji Ilmu Kaji Bumi malam ini. Hari Jumaat nanti ada ujian bulanan," jawab Adam.

"Bolehlah," pujuk Alex.

"Hanna dan Hans pun hendak buat ulangkaji Ilmu Kaji Bumi juga," ujar Adam.

"Tidak apalah. Kau ajar aku yang mana aku belum faham saja. Kau masih boleh buat ulangkaji,"

"Yalah. Tapi malam ini kau jangan lambat pula. Lepas Isyak, berkumpul di rumah aku," putus Adam akhirnya. Alex menarik nafas lega.

Malam itu, Alex yang paling awal tiba di rumah Adam. Terpinga-pinga dia melihat keadaan di dalam rumah itu yang tersusun dan agak mewah.

"Kau dari keturunan dirajakah, Dam?" tanya Alex. Dia membelek-belek beberapa buah tembikar berukiran tangan yang diletakkan oleh Hasnah di ruang tamu.

"Jangan merepek, Alex. Kau pun tahu aku anak Mahkota Peribumi. Mana pernah aku berdarah diraja,"

"Ah, tempat ini pun pernah beraja dulu, Dam. Kau tidak ingat lagi apa yang guru Sejarah kita ajar semalam? Kerana mahukan kemerdekaan dan pemerintahan sendiri, rakyat kita kehilangan seorang raja yang amat menyayangi warga kotanya. Seharusnya kita masih lagi berada di bawah naungan Mustika Fansuri,"

"Kita di sini tinggal dengan hutan saja. Mana ada kota di kawasan ini. Pekan kecil adalah," balas Adam. Alex tersengih.

"Betul juga kata Adam," bisiknya.

        *        *        *        *        *

Kelibat Puan Akma membuatkan suasana kelas yang bingit menjadi senyap secara tiba-tiba. Adam masih tenang di tempatnya. Hanna mengeluarkan buku teks dan buku latihan dari beg. Hans pula sudah mula mencatat apa yang ditulis oleh guru mereka di papan. Hanya Alex yang kelihatan gelisah.

“Hari ini kita akan mula belajar topik matriks. Saya mahu kamu semua tumpukan perhatian terlebih dahulu. Kamu boleh simpan semua buku yang ada. Saya cuma mahu tengok pen dan kertas sahaja yang ada di atas meja kamu,” arah Puan Akma.

Alex segera memasukkan buku rampaiannya ke dalam beg semula. Adam menggelengkan kepala melihat kelakuan Alex. Senyum yang hampir terukir ditahan-tahan.

“Alex, kamu faham atau tidak apa yang saya ajar tadi?” tanya Puan Akma sewaktu melintasi meja mereka berempat. Ketika itu, Adam dan teman-temannya yang lain sedang cuba menyelesaikan soalan yang diberikan.

Alex menggelengkan kepala beberapa kali.

“Alex, Alex. Sudah berapa kali saya ingatkan. Kalau tidak faham, bertanyalah. Tidak ada apa-apa yang perlu kamu malukan. Semua teman-teman kamu juga belajar dari bawah.” bebel Puan Akma. Dia meminta pensel yang digunakan Alex dan mula menerangkan topik kecil yang diajarnya tadi.

        *        *        *        *        *

Malam yang sepi bagai menarik-narik Adam ke katilnya. Komputer riba yang diletakkan di sisi katil Adam berbunyi lagi menandakan ada mesej yang baru masuk. Alex, Hanna dan Hans masih berada di ruang sembang maya. Sengaja Adam membiarkannya terbuka sebelum menunaikan sembahyang Isyak tadi.

Alex:    Adam sudah tidurkah? Senyap saja dari tadi.
Adam:    Belum lagilah. Aku baru habis sembahyang. Kenapa?
Alex:    Aku baru teringat sesuatu.
Hans:    Apa yang kau ingat?
Hanna:    Apa pula yang kau lupa?
Alex:    Minggu depan ada ujian Ilmu Kaji Bumi lagilah.
Adam:    Kau biar betul! Tadi baru habis ujian, minggu depan ada lagi?
Hanna:    Mana kau tahu?
Alex:    Aku dengar Puan Asma kata dia hendak buat ujian mengejut minggu depan.
Adam:    Kalau kau sudah tahu, tidaklah mengejut namanya.
Alex:    Agaknya dia tidak perasan aku lalu di situ.
Hans:    Habis itu, kau hendak buat apa?
Alex:    Aku risau ini. Aku mana habis buat ulangkaji lagi.
Hanna: Aku pun belum habis lagi.
Hans:    Agaknya untuk kelas dia saja.
Alex:    Tidak mungkin. Dia kata soalan sudah siap untuk pelajar Kelas Satu dan Dua.
Adam:    Esok kita buat ulangkaji lagi.
Alex:    Tidak sempat, Adam. Kau lupa berapa banyak lagi peta yang kita belum lukis?
Hans:    Betul. Kelas lain pun sudah jauh belajar. Kita saja yang ketinggalan.
Hanna:    Aku tidak mahu disuruh buat pembetulan 50 kali.
Adam:    Habis itu, kau hendak buat apa?
Alex:    Kita ambil kertas soalan itu dan buat dahulu sebelum orang lain.
Hans:    Kau gilakah? Bagaimana kita hendak masuk ke bilik guru itu?
Alex:    Aku sudah tahu caranya.
Hanna:    Tempat itu dikawal dengan kamera litar tertutup. Mustahil kita boleh masuk.
Alex:    Kita matikan sahaja kamera-kamera itu.
Adam:    Kau buat seoranglah. Aku belum cukup gila lagi. Kena cekup pula nanti.
Hans:    Macam seronok saja.
Hanna:    Aku mahu ikut!
Alex:    Hanna, kau perempuan. Kau duduk di rumah sajalah.
Hans:    Adam, kau bagaimana?
Hanna:    Aku mahu ikut juga!
Adam:    Sudah lama juga aku tidak menghendap. Tapi, selamatkah rancangan kau ini?
Alex:    Selamat. Aku sudah pernah cuba.
Hans:    Kau cuba di mana?
Alex:    Kedai SiberZero. Kalian pun tahu kedai itu serba canggih. Nama saja Zero.
Hanna:    Apa yang kau curi dari kedai itu?
Alex:    Eh, aku tidak curi apa-apalah! Aku cuma pinjam kedai sekejap. Dengan izin!
Hans:    Ada harapan kau menang pertandingan rekacipta tahun ini.
Alex:    Kalau tidak ketahuan, bolehlah aku masuk pertandingan itu.
Hanna:    Kau benarkan aku ikut atau tidak?
Alex:    Kau duduk di rumah sajalah.
Hanna:    Terima kasih. Nanti aku tolong laporkan pada pengetua fasal ini.
Alex:    Eh, janganlah! Yalah. Kau ikutlah.
Hanna:    Ha! Dapat juga aku ikut.
Hans:    Aku mengantuklah. Aku hendak tidur dahulu.
Hanna:    Kau tidak ada kerja lainkah, Hans? Melayan mata saja.
Alex:    Aku pun hendak tidurlah, Hanna. Sudah hampir pukul satu sekarang ini.
Hanna:    Adam mana?
Alex:    Entah. Agaknya dia sudah sampai ke istana kayangan. Aku tidur dahulu.
Hanna:    Tinggal aku seorangkah?
Hanna:    Hans!
Hanna:    Adam!
Hanna:    Sampai hati betul!


*Apa yang akan mereka lakukan? Nantikan sambungannya..

Monday, March 22, 2010

Haruskah - 7

Hanna, Adam, Hans dan Alex duduk berempat di bawah pokok yang rendang. Pemandangan dari atas bukit di belakang sekolah mereka amat menarik hati. Biarpun kedudukan mereka jauh dari pantai, Adam dapat melihat asap dari cerobong kapal yang berlabuh di sebalik bukit sana. Hanya bukit itu saja yang menghalang pandangan mereka daripada suasana tenang Laut Fansuri Biru.

Di belakang mereka, batang pokok yang dijadikan tempat mereka bersandar itu ditoreh dengan nama mereka berempat, sebagai tanda persahabatan. Suasana rembang petang yang sunyi itu mendamaikan.

Di kaki mereka, bersepah tanah merah. Berdekatan dengan pokok itu pula kelihatan sebuah lubang yang baru ditimbus. Di wajah masing-masing terpancar kepuasan yang datang entah dari mana.

Kehidupan yang jauh dari hiruk pikuk kota membuatkan udara yang masuk ke paru-paru dengan setiap hela nafas mereka terasa menyegarkan. Mungkin itulah kelebihan alam bumi bertuah yang dipijak mereka. Meski kehidupan mereka tidak semewah penduduk di Negeri Indah Laksana, keharmonian antara kaum yang dapat dijaga sejak dahulu membuatkan Adam berasa bertuah kerana berpeluang kembali ke tanah kelahirannya.

* * * * * * * * * *

Kilauan permata pada cincin yang digunakan oleh Hasnah menarik perhatian Adam. Dia memerhatikan ukiran pada cincin bermata satu itu beberapa ketika.

“Bu, dari mana ibu dapat cincin ini?” tanya Adam.

“Ini cincin pernikahan ibu,” balas Hasnah.

“Tapi kenapa coraknya sama dengan corak cincin Raja Puan Anis?”

“Kebetulan hampir sama agaknya. Ibu pun tidak pernah tengok cincinnya,”

“Agaknya,” desis Adam.

“Kenapa, Dam?”

“Corak cincin ini sama dengan lambang kerajaan Indah Laksana,”

“Ibu pernah ke sana. Cincin ini ibu dapat dari sanalah,”

“Agaknya ayah Adam ada di sana atau tidak?”

Hasnah hanya tersenyum hambar.

“Ibu?”

“Entahlah, Dam. Ibu pun tidak tahu. Sudahlah. Adam pergilah tidur. Esok sekolah,”

* * * * * * * * * *

Hans, Hanna dan Alex berjalan beriringan menuju ke kantin. Rasa lapar yang meluap-luap setelah seharian di sekolah membuatkan langkah mereka lebih pantas. Adam mengekori dari belakang. Ketiga-tiga teman sekelasnya itu seolah-olah lupa akan kehadirannya di situ.

"Hanna, kau bukan ada latihan bola keranjangkah petang ini?" tanya Adam. Hanna menoleh.

"Mana Adam tahu?" tanya Hanna. Adam menunjuk ke arah gelanggang bola keranjang yang mereka lalui ketika itu.

"Mereka buat latihan lebih awal. Aku datang kemudian. Kebanyakan pelajar yang ada di sana pelajar dari kelas rendah yang baru hendak mencuba-cuba saja bermain. Kau lihat itu," tunjuk Hanna. Seorang pelajar perempuan yang cuba melakukan jaringan terlanggar pelajar yang menjaga pos.

"Itu tandanya dia pemain baru. Jarang pemain bola keranjang di sekolah ini melakukan kesalahan yang terlalu amatur seperti itu,"

"Maksud Hanna?" tanya Adam.

"Adam datang tengok Hanna bermain petang ini. Pukul 5," ujar Hanna. Dia terus ke kaunter yang disediakan untuk pelajar perempuan, meninggalkan ketiga-tiga temannya. Adam menggeleng dan mengangkat bahunya, masih tidak mengerti.

"Kau layan sangat budak Hanna itu," komen Alex setelah Hanna berlalu agak jauh. Hanna menoleh ke belakang seketika membuatkan Alex kecut perut. Hans sudah duduk di salah sebuah meja, menikmati laksa yang dibelinya. Hanna duduk di sampingnya setelah membayar makanan.

"Alex, tidak mahu makankah?" tegur Adam seketika kemudian. Alex menuju ke kaunter untuk membeli makanannya. Adam berjalan bersamanya ke arah meja tempat Hanna dan Hans menjamu selera.

* * * * * * * * * *

Petang itu Adam menemani Hanna ke gelanggang bola keranjang. Alex dan Hans tidak mahu mengikut. Adam duduk sendirian di tempat duduk penonton yang disediakan di tepi gelanggang.

Ketangkasan Hanna menjaringkan gol dan membuat serangan tidak dapat dinafikan. Beberapa kali penjaga pos lawan Hanna tersasar haluan. Pergerakan gadis lincah itu tidak dapat dibaca sama sekali.

"Macam mana permainan Hanna tadi?" tanya Hanna setelah tamat sesi latihan yang pertama.

"Bagus," komen Adam. Dia sendiri kurang arif dengan permainan itu. Selama berada di istana, dia hanya bermain kejar-kejar atau sembunyi-sembunyi dengan Puteri Karmila. Kadangkala Raja Iskandar mengajaknya berlatih memanah dengan menggunakan busur dan anak panah khas yang ditempah mengikut saiz tubuh Adam. Sesekali dia diajar menunggang kuda, berlumba dengan Adi, putera Raja Ismaail.

"Adam kenapa?" tanya Hanna. Dia menepuk bahu Adam agak kuat menyebabkan Adam kembali ke dunia nyata.

"Eh, tidak ada apa-apalah," jawab Adam.

"Lepas ini kita ke kafe. Alex dan Hans sudah janji hendak datang," ujar Hanna. Dia meninggalkan Adam untuk menyambung latihannya.

* * * * * * * * * *

"Adam ke mana tadi? Puas ibu cari," ujar Hasnah apabila melihat kelibat Adam.

"Awalnya ibu balik," ujar Adam. Dia menyalami tangan ibunya. Hasnah mengucup dahi Adam.

"Pandai Raja Puan Anis mendidik anak," desisnya di dalam hati.

"Adam ke sekolah tadi, ibu. Temankan Hanna berlatih. Minggu depan ada perlawanan katanya,"

"Perlawanan apa?"

"Bola keranjang," jawab Adam pendek.

"Alex dan Hans tidak ikut sekalikah? Ibu nampak mereka di bandar tadi,"

"Tidak. Mereka kata ada kerja yang perlu diselesaikan. Lepas latihan tadi kami makan di kafe di depan sekolah,"

Hasnah mengangguk. Dia meneruskan tugasnya di dapur itu. Adam berlalu ke bilik air.

Selepas menunaikan solat Maghrib, Adam makan malam bersama ibunya.

"Ibu, banyak sangat ini," ujar Adam. Pinggan di hadapannya sudah penuh dengan nasi dan lauk air tangan Hasnah.

"Tidak banyak. Ibu tahu Adam makan macam mana," balas Hasnah. Adam menelan liur. Agaknya segala kelakuan dan kegemarannya sudah diberitahu oleh Raja Puan Anis kepada Hasnah. Kecur liur dia melihat ayam masak merah yang disediakan Hasnah petang itu.

* * * * * * * * * * *

"Adam, ajarlah Hanna cara buat unggun ini," ujar Hanna. Dia kagum melihat Adam menghidupkan unggun kecil hanya berbekalkan dua ketul batu dan beberapa helai daun kering.

"Kau hendak belajar benda ini buat apa, Hanna? Kau perempuan. Tidak sesuai kau buat kerja itu. Lebih baik kau ambil pemanggang sana. Kau lebih layak jadi ahli dapur," usik Alex. Kadangkala dia rimas dengan Hanna yang sepertinya tidak mahu menerima fitrahnya yang dilahirkan sebagai perempuan.

"Eh, suka hati akulah hendak belajar apa! Kau tahu apa? Tahunya hendak makan saja. Kaulah yang panggang ayam!" bentak Hanna.

"Sudahlah. Biar aku saja yang buat. Kalian berdua macam sudah tidak ada kerja lain. Ada sahaja yang hendak dibalahkan," ujar Hans. Dia mengambil alat pemanggang yang dibawa dan memasukkan arang yang sudah membara dari unggun api ke dalamnya. Hanna dan Alex terus bermasam muka sehingga senja menjelang.

* * * * * * * * * *

Malam yang sepi disulami dengan rengekan cengkerik dan sahutan burung hantu. Sesekali kelihatan beberapa ekor kelawar melintasi kawasan perkhemahan mereka.

“Kanda Adam,”

Panggilan itu membuatkan Adam hampir melompat.

“Puteri Karmila?”

“Bila kanda hendak pulang ke Mahligai Kayangan?”

“Tuan Puteri, tolonglah jangan pujuk Adam lagi. Adam tidak akan pulang ke sana,”

“Kanda tidak ingat kenangan kita? Dulu kanda selalu temankan dinda naik ke atas bumbung istana. Walaupun kanda mengantuk, kanda sanggup temankan dinda tengok bintang. Kalau tidak lama, sekejap pun jadilah,”
Dada Adam mula terasa sebak.

“Puteri, jangan ingatkan Adam. Kenangan itu sudah lama berlalu.”

“Bagaimana dengan kuda kita? Ila sudah lama tidak ke padang latihan. Kalau ada kanda, tentu ayahanda benarkan,”

Adam menghela nafas, berpura-pura tidak mendengar.

“Adam seorang sahaja kekanda Ila. Sekarang Ila sudah tidak ada teman. Kanda baliklah,” desak Puteri Karmila.

“Adi ada,” desis Adam.

“Kanda, marilah kita pulang,” Puteri Karmila masih tidak berputus asa.

Adam tunduk merenung bara api yang sejak tadi dikuis-kuis dengan kayu. Cahaya yang terbit dari bara itu sudah semakin malap.

“Adam,”

“Cukup Ila!” getus Adam seraya menepis tangan yang menyentuh bahunya.

“Siapa Ila?” tanya Hanna. Sekali lagi Adam terperanjat. Dia memandang keliling. Hanya dia dan Hanna di situ.

“Eh, Hanna rupanya,” desis Adam.

“Adam mengigaukah? Adam bercakap dengan siapa tadi?”

Adam tidak tahu hendak menjawab apa.

“Marilah pulang ke khemah. Cikgu sudah lama cari Adam. Malam ini ada aktiviti kembara. Cikgu hendak bahagikan tugas,” kata Hanna.

Adam bangkit dan mengekori langkah Hanna. Dia menoleh ke pinggir bukit tempatnya melepaskan lelah tadi. Sekali imbas, Adam ternampak seolah-olah Puteri Karmila melambaikan tangan ke arahnya. Apabila Adam menoleh sekali lagi, tempat itu kosong sepertimana dia meninggalkannya.

“Bayangan aku sahaja,” getus Adam.

Lambang Indah Laksana

Friday, March 19, 2010

Haruskah - 6

"Adam, bangun nak. Kita akan ke sekolah pagi ini. Adam sudah sembahyang Subuh atau belum?" tanya Hasnah. Adam duduk di bucu katilnya. Hasnah duduk di sisi Adam. Dia merenung wajah anak tunggalnya yang sudah terlalu lama tidak ditemui. Tidak disangkanya Adam boleh bertindak sendirian sehingga menemuinya di situ. Meskipun dia tahu Adam diiringi oleh pengawal peribadi yang menyamar, hatinya tetap tidak tenang.

"Ibu," Adam memeluk ibunya.

"Cepatlah siap, Dam. Sekejap lagi kita ke sekolah," ujar Hasnah seketika kemudian. Dia cuba meleraikan pelukan Adam.

"Nantilah dulu, ibu. Adam rindukan ibu,"

"Adam ini ada-ada saja. Balik dari sekolah nanti pun Adam boleh jumpa ibu lagi,"

"Ibu berjanji tidak akan tinggalkan Adam lagi?" tanya Adam.

"Ibu tidak akan tinggalkan Adam macam dulu. Lagipun, kehidupan ibu sekarang sudah berubah. Semuanya kerana Raja Puan Anis,"

"Adam mahu berjumpa dengan ayah," pinta Adam.

"Adam, ayah Adam keluar negeri. Ibu pun sudah lama tidak berjumpa dengan ayah Adam," balas Hasnah.

"Kita cari dia,"

"Jangan mengarut, Dam. Ibu tidak tahu dia di mana. Pergilah bersiap. Nanti lambat pula hendak ke sekolah. Di sini bukannya seperti di Negeri Indah Laksana. Waktu sekolah bermula sebelum pukul tujuh,"

"Adam tidak tahu pun waktu sekolah di sana, bu,"

"Adam tidak ke sekolahkah?"

"Adam belajar dengan guru persendirian, bersama Puteri Karmila,"

"Ibu lupa pula anak ibu tinggal bersama keluarga diraja. Eh, cepatlah! Biar ibu siapkan sarapan," Hasnah meleraikan pelukan Adam. Dia mengucup dahi Adam.

"Pergi mandi sana. Anak ibu busuklah," ujar Hasnah sebelum meninggalkan bilik itu.

"Ibu!" ujar Adam separuh menjerit. Geram rasanya diusik seperti itu.

* * * * * * * * * *

Suasana hiruk-pikuk membingitkan telinga. Adam memandang keliling. Rasa takjub jelas terukir di wajahnya.
Lirikan matanya dilarikan ke setiap penjuru bangunan tiga tingkat itu. Dia mencongak-congak. Tidak pernah dia melihat kanak-kanak seramai itu berkumpul di tempat yang sama.

“Ini sekolah Adam,” Hasnah memberitahu.
Adam sekadar mengangguk. Dia membuntuti langkah Hasnah ke ruang pejabat.

Setelah selesai segala urusan pendaftaran, mereka dibawa ke kelas. Adam masih leka memerhati anak-anak sebayanya ketika tiba di kelas yang dimaksudkan.

“Adam,” Hasnah menegur.
Guru yang mengiringi mereka tersenyum manis memandang Adam. Tingkahnya seolah sentiasa menyenangi setiap kelakuan Adam.

“Ini kelas kamu. Berkenalanlah dengan teman-teman. Kalau ada apa-apa masalah, jumpa saya di bilik kaunseling. Saya sudah tunjukkan tempatnya tadi, bukan?”

“Baik,” balas Adam ringkas.

* * * * * * * * * * *

Keletah anak-anak remaja sememangnya sukar ditelah. Meladeni mereka seolah-olah melayani puteri raja terkadang tidak mencukupi. Maklum saja, hati remaja tidak mudah dipuaskan dengan sekadar kata-kata.

Adam duduk di salah sebuah kerusi kosong di bahagian belakang, memerhatikan teman-teman sekelasnya sementara menanti guru mereka tiba. Beberapa orang cuba mendekati dan memperkenalkan diri. Adam menyambut seadanya.

“Adam Qushairy,” Adam membalas apabila ditanya namanya.

Beberapa pasang mata menjeling tajam. Takut-takut untuk menghulur kata. Mungkin kerana susuk tubuh Adam yang kelihatan tegap, tidak seperti kebanyakan remaja seusianya.

“Hanna,” Seorang gadis mendekati Adam dan menghulurkan tangan.

“Maaf, tapi saya tidak boleh sambut tangan awak. Bagaimanapun, salam perkenalan,” Adam membalas separuh berbisik.

“Oh, maaf. Saya terlupa,” ujar Hanna. Dia kelihatan tersipu seketika.

“Hanna, sudahlah. Jangan sampai aku meluat,” tegur seorang temannya. Adam memandang ke arah orang yang bersuara.

“Saya Hans. Yang ini Alex,”

“Adam Qushairy,” Kali ini Adam menyambut huluran tangan mereka.

“Awak hendak duduk di mana?” tanya Hans. Adam mencari-cari tempat duduk yang kosong.

“Di sebelah saya masih ada kosong lagi. Nanti kita ambil meja dan kerusi awak di stor. Meja yang itu sudah hampir roboh,” Hanna menawarkan.

Adam mengangkat bahu.

“Nanti kami tolong,” kata Hans. Dia tersenyum simpul.

* * * * * * * * * *

“Bagaimana sekolah?” Hasnah menyapa Adam.

“Ibu! Terperanjat Adam! Ibu tidak bekerjakah hari ini?”

“Ibu sudah berjanji hendak berjumpa Adam selepas pulang dari sekolah. Sekarang, jawab soalan ibu pula. Adam belum jawab lagi soalan ibu,” Hasnah mengingatkan.

“Adam tidak tahu hendak jawab apa,”

“Ramai teman baru Adam?”

“Ramai juga,” balas Adam. Dia meletakkan begnya di atas sofa dan segera mendakap ibunya.

“Pergilah basuh tangan sana. Kita makan dulu. Selepas itu, Adam jangan lupa solat, ya?”

“Ibu hendak ke mana?”

“Ibu hendak ke kedai. Sebentar saja. Nanti ibu terus pulang,”

Hasnah meninggalkan Adam selepas mengucup dahi anak tunggalnya itu.

* * * * * * * * * *

Detik waktu terus berputar. Setiap pagi, mentari menjanjikan hari baru yang lebih baik buat Adam. Lama-kelamaan, Adam semakin rapat dengan tiga orang teman sekelasnya, Alex, Hans dan Hanna.

Sesekali Adam membuka kotak kecil yang dibawanya sejak hari pertama meninggalkan Mahligai Kayangan. Kotak itu merupakan pemberian Puteri Karmila. Di dalamnya hanya terisi dengan beberapa buah buku yang sering mereka baca bersama, sebatang anak panah yang terpatah dua dan bekas minyak panas. Hanya Adam yang tahu makna barang-barang itu.

Setiap kali dia terasa sukar untuk lelap, Adam merenung ke luar jendela. Kadangkala Adam memanjat ke luar tingkap dan berbaring di atas bumbung seperti yang biasa dilakukannya semasa di istana.

“Adam, apa yang Adam buat di luar malam-malam begini? Bahaya naik ke bumbung dalam gelap. Nanti tergelincir,” tegur Hasnah.

Adam segera bangkit dan masuk ke dalam rumah. Setelah Hasnah masuk ke biliknya, Adam keluar kembali. Kali ini dia mengunci pintu biliknya dari dalam.

“Agaknya Puteri Karmila sudah tidur atau belum sekarang?” Adam bertanya. Soalannya dibawa angin lalu. Adam membiarkan sahaja, kerana dia tahu tidak ada sesiapa yang dapat menjawab soalan itu melainkan Puteri Karmila.

*Nota Penulis: Entri kali ini mungkin agak suram. Kepada sesiapa yang baru pertama kali membaca kisah ini, anda belum terlambat. Di bawah ini disertakan link ke entri-entri sebelum ini.

Bah. 5

Thursday, March 18, 2010

Haruskah - 5

“Bagaimana dengan Adam?” tanya Raja Puan Anis sebaik sahaja melihat kelibat adindanya.

“Maafkan adinda, kanda. Adam tidak dapat diselamatkan. Dia mohon untuk pergi dari sini,”

“Dinda ceritakan segala-galanya pada Adam?” Raja Iskandar pula yang bertanya.

“Ya, kecuali hal yang hanya kita bertiga tahu,” balas Raja Ismaail.

“Agaknya siapa lagi yang boleh memujuk Adam?”

“Entahlah. Puteri Karmila di mana, kanda?”

“Sudah di peraduannya. Penat kanda pujuk baru dia terlelap,” desis Raja Puan Anis.

“Sekarang bagaimana?”

“Kita terpaksa lepaskan Adam. Paling tidak, pertikaian kita dengan Raja Long akan selesai,” kata Raja Iskandar.

“Kanda mampu lupakan Adam?” Raja Ismaail menyuakan soalan. Raja Iskandar tertunduk.

“Kita pulangkan Adam kepada ibunya,” Raja Puan Anis mencadangkan.

“Dinda..” tegur Raja Iskandar.

“Itu sahaja cara yang terbaik. Lagipun, seorang ibu lebih berhak ke atas anaknya daripada orang lain,”

“Adakah itu bermakna kanda tidak akan pernah bertemu Adam lagi?” tanya Raja Iskandar.

“Hanya takdir yang menentukan,” balas Raja Puan Anis.

* * * * * * * * * *

"Kanda Adam, janganlah tinggalkan dinda. Dinda  tidak ada teman selain kanda," pujuk Puteri Karmila. Adam keraskan hati. Dia tidak mahu mendengar rayuan Puteri Karmila lagi.

"Jangan pujuk Adam lagi, Puteri Karmila. Adam bukan kekanda Tuanku. Benarkan Adam menjejaki ibu bapa kandung Adam. Takhta dan segala kemewahan itu bukan milik Adam. Semuanya milik keluarga Puteri," putus Adam.
Puteri Karmila menangis semahu-mahunya. Dia memeluk bondanya dengan erat.

"Tuanku, benarkan Adam pergi tanpa pengiring. Adam tidak ada hak untuk dijaga seperti ini," kata Adam sewaktu matanya bertentang dengan mata Raja Iskandar. Lelaki itu tidak sempat membantah apabila Adam terus berkata-kata.

"Halalkan air susu yang Adam minum, makanan yang Adam makan dan pakaian yang Adam pakai. Tidak mungkin Adam dapat menggantikan semuanya," ujar Adam pada Raja Puan Anis. Wanita itu cuba mendakap Adam.

"Jangan sentuh Adam lagi," bantah Adam.

"Puteri Karmila, jaga martabat keluarga Puteri. Jangan cari Adam lagi. Adam tidak mungkin balik ke Mahligai Kayangan. Tempat Adam bukan di sana,"

Dengan kata-kata itu, Adam meninggalkan keluarga angkatnya dan masuk ke dalam balai berlepas lapangan terbang Mustika Fansuri. Pengawal yang ditugaskan oleh Raja Iskandar untuk mengiringinya cuba mengekori tetapi Adam menghalang.

"Biarkan. Kalau itu permintaan terakhirnya sebagai anakanda beta, biarkan dia bebas membuat pilihan," ujar Raja Iskandar apabila pengiring itu kembali dengan aduannya. Matanya sendiri sudah memerah menahan sebak. Anak yang sering dikendongnya sewaktu masih bayi kini sudah pandai membuat keputusan sendiri biarpun usianya belum mencecah 12 tahun. Alangkah cepatnya anak itu matang walaupun dalam didikan istana yang sepertinya memanjakan Adam.

Berbekalkan alamat terakhir ibu kandungnya yang disimpan oleh Raja Puan Anis dan sekeping gambar, Adam cuba menjejaki ibu kandungnya. Arah tujuan Adam adalah Mahkota Peribumi.


*Ikuti kisah seterusnya. Sila tinggalkan komen anda. Terima kasih kerana sudi membaca. Entri kali ini pendek sahaja.

Sunday, March 14, 2010

Haruskah - 4

Adam dan Puteri Karmila menyelinap ke bahagian belakang kamar masing-masing di mana terletaknya laluan rahsia untuk digunakan pada waktu kecemasan oleh kerabat diraja. Tidak seorang pun pengawal mahupun dayang istana yang menyedari kehilangan mereka dari peraduan walaupun dayang-dayang yang ditugaskan datang menjenguk setiap lima minit.

"Kanda, masih jauh lagikah? Banyak nyamuklah di bawah sini," tanya Puteri Karmila. Dia sudah kerimasan kerana laluan itu dipenuhi dengan nyamuk-nyamuk yang kebuluran.

"Sekejap saja lagi. Di depan sana. Itu tangga untuk ke pintu laluan rahsia yang terdekat dengan dewan," tunjuk Adam.

"Adam naik sendirilah. Dinda tunggu di sini saja," ujar Puteri Karmila setelah mereka tiba di tangga yang dimaksudkan.

"Mana boleh kanda tinggalkan dinda sendirian di sini. Lagipun, tadi dinda sendiri yang mengadu banyak nyamuk. Dinda naik dulu. Biar kanda yang tutup pintu ini nanti," Adam menolak Puteri Karmila ke arah tangga. Mahu tidak mahu, Puteri Karmila terpaksa menurut.

Setelah menutup pintu laluan ke bawah tanah, Adam mengintai-intai ke sekeliling. Melihat kawasan itu tidak ada pengawal, barulah dia berani melangkah.

* * * * * * * * * *

Adam dan Puteri Karmila memasang telinga. Mereka bersembunyi di sebalik tiang berdekatan salah satu tingkap dewan itu. Langkah kaki mereka diatur dengan penuh hati-hati supaya tidak menimbulkan sebarang bunyi. Adam mempraktikkan langkah-langkah keselamatan sewaktu mengintip yang dipelajarinya semasa menjalani latihan ketenteraan sejak seawal usia 6 tahun di bawah pengawasan Raja Iskandar.

"Mana boleh kita angkat dia sebagai Putera Mahkota. Dia bukan dari keturunan kita," bantah Raja Long Karim.

"Kami sudah menjaga dia sejak kecil lagi, Long. Sejak tapak kakinya sebesar dua jari," jawab Raja Puan Anis.

"Kalau sudah namanya anak pungut, anak pungut juga, Nis," balas Raja Long Karim.

"Kanda pun mana ada putera untuk diwariskan takhta itu. Biarlah Adam saja yang menjadi pewaris," pujuk Raja Ismaail, adinda Raja Long Karim dan Raja Puan Anis.

"Bagaimana kalau rahsia ini terbongkar?" ugut Raja Long Karim.

"Siapa yang tahu kalau Adam hanya anak angkat kami?" tanya Raja Puan Anis.

"Apa?" Puteri Karmila terjerit. Kedengaran derap langkah menuju ke tempat persembunyian mereka seketika kemudian. Dia memandang wajah Adam yang berdiri di belakangnya.
Puteri Karmila menekup mulut. Kerana dia, rahsia mereka sudah diketahui. Puteri Karmila tunduk memikirkan apa yang didengarnya tadi.

Seisi dewan terpaku setelah mendengar jeritan Puteri Karmila. Raja Long Karim berlari anak ke arah pintu diikuti kerabat diraja yang lain. Dia mengarahkan pengawal mencari punca jeritan itu. Raja Iskandar diam di tempatnya. Dia tahu itu suara puterinya. Hanya sekali Raja Iskandar menoleh pada Raja Puan Anis sebelum tenggelam dalam perasaannya sendiri.

"Mungkinkah ini hakikat?" tanya Puteri Karmila sendiri. Degup jantungnya bertambah kencang. Dia tahu, bila-bila masa saja mereka akan ditemui. Tidak ada jalan untuk mereka keluar dari tempat itu tanpa dilihat.
Dalam pada itu, fikirannya menerawang.

"Mungkin benar. Kalau tidak masakan Adam dilahirkan beberapa bulan saja sebelum aku?" bisiknya. Dia merenung mata Adam. Air jernih sudah mula bertakung di situ. Mereka berdakapan.

"Kanda," ujar Puteri Karmila. Dia tidak dapat membayangkan kehidupannya tanpa Adam di sisinya. Adam sudah menjadi sebahagian daripada dirinya sejak sekian lama.

Adam membelai rambut Puteri Karmila yang dipotong separas bahu. Tidak ada kata-kata yang mampu diucapkannya. Air matanya sukar ditahan. Akhirnya air jernih itu gugur juga membasahi pipinya.

* * * * * * * * * *

"Apa yang anakanda berdua buat di sini? Bukankah Laila dan Hanim sudah menghantar kalian ke peraduan tadi?" tanya Raja Iskandar. Raut wajahnya masih lembut biarpun baru sebentar tadi dia bertekak dengan Raja Long Karim.

"Kami..." Puteri Karmila terdiam. Dia tidak tahu hendak memberi alasan apa kepada ayahandanya. Raja Long Karim pula melihat mereka dengan pandangan murka. Puteri Karmila jadi tidak berani mengangkat wajah.

Adam mula bersuara," Benarkah apa yang kami dengar tadi?"
Dia memandang wajah Raja Iskandar dan Raja Puan Anis silih berganti.

"Apa yang Adam dengar, nak?" tanya Anis. Dia mendekati Adam dan cuba memegang tangannya.

"Jawab dulu pertanyaan Adam, bonda," kata Adam. Dia menjauhkan diri daripada Puteri Karmila dan kerabat diraja yang lain. Beberapa orang sepupunya yang sudah dewasa turut berada di situ. Adam memandang wajah mereka satu demi satu.

"Adam hanya anak angkat, bukan?" tanya Adam lagi.

"Bukan, Dam. Adam anak kandung bonda," Anis cuba memujuk.

"Jangan tipu Adam lagi. Adam sudah dengar semuanya. Tolong jangan tipu Adam lagi, Raja Puan Anis!" Kasar nada suara Adam.

"Adam!" Itu sahaja yang mampu diucapkan oleh Raja Iskandar.

"Lihatlah apa yang dia lakukan malam ini. Orang seperti inikah yang kalian hendak tabalkan menjadi Putera Mahkota kerajaan kita? Tidak padan dengan status anak angkat. Melanggar peraturan! Bukankah kawasan ini sepatutnya tidak boleh dimasuki oleh sesiapa pada masa ini?" Raja Long Karim membuat kenyataan.

"Tidak, Adam. Jangan dengar kata-kata Raja Long Karim, Adam. Adam anak bonda," Raja Puan Anis beria-ia menafikan.

"Cukuplah. Adam tidak mahu dengar apa-apa lagi. Adam cuma mahu tahu siapa ibu dan ayah kandung Adam. Ada sesiapa lagikah yang boleh Adam percayai di sini?" ujarnya.
Mendengar itu, Raja Ismaail mendekati Adam. Adam tidak membantah dan hanya menurut apabila Raja Ismaail membawanya ke taman terlarang yang sunyi.

“Kakanda, biar adinda yang menerangkan pada Adam. Kakanda masuklah ke dalam,” kata Raja Ismaail pada Raja Puan Anis. Baru Adam sedar bahawa hanya mereka bertiga yang ada di situ.

“Sekarang tanyalah apa yang Adam hendak tanya. Di sini tidak ada bonda, tidak ada ayahanda, tidak ada Raja Long Karim. Hanya ada kita berdua,” ujar Raja Ismaail.

Friday, March 12, 2010

Haruskah - 3

“Tuanku Adam,”

Adam segera menoleh apabila terdengar namanya dipanggil.

“Bonda Tuanku sedang menanti di peraduan Tuanku Puteri,” Hanim memberitahu.
Adam melangkah perlahan-lahan ke arah peraduan Puteri Karmila. Ternyata bondanya memang sedang menantinya di situ.

“Bonda,” sapa Adam.

“Duduk, Adam,”

Adam menurut. Hanim yang menemaninya tadi segera keluar apabila diarahkan oleh Raja Puan Anis. Adam melirik ke arah adindanya yang kelihatan pucat.

“Ceritakan pada bonda, apa yang berlaku siang tadi?”

Adam menghela nafas dalam-dalam.

“Adam Qushairy!”

“Ila diserang musang terbang di hutan berdekatan padang latihan,”

“Bagaimana kalian boleh sampai ke sana?”

“Kami berlatih menunggang kuda bersama ayahanda,”

“Bonda tahu itu. Tapi bagaimana kalian boleh sampai ke dalam hutan?”

Adam tunduk merenung lantai.

“Jawab, Adam!”

“Adam yang salah. Adam ajak Ila tengok anak sungai yang Adam jumpa minggu lalu,”

Adam merasakan belakangnya sakit.

“Bonda!” Puteri Karmila cuba melarang.

Raja Puan Anis tidak mempedulikan larangan Puteri Karmila. Dia terus memukul Adam dengan rotan yang disembunyikannya sejak tadi.

Adam langsung tidak melawan.

“Bonda, jangan pukul kanda Adam. Ila yang salah. Ila yang tinggalkan kanda Adam.”

Entah bila masanya Puteri Karmila turun dari peraduannya dan duduk menghadap bondanya, Raja Puan Anis langsung tidak perasan. Dia hanya berhenti apabila Puteri Karmila menahan lengannya.

“Bonda, kalau bonda hendak rotan kanda, bonda rotanlah Ila sekali. Ila pun salah juga,” rayu Puteri Karmila. Dia memeluk kekandanya yang hanya mendiamkan diri sejak tadi. Puteri Karmila menggosok belakang Adam perlahan-lahan.

Raja Puan Anis meninggalkan Puteri Karmila dan Adam. Air matanya menitis membasahi pipi. Terperanjat dia melihat Raja Iskandar mengintai di pintu kamar.

“Kenapa kanda tidak melarang dinda? Adam boleh mati hanya kerana itu. Kanda sendiri tahu sebabnya. Kanda tahu Adam rasa sakit sangat, tapi kenapa kanda tidak halang dinda?” tanyanya. Raja Iskandar membiarkan Raja Puan Anis memeluknya erat-erat.

“Tuanku Permaisuri, jangan pukul anakanda beta lagi, ya?” Raja Iskandar memujuk. Raja Puan Anis mengangguk lemah.

* * * * * * * * * *

“Kanda, janganlah begini. Nanti kanda sakit lebih teruk,” pujuk Puteri Karmila.

Adam menggelengkan kepalanya. Makanan yang dihulurkan Puteri Karmila ditolak perlahan-lahan.

“Kanda Adam,”

“Tidak boleh, Ila. Kanda tidak ada selera. Dinda pergilah balik ke kamar. Dinda perlukan rehat. Nanti luka dinda tidak sembuh-sembuh,”

Puteri Karmila menggosok tubuh Adam lembut. Terketar-ketar tangannya.

“Jangan, Ila.” Adam melarang. Puteri Karmila tidak peduli. Dia menyelak baju yang dipakai oleh kekandanya. Masih terlihat berbirat belakang tubuh Adam akibat dirotan oleh Raja Puan Anis. Puteri Karmila menyentuh salah satu bekas dirotan itu.

“Ila,” tegur Adam. Matanya kelihatan berkaca-kaca.

“Kanda, kenapa bonda pukul kanda sampai begini teruk?”

“Kanda yang salah, Ila. Biarkan sajalah,”

“Tidak. Kanda tidak bersalah. Ila yang salah. Ila yang tinggalkan kanda. Lagipun, ayahanda ada bersama kita. Kanda bukannya sengaja biarkan dinda sendirian,”

“Biarlah. Benda sudah berlalu,”

“Kenapa kanda tidak melawan?”

“Mana boleh kanda lawan bonda,”

Puteri Karmila terdiam. Segera dia berlalu, membuatkan Adam terpinga-pinga.

“Adam,” seru Raja Puan Anis.

“Bonda,” Adam mengatur pakaiannya dan berusaha untuk duduk.

“Adam belum makan lagi? Inang kata Adam belum makan sejak semalam.”

Adam diam tidak membalas.

“Adam makanlah,” Raja Puan Anis menyuakan makanan ke mulut Adam. Mahu tidak mahu, Adam menurut. Raja Puan Anis meletakkan talam makanan di hadapan Adam dan membasuh tangannya. Adam menyuapkan makanan ke dalam mulutnya sedikit demi sedikit. Jelas seleranya belum terbuka lagi.

Raja Puan Anis memeriksa kesan pukulannya sebelum menyapukan minyak di tubuh Adam. Adam mengaduh kesakitan. Dia berhenti menyuap makanan.

“Maafkan bonda. Bonda tidak sepatutnya buat begini pada Adam,”

“Adam yang bersalah,” aku Adam.

“Makanlah lagi, Dam,” ujar Raja Puan Anis. Adam menggeleng tetapi Raja Puan Anis tidak melihat.

“Inang,” Raja Puan Anis memanggil.

“Ada apa, Tuanku?”

“Temankan Putera Adam makan,”

“Bonda,” tegur Adam.

“Kenapa, Adam?”

“Adam sudah kenyang,”

“Tapi Adam baru makan sedikit,”

“Adam benar-benar sudah kenyang. Adam penat sekarang. Benarkan Adam berehat,” pinta Adam.
Raja Puan Anis mengeluh. Dia mengangkat talam hidangan dan menyerahkannya kepada Hanim. Adam berbaring semula dan mengesat air matanya.

“Maafkan bonda,” ujar Raja Puan Anis. Dia mengucup pipi Adam dan meninggalkan puteranya sendirian di peraduan.

* * * * * * * * * * *


“Kanda, tolonglah dinda. Nanti dimarahi guru pula,” ujar Puteri Karmila.

“Kanda tidak mahu. Dinda buatlah sendiri. Sudah penat kanda mengajar, dinda masih tidak faham-faham juga,” balas Adam. Barang-barangnya sudah dikemaskan.

“Satu soalan saja lagi,” pujuk Puteri Karmila.

“Tuan Puteri, kanda sudah mengantuk. Sekarang sudah hampir pukul satu pagi. Esok banyak lagi yang perlu kanda selesaikan. Dinda mintalah inang ajarkan,”

“Sikit-sikit inang. Sikit-sikit inang. Apa gunanya ada kekanda? Dinda minta tolong sedikit sahaja pun susah,”

Adam menggelengkan kepalanya. Beberapa kali dia menguap. Puteri Karmila pula hanya tersenyum setiap kali dia bertanya sama ada soalan itu sudah difahaminya atau belum.

“Kanda,” seru Puteri Karmila.

“Apa lagi, Ila?”

“Kanda pergilah tidur sekarang. Yang selebihnya nanti dinda siapkan sendiri.”

Adam mengurut dada. Dia segera mengemaskan alat tulis dan buku yang dibawanya.

“Dinda, Adam balik ke kamar sekarang, ya?” ujar Adam.

“Nanti dulu,” Puteri Karmila menahan.

Adam tidak jadi menutup pintu.

Puteri Karmila segera mendapatkan kekandanya dan memeluk Adam dengan erat.

“Kanda, jangan tinggalkan dinda, ya?” ujar Puteri Karmila.

“Apa yang dinda merepek?”

“Dinda bukan bercakap yang bukan-bukan. Dinda terasa seperti kanda akan pergi jauh. Dinda perlukan kanda,” balas Puteri Karmila separuh berbisik.

Adam mengusap kepala adindanya.

“Untuk apa pula kanda tinggalkan dinda?”

Adam mengucup dahi Puteri Karmila dan beredar ke peraduannya

* * * * * * * * * *

"Pengawal, tolong pastikan tidak ada sesiapa mendekati dewan perjumpaan malam ini. Hatta Puteri Karmila dan Putera Adam," arah Raja Iskandar. Ketua Pengawal mengangguk. Dia mengarahkan anak-anak buahnya untuk memastikan setiap laluan masuk ke kawasan dewan ditutup sebelum pukul lapan malam kerana pada masa itulah perjumpaan kerabat diraja akan bermula.

Adam dan Puteri Karmila kebetulan lalu di kawasan itu setelah pulang dari pengajian. Mereka memerhati setiap kerabat diraja yang tiba daripada balai berdekatan, sambil cuba mendekati dewan perjumpaan tanpa dikesan oleh pengawal.

"Tuanku berdua hendak ke mana?" tanya Ketua Pengawal yang sedang meronda.

"Kami hendak berjalan-jalan di sini saja," balas Adam. Puteri Karmila sudah kecut perut dan berlindung di belakang kekandanya.

"Maafkan patik, tetapi ayahanda tuanku berdua mengarahkan supaya tidak ada sesiapa pun yang lalu di kawasan ini pada masa ini," Mendengar kata-kata pengawal itu, kedua-dua pengasuh Adam dan Puteri Karmila membawa mereka ke kamar masing-masing.

Setelah memastikan Adam dan Puteri Karmila bersalin pakaian dan berada di peraduan, pengasuh-pengasuh itu meninggalkan kawasan kamar. Adam mengambil alat perhubungan jarak jauh yang dibelinya tanpa pengetahuan ayahandanya semasa lawatan ke luar negeri pada tahun lepas. Raja Puan Anis, bonda mereka sahaja yang tahu tentang kewujudan alat itu kerana dia yang membelikannya setelah puas Adam memujuk.

"Dinda, ada dayang di hadapan kamar dinda?" tanya Adam.

"Rasanya ada lagi. Inang pun baru saja keluar. Kenapa, kanda?" tanya Puteri Karmila.

"Kanda hendak tahu apa yang dibincangkan oleh ayahanda dan bonda,"

"Tidak lama lagi hari ulangtahun kanda yang ke-12. Bukankah Putera Mahkota akan ditabalkan pada hari lahirnya yang ke-12 menurut adat di istana ini? Tentu mereka membincangkan tentang majlis itu." balas Puteri Karmila.

"Kanda tidak percaya itu saja yang mereka bincangkan. Masakan semata-mata untuk itu seluruh kerabat diraja dipanggil ke mari? Hatta Raja Long Karim pun mereka undang. Bukan dinda tidak tahu betapa susahnya untuk ayahanda menjemput Raja Long Karim setelah pertelingkahan mereka beberapa tahun lepas,"

"Sudahlah, kanda. Dinda sudah penat. Hendak ditangkap pengawal tadikah?"

"Kanda mahu tahu juga! Dinda temankan kanda sekejap saja. Kita ikut jalan rahsia. Mesti tidak ada pengawal di sana," pujuk Adam.

"Yalah. Sekejap lagi dinda turun,"

"Kanda tunggu di bawah,"

Wednesday, March 10, 2010

Haruskah - 2

Puteri Karmila memandang dengan perasaan teruja setiap sudut padang itu. Pertama kali dia ke situ. Sesekali dia melihat Adam seperti sedang berlumba dengan ayahandanya.

“Inang, Ila mahu bermain juga,”

“Tidak boleh, Tuanku Puteri. Nanti bonda Tuanku murka pada hamba,”

“Inang janganlah beritahu pada bonda,” desak Puteri Karmila.

Melihat riak Puteri Karmila yang terlalu mengharap, Laila mendekati Raja Iskandar yang sedang menuntun kuda tunggangan Adam ke tepi padang.

“Ada apa, Laila?” Raja Iskandar menyoal.

“Tuanku Puteri hendak menunggang kuda, Tuanku,” Laila memberitahu.

“Bawa Puteri Karmila ke mari,” arah Raja Iskandar. Laila mengangguk dan segera mendapatkan Puteri Karmila.

“Bagaimana?” tanya Puteri Karmila. Sepertinya dia sudah tahu jawapan yang diberikan oleh ayahandanya.

“Marilah. Ayahanda Tuanku membenarkan,”

Puteri Karmila hampir melompat kegirangan. Dia mendahului Laila mendapatkan ayahandanya. Raja Iskandar memimpin tangan Puteri Karmila ke arah salah satu bangsal yang ada di situ. Bangsal itu terletak agak terasing daripada bangsal kuda yang lain.

“Kuda ini ayahanda belikan untuk Ila,” Raja Iskandar memberitahu. Baginda meletakkan tali kekang kuda di tangan Puteri Karmila.

“Benarkah?”

Raja Iskandar mengangguk.

“Memang ayahanda carikan kuda ini untuk puteri kesayangan ayahanda,”

Puteri Karmila mendekati kuda kenit berwarna putih itu dan meletakkan tangannya di kepala kuda itu.

“Tengoklah. Kuda ini cepat mesra dengan Ila. Dengan Adam dia tidak mahu,” ujar Iskandar lagi.

 “Kuda jantan, memanglah begitu. Dia pun kenal kita juga. Bukannya manusia sahaja yang tahu membezakan jantan betina,” Adam mencebik.

* * * * * * * * * *


“Ila, dinda sudah tidurkah?” tanya Adam. Beberapa kali dia memanggil sebelum Puteri Karmila menjawab dengan nada malas.

“Ila penatlah, kanda. Esok sahajalah kita berbual,” kata Puteri Karmila. Adam tertawa kecil tatkala mendengar alasan yang diberikan oleh adindanya.

“Lain macam saja bunyinya,” usik Adam.

“Dinda mengantuklah. Kanda pergilah tidur,”

“Itulah, Ila. Dulu kanda cakap kanda penat seharian di luar, tapi dinda tidak mahu percaya.”

“Diamlah. Nanti Ila buang bateri ini,” Puteri Karmila mengugut.

“Buang sajalah. Aman sikit hidup kanda. Tidaklah kanda kena berjaga malam lagi selepas ini,” Adam menggiat.

Puteri Karmila diam tidak membalas, tetapi Adam tahu adindanya tidak mematikan alat perhubungan yang ada padanya.

“Baiklah, sayang. Pergilah tidur,” kata Adam lalu menyimpan alat perhubungan itu di dalam kotak kecil di bawah peraduannya.

“Sekarang insomnia Ila sudah berjangkit ke kamar ini,” keluh Adam. Setelah beberapa ketika, Adam mengenakan pakaian dan menyusup keluar dari kamar peraduannya.

* * * * * * * * * *

Puteri Karmila sudah semakin cekap mengendalikan kuda putihnya. Beberapa kali Adam dikalahkan apabila mereka berlumba. Raja Iskandar juga tidak melarang apa saja taktik baru yang dicuba oleh puterinya itu.

“Ila, tunggulah!” jerit Adam. Puteri Karmila semakin jauh ke dalam hutan di tepi padang tempat mereka bermain. Derap tapak kaki kudanya semakin sayup.


Adam menyusuri laluan yang diambil oleh Puteri Karmila. Raja Iskandar mengekori mereka dari belakang. Tiba-tiba mereka terdengar jeritan. Adam memacu kudanya lebih pantas. Raja Iskandar pula menyusuri laluan lain ke arah suara itu.

“Ila!” Adam memanggil. Dia cuba mencari adindanya di balik rimbunan pepohon.

“Adam! Di sini!”

Adam segera menuju ke arah ayahandanya. Puteri Karmila sedang menangis di pangkuan Iskandar.

“Kenapa dengan Ila?” tanya Adam.

“Panggilkan Laila,” arah Raja Iskandar. Dia langsung tidak menoleh pada Adam.

* * * * * * * * * *


“Kenapa dengan Ila, kanda?” tanya Raja Puan Anis. Wajah puterinya yang pucat direnung seketika.
Raja Iskandar diam tidak membalas. Puteri Karmila segera dibawa bertemu doktor diraja. Raja Puan Anis melangkah perlahan-lahan di belakang mereka.

“Adam, tunggu,”

Langkah Adam terhenti. Dia menoleh ke arah Raja Puan Anis.

“Ada apa, bonda?”

“Kenapa dengan Ila? Kalian ke mana tadi?”

“Err..”

“Adam, tolonglah beritahu bonda,”

“Adam tidak tahu. Ayahanda yang jumpa Ila tadi. Bila Adam sampai, ayahanda terus suruh Adam panggilkan inang,”

Raja Puan Anis mengeluh berat. Persoalan yang timbul di benaknya belum lagi terjawab.

“Panggilkan inang,”

Adam meninggalkan Raja Puan Anis. Seketika kemudian, dia kembali bersama Laila.

“Kenapa dengan Puteri Karmila, Laila?”

“Tuanku Puteri terjatuh, Tuanku,”

“Jatuh di mana?”

“Dekat padang latihan, Tuanku,”

“Puteri Karmila dibawa ke padang latihan?”

“Benar, Tuanku,”

Raja Puan Anis mendapatkan Raja Iskandar dan Puteri Karmila di bilik pengubatan. Adam turut melangkah setelah bondanya agak  jauh di hadapan.

Tuesday, March 9, 2010

Haruskah - 1

Kawasan istana yang megah itu menjadi tempat yang paling sesuai untuk bermain sembunyi-sembunyi. Itulah yang ada dalam fikiran dua orang anak kecil yang dilahirkan sebagai putera dan puteri raja. Putera Adam Qushairy dan adindanya, Puteri Karmila, berlari-larian di taman terlarang. Hanya kerabat diraja dan dayang istana serta inang pengasuh sahaja yang boleh masuk ke kawasan itu. Dua orang pengasuh yang mengiringi mereka sudah tidak mampu menghalang.

Gelagat dua bersaudara itu diperhatikan oleh ayahanda mereka dari beranda peraduannya yang menghadap ke arah taman itu. Sesungguhnya binaan istana itu amat strategik dan menyukarkan penceroboh memecah masuk. Setiap laluan keluar masuk dapat diperhatikan dari hampir setiap ruang di dalam istana. Di situlah terletaknya keunikan Mahligai Kayangan.

"Kanda Adam, kanda di mana? Keluarlah! Ila sudah penatlah!" laung Puteri Karmila. Dia sudah puas mencari Adam yang sebenarnya bersembunyi di belakangnya sahaja sejak tadi. Rumpun buluh halus yang rimbun menghalang pandangan Puteri Karmila daripada melihat Adam. Raja Iskandar menyaksikan kerenah kedua-dua anakanda baginda dengan tenang.

"Hah!" sergah Adam. Puteri Karmila yang terperanjat tidak dapat mengawal keseimbangan tubuhnya lalu terjatuh ke dalam kolam kecil di tepi pokok buluh tempat Adam bersembunyi tadi.

"Alamak!" jerit Adam. Kedua-dua pengasuh yang mengiringi mereka tadi bergegas ke tepi kolam. Adam cuba menarik adindanya keluar dari kolam kecil itu. Raja Iskandar yang melihat kejadian itu segera turun ke taman.

"Ila okey?" tanya Adam. Puteri Karmila diam. Habis pakaiannya basah gara-gara terjatuh. Dia memandang Adam dengan wajah bengis.

"Kalau ya pun hendak kejutkan orang, janganlah di tepi kolam!" Puteri Karmila menolak Adam ke arah kolam tetapi sempat ditahan oleh Raja Iskandar. Mujur juga tubuh Adam ringan. Kalau tidak, mungkin mereka berdua turut basah kuyup.

"Macam inikah perangai puteri kesayangan ayahanda? Janganlah garang sangat, nanti tidak ada orang yang berani masuk meminang," pujuk Raja Iskandar. Dia memberi isyarat menyuruh Adam masuk ke dalam istana. Puteri Karmila mencebik.

"Biarlah. Anakanda pun belum hendak berkahwin lagi. Biarlah kanda Adam yang kahwin dahulu," balas Puteri Karmila.

"Puteri ayahanda tidak ada lukakah?" tanya Iskandar penuh prihatin. Baginda membelek-belek tubuh Puteri Karmila seketika. Setelah melihat tiada kesan luka di mana-mana, baginda mengambil tuala yang dibawa oleh salah seorang dayang yang mengekorinya lalu dibalutkan ke tubuh Puteri Karmila. Baginda mengarahkan perawat yang dipanggilnya untuk menyediakan mandian herba untuk Puteri Karmila. Gadis itu tidak boleh dibiarkan kesejukan.

"Anakanda pergilah bersiram dan salin pakaian dahulu. Sebentar lagi kita bersantap," ujar Raja Iskandar. Puteri Karmila pergi diiringi pengasuhnya.

* * * * * * * * * *

Adam menyusup masuk ke bilik Puteri Karmila. Dia segera menutup pintu dan mendekati adindanya itu.
“Dinda, marilah,” ujar Adam.

Puteri Karmila menyelimuti tubuhnya dengan baju panas sebelum mengekori Adam ke jendela yang terbuka luas.

“Ila naiklah dahulu,” ujar Adam. Dia memerhatikan lorong yang terdekat dengan jendela itu untuk memastikan tidak ada pengawal yang melihat mereka.

Puteri Karmila berbaring di atas bumbung setelah Adam berada di sampingnya.

“Kanda, lihat di sana,” ujar Puteri Karmila.

“Ada apa?”

“Yang itu biduk. Di sebelah sana belantik. Pari pun ada,” kata Puteri Karmila. Adam memandang ke arah yang ditunjukkan oleh adindanya.

“Cantik langit malam ini,” desis Adam.

“Cantik sangat. Jarang dapat tengok langit seperti malam ini, bukan?”

Adam mengiakan. Dia berbaring berbantalkan lengan.

“Dinda belum mengantuk lagi?

“Belum,”

“Kanda mengantuklah. Esok ada latihan menunggang kuda lagi,”

“Dinda mahu ikut,”

“Mana boleh. Dinda duduk saja diam-diam di kamar. Inang ada temankan dinda. Lagipun petang esok ada latihan silat. Nanti dinda keletihan,”

“Tidak seronoklah asyik duduk di istana saja. Sesekali dinda mahu juga merasa keluar dari sini,”

“Beritahulah pada ayahanda. Mungkin ayahanda benarkan,”

“Susahlah,”

“Kalau sudah tahu susah, tidak perlulah.”desis Adam.

Puteri Karmila mendiamkan diri seketika. Dia sudah duduk berpeluk tubuh.

“Kita masuk ke dalam. Sejuk sangat sekarang ini. Nanti datang pula lelah dinda, apa kanda mahu jawab pada bonda,”

Puteri Karmila menurut dengan berat hati. Sempat dia menoleh ke langit sekali lagi sebelum menutup jendela. Adam mengucup dahi Puteri Karmila dan menyelimutkannya sebelum keluar dari kamar Puteri Karmila untuk pulang ke kamarnya sendiri.

Haruskah - Sebuah Sinopsis

Putera Adam Qushairy - Seorang putera raja yang periang dan sangat penyayang. Tinggal bersama ayahandanya, Raja Iskandar, bondanya, Raja Puan Anis serta adindanya, Puteri Karmila di Mahligai Kayangan, istana utama di Negeri Indah Laksana.

Namun, suatu peristiwa menyebabkan Putera Adam berkecil hati dan meninggalkan istana beberapa minggu sebelum ulangtahun kelahirannya yang ke-12. Meskipun puas dipujuk, Putera Adam tetap dengan keputusannya.Dengan menggunakan identiti Adam Qushairy, Adam membina kehidupan baru bersama Hasnah di Mahkota Peribumi.

Siapakah Hasnah?
Apa yang menyebabkan Adam merajuk?
Bagaimana kisah kehidupan baru seorang putera raja yang meninggalkan istana?
Apakah kesudahan kisah Adam?

Ingin menjadi penulis?
Anda akan tentukan pengakhiran kisah Adam.
Saya hanya menulis sebahagian sahaja.Yang selebihnya adalah berdasarkan cadangan anda.
Menarik?
Jangan lupa ikuti perkembangan hidup Adam Qushairy.

Ikuti kisahnya dalam Karya Hanis Aleeya.