Monday, April 12, 2010

Haruskah - 11

“Hoi! Kau buat apa?” sergah satu suara.

Tiga wajah berpaling. Satu susuk tubuh yang tegap berdiri di belakang mereka.

“Ah, akhirnya anak udang datang menyerah. Atau kau hanya mahukan nama? Mahu jadi “adi”wira? Marilah ke mari, Adi. Kita bertarung dahulu.”

“Dasar pengecut! Kau bertiga memang pengecut. Beraninya hanya di hadapan perempuan saja!”

“Kalau kau berani sangat, kenapa kau lari tadi?”

“Bila pula aku lari, Haris?”

“Ah, dasar pengkhianat! Ayuh, kita habiskan dia. Kemudian, kita ambil habuan kita,”

Haris  memandang Hanna. Lirikan matanya seperti menguliti setiap inci tubuh gadis itu. Liar.

“Andika, kau jaga dia,” arah remaja itu pada temannya yang paling dekat dengan Hanna.

        *        *        *        *        *

Hanna meronta cuba melepaskan diri, namun kudratnya tidak dapat menandingi kekuatan Andika. Cahaya lampu yang kelihatan samar-samar dari gelanggang sesekali menyinari mereka apabila hembusan bayu malam menyelak tabir dedaun.

Tiga lelaki masih beradu tenaga. Hanna tidak nampak penghujungnya pergaduhan itu. Apa yang difikirkannya sekarang adalah untuk menyelamatkan dirinya. Tangannya sudah terasa perit akibat genggaman Andika.

Bola keranjang yang dibawanya tadi direnung. Agak jauh juga bola itu bergolek tatkala Andika menarik lengannya tadi. Hanna mengukur jarak.

“Boleh sampai rasanya,” bisik Hanna. Dia cuba mendekati bola itu tanpa disedari oleh Andika.

“Aduh! Dari mana datangnya bola ini?” jerit Haris. Dia memegang pinggangnya yang sakit akibat terhentak pada anak tangga.
Bola itu bergolek lebih jauh.

Adi mengambil peluang itu untuk menjatuhkan seorang lagi lawannya yang sudah termengah-mengah. Sebelah kakinya dihentak keras pada betis Haris untuk memastikan dia tidak dapat bangkit sebelum temannya ditewaskan.

“Kau!” jerit Haris. Dia memandang Andika, memberi isyarat supaya dia bertarung dengan Adi.

Andika teragak-agak melepaskan gengamannya. Hanna menanti. Terasa pegangan Andika semakin longgar.

“Andika, habiskan dia!” arah Haris.

“Habis, budak ini?”

“Ah, dia takkan dapat lari jauh. Kita hapuskan Adi dulu,”

Pergerakan Adi lebih tangkas. Lawannya sudah hampir rebah.

“Andika!”

Adi tersenyum puas. Hisyam sudah terduduk di hadapannya.

“Kau mahu juga, Dika?” tanya Adi sinis.

Andika melepaskan genggamannya. Hanna tidak menanti lagi. Dia menolak Andika sehingga menimpa Haris yang masih kesakitan.

“Hisyam, mari!” panggil Haris. Seketika kemudian, ketiga-tiga remaja itu hilang dari pandangan.

Adi mendekati Hanna.

“Awak okey?”

Hanna tidak menjawab. Dia mengambil bola yang masih bergolek di atas laluan pejalan kaki.

“Terima kasih,” ujar Adi.

“Sepatutnya saya yang ucap terima kasih pada awak sebab selamatkan saya,” balas Hanna.

“Tidak. Saya nampak awak tendang bola itu pada Haris tadi. Bukan saya yang selamatkan awak, tapi awak yang selamatkan saya. Kalau tidak kerana awak, mungkin saya akan mati malam ini,”

“Mati? Tapi kenapa?”

“Awak bacalah berita pagi esok. Sebentar lagi polis datang mencari mereka,”

“Tapi..”

“Awak hendak pulang sekarang? Biar saya hantarkan. Rumah awak di mana?”

“Sudah tidak jauh,”

Hanna menunjuk jalan. Adi mengekori dari belakang.
_____________________________________________________________________

*@ TukangKomputerSekolah, Maaf, telahan anda salah.. Hehe.. Terima kasih sudi melawat. Sila cuba lagi, ya?
_____________________________________________________________________
Salam, semua..

Terima kasih sebab sudi melawat blog ini. Mungkin untuk bulan ini blog tidak akan terlalu kerap di'update'. peperiksaan akhir hanis akan bermula minggu hadapan, jadi masa untuk berinternet disekat. Doakan, ya.

Selepas tamat peperiksaan nanti Insya-Allah akan diteruskan..

Monday, April 5, 2010

Haruskah - 10

“Ini borangnya. Kau isilah. Kau tahu tulisan aku macam mana. Nanti ada pula yang tidak puas hati kalau ada nama yang tersilap eja atau silap baca. Lagipun, aku tidak mahu terlibat,”

Adam memberikan borang di tangannya kepada Alex. Setelah membaca beberapa perenggan, Alex mengambil pen dan mengisi borang itu.

“Cepatnya kau buat keputusan. Tidak menyesalkah nanti?” tegur Hanna.

“Tidak. Aku pasti dengan apa yang aku buat. Kalau kau tidak mahu ikut, aku cari orang lain. Hans, kau bagaimana?”

“Kau boleh tanya aku macam itu? Mestilah aku mahu ikut serta. Rugilah kalau aku tidak sertai pertandingan ini. Barangnya sudah ada, sudah diuji,”

“Aku takut ketahuan,” ujar Hanna.

“Apa yang ketahuan? Kerja kita hari itu? Kelakarlah kerja itu. Mesti mereka syak itu kerja pelajar kelas satu,” balas Alex.

“Itulah kau orang. Hendak sangat buat kerja gila itu. Mujur saja kau orang tidak ambil kertas soalan kelas dua. Kau tengok apa sudah jadi sekarang? Semua pelajar kelas satu didenda membersihkan sekolah setiap pagi sampai ada pelajar yang mengaku menceroboh bilik guru,” ujar Hanna.

“Huh! Kau juga yang beria-ia mahu ikut hari itu. Kononnya kalau aku tidak benarkan kau ikut kau mahu laporkan pada pengetua,” gerutu Alex.

“Sudahlah itu. Kalian hendak buat projek sama-sama, tapi bila ada kesilapan, mulalah bergaduh. Kalau terus-terusan begini, batalkan sajalah projek ini. Nanti ada pula yang bertekak kalau tidak menjadi,” getus Adam.

“Eh, janganlah begini! Aku janji aku takkan cari gaduh dengan Alex lagi. Tolonglah benarkan aku ikut,” Hanna merayu.

“Kau jangan tanya aku. Alex yang jadi ketua untuk projek ini. Kau tanyalah dia,” ujar Adam.

“Lex?”

Hanna memandang wajah Alex dalam-dalam.

Dia menghela nafas berat.

“Tadi beria-ia tidak mahu ikut. Takut konon. Kau jangan buat hal pula nanti,” ujar Alex. Dia menulis nama Hanna di dalam borang penyertaan itu.

        *        *        *        *        *

Hanna baru pulang dari latihan bola keranjang yang terakhir untuk musim itu. Perlawanan akan diadakan keesokan harinya.

Keadaan di sekitar tempat itu sunyi sepi. Hanya beberapa tempat yang diterangi lampu. Hanna memeluk bola keranjang yang dibawanya erat-erat.

“Menyesal rasanya tidak pulang bersama Puan Linda tadi,” getus Hanna.

Dia memandang ke sekeliling.

Seorang remaja lelaki sebayanya berjalan dengan pantas dari arah hadapan. Hampir saja dia merempuh Hanna.

“Ada apa dengan dia?” tanya Hanna sendirian. Dia menoleh ke belakang, mencari-cari kelibat remaja itu. Derap langkah kedengaran lagi. Kali ini sepertinya lebih ramai.

“Wah, cari anak udang dapat ikan besar!” ujar seorang lelaki.
Hanna berpaling. Tiga orang lelaki sebayanya sedang memerhatikan tingkahnya. Hanna kecut perut.

“Hai, sayang! Buat apa berjalan seorang diri tengah-tengah malam begini?” usik lelaki yang berdiri betul-betul di hadapan Hanna.

Hanna meneguk liur.

Ketiga-tiga lelaki itu mendekat.

Hanna cuba menjerit, namun suaranya terasa tersekat di kerongkong.

Apakah yang akan terjadi kepada Hanna?