Friday, December 31, 2010

Haruskah - 27

“Benarkah apa yang anakanda lihat?” tanya Raja Ismaail.

“Benar, ayahanda. Tidak mungkin anakanda tersilap. Setahu anakanda, mana ada kapal dagang yang memohon masuk ke pelabuhan minggu ini. Anakanda sudah periksa maklumat yang ada pada syahbandar awal pagi tadi. Lagipun, angin agak kencang juga kebelakangan ini. Perairan kita berbatu-batu dan berbahaya untuk kapal dagang. Mustahil ada kapal yang lalu di kawasan ini, melainkan mereka memang berhajat untuk masuk ke sini,” Putera Hadi memberitahu.

“Kalau begitu, malam ini anakanda ke sana lagi. Perhatikan apa yang dilakukan anak-anak kapal itu,”

“Ayahanda tidak mahu persiapkan tentera kita di pelabuhan?”

“Mungkin belum perlu. Anakanda pergilah berdua dengan Adam,”

“Ila mahu ikut,” bantah Puteri Karmila yang sedari tadi mendiamkan diri.

“Bahaya, Ila. Kita tidak tahu apa yang bakal berlaku,” kata Raja Ismaail.

“Tapi, Ila sudah belajar cara mempertahankan diri. Bukannya Ila pergi dengan tangan kosong,” desak Puteri Karmila.

“Ila perlu minta izin daripada bonda dahulu. Pastikan bonda kalian masing-masing tahu kalian ke mana malam ini, dan apa yang kalian lakukan,” putus Raja Ismaail. Putera Adam, Puteri Karmila dan Putera Hadi berpandangan seketika.

“Bagaimana dengan ayahanda? Bonda selalu di peraduan bersama ayahanda. Ila tidak mahu ayahanda semakin tenat jika terdengar berita ini. Bukankah sejak dahulu lagi ayahanda bimbangkan penceroboh perairan?”

“Gunakan akal fikiran kalian. Apa gunanya kalian dilatih dengan pelbagai jenis kaedah komunikasi sejak kecil? Adam pasti punya lebih banyak pengalaman. Inilah masanya membuktikan kemampuan kalian. Kalau setakat benda remeh pun tidak dapat dibuat, janganlah mengharapkan tugas-tugas di luar kemampuan kalian,”

Raja Ismaail meninggalkan mereka bertiga di balai pertemuan itu.

“Sekarang bagaimana?” tanya Putera Adam.

“Alang-alang sudah tahu, kita redah sahajalah,” balas Putera Hadi.

*

“Inang, bolehkah inang tolong panggilkan bonda keluar sebentar?” pinta Puteri Karmila kepada Laila yang secara kebetulan lalu di hadapan kamar peraduan Raja Iskandar.

“Ada apa, Tuanku? Tuanku Permaisuri sedang tidak mahu diganggu.” balas Laila.

“Beta perlu dapatkan kebenaran bonda untuk membawa Puteri Karmila keluar malam ini,” Putera Adam memberitahu.

“Bukankah ayahanda Tuanku sudah memberi kebenaran?”

“Untuk malam ini saja, kami perlukan kebenaran bonda. Tolonglah, inang,” desak Puteri Karmila.

“Biar patik cuba. Sebentar, ya?”

Laila masuk ke kamar peraduan Raja Iskandar. Seketika kemudian, dia kembali bersama Raja Puan Anis.

“Ada apa, Ila?”

“Bonda, ayahanda mahu bonda sendiri bertemu dengannya, baru Ila dibenarkan keluar malam ini,” kata Putera Hadi.

“Kenapa pula? Bukankah sebelum ini kalian sudah selalu keluar malam?”

“Ada kapal yang memasuki pelabuhan tanpa permit. Kami hendak mengintip malam ini, sebab itulah Ila tidak dibenarkan keluar melainkan dengan kebenaran bonda,” Putera Adam menjelaskan.

“Kalau begitu, Ila pergilah. Nanti bonda khabarkan,”

“Terima kasih, bonda,” ujar Puteri Karmila.

“Sekarang kita perlu cari ibu kanda pula,” kata Putera Hadi.

“Kalau ibu, senang sahaja memujuknya,” balas Putera Adam.

Wednesday, December 29, 2010

Haruskah - 26

“Assalamualaikum, ayahanda,” Putera Adam menyapa. Terketar-ketar suaranya menyebut perkataan ‘ayahanda’.

Raja Iskandar membuka mata perlahan-lahan. Melihat Putera Adam, baginda mengukir senyum.

“Putera Adam Qushairy,” desisnya. Suaranya kedengaran antara keluar dengan tidak.

Raja Iskandar duduk dengan bantuan Raja Puan Anis. Tubuhnya disandarkan pada bantal yang sengaja ditinggikan.

“Ke mari, Adam,” Raja Iskandar memanggil.

Putera Adam teragak-agak mendekati ayahandanya. Raja Puan Anis meninggalkan mereka berdua apabila Raja Iskandar memandangnya. Pintu ditutup rapat.

“Duduklah di sini, Adam,” arah Raja Iskandar. Dia berengsot memberi ruang kepada Putera Adam untuk duduk di sebelahnya.

“Tidak perlulah. Biar Adam duduk di sini saja,” balas Putera Adam lalu duduk kerusi yang diletakkan di sisi peraduan Raja Iskandar.

Putera Adam tidak jadi duduk apabila lengannya disentap oleh Raja Iskandar. Dalam keterpaksaan, punggungnya dilabuhkan di sisi ayahandanya. Pelukan Raja Iskandar membuatkan Putera Adam kelemasan.

“Adam tinggal di sini, ya?” pinta Raja Iskandar.

“Maafkan Adam, ayahanda. Adam pulang hanya untuk bertemu ayahanda, bukannya untuk merebut takhta,”

“Siapa yang kata Adam perlu merebut takhta?”

Putera Adam diam tidak membalas.

“Adam satu-satunya putera ayahanda. Tempat Adam di sini. Adam berhak tinggal di Mahligai Kayangan. Tidak ada sesiapa yang boleh menghalang Adam daripada memasuki kawasan istana ini. Hanya Raja Long Karim yang menafikan hak Adam,”

“Jangan disebut-sebut lagi keaiban Raja Long Karim, ayahanda. Kasihan dia,” kata Putera Adam.

“Asalkan Adam mahu tinggal di sini, ayahanda akan turutkan,” balas Raja Iskandar.

Putera Adam terperangkap lagi.

*

Putera Adam masih bermenung menghadap ke luar jendela sewaktu Putera Hadi masuk ke kamar peraduannya.

“Kanda Adam, apa yang kanda menungkan?” Putera Hadi menegur.

“Bila Adi masuk? Adam tidak perasan langsung,”

“Kalau sudah namanya teringat orang jauh, manakan sedar kita di sini. Kalau memegang pisau, tangan sendiri pun boleh terpotong,” Putera Hadi mengusik.

“Sejak bila Adi pandai bersastera?” tanya Putera Adam dengan nada sinis.

“Sejak berkawan dengan Tuan Puteri Intan Payung kesayangan bonda Adamlah. Sejak Adam melarikan diri dari istana lebih tiga tahun yang lalu, hanya tinggal kami berdua yang paling muda di istana ini. Dengan siapa lagi kami hendak berkawan?” balas Putera Hadi.

“Kanda mengutuk dinda, ya?” tegur Puteri Karmila. Rupa-rupanya dia juga berada di situ.

“Ila pun menghendap juga?”

“Kanda yang mengajar. Jangan salahkan dinda pula,”

“Bila pula kanda mengajar dinda menyelinap masuk ke kamar kanda?”

“Kanda yang selalu masuk ke kamar dinda,”

“Dinda sendiri yang memaksa kanda. Kalau tidak, sampai pagi pun dinda sanggup duduk di sini,” Putera Adam mengingatkan.

“Sudahlah. Kalau sudah mula bergaduh, sampai bila-bila pun tidak akan habis.” tegur Putera Hadi.

“Ada rancangan apa kalian malam ini?” tanya Putera Adam apabila melihat Puteri Karmila dan Putera Hadi lengkap berpakaian.

“Kami hendak membawa kanda berjalan-jalan,” kata Putera Hadi.

“Tengah-tengah malam begini?”

“Benar. Usah bimbang. Ayahanda kita sudah membenarkan. Katanya bagus juga kalau ada orang yang menuruti langkah Umar al-Khattab dan cucundanya Umar bin Abdul Aziz dalam pemerintahan. Selalunya kami keluar bertiga dengan ayahanda Adi, tapi sebab sudah ada kanda, kita bertiga sahajalah,”

“Kalau itu tujuannya, tunggulah di luar. Sebentar lagi Adam keluar,”

*

“Malam ini kita ke bahagian selatan. Sudah lama adinda tidak ke sana,” Puteri Karmila mencadangkan.

“Yang ini lagi satu masalah dalam kerajaan kita. Tuan Puterinya tidak habis-habis hendak mengintip buah hatinya,” getus Putera Hadi.

“Ila sudah ada buah hati?” tanya Putera Adam.

“Mana ada. Kanda Adi memandai-mandai saja,”

“Jangan tipu kanda, Ila. Kalau bukan buah hati Ila, mengapa setiap kali kita lalu di rumahnya Ila akan berhenti lama?” Putera Hadi membongkar rahsia.

“Kanda pun sama juga. Asyik terintai-intai kamar adik perempuannya. Jangan asyik menuding jari saja,” tegur Puteri Karmila.

“Sudahlah. Jangan bergaduh. Apa pula kata orang nanti? Mengganggu ketenteraman awam di tengah-tengah malam buta seperti sekarang,” Putera Adam meleraikan.

Mereka terus berjalan sehingga ke tempat yang dituju. Sambil memerhatikan keadaan di sekitar daerah selatan itu, Putera Adam sempat mengutip beberapa cara yang digunakan oleh Putera Hadi dan Puteri Karmila untuk mengelakkan kehadiran mereka dikesan.

Kesunyian yang menyelubungi malam itu mengingatkan Putera Adam pada Laut Fansuri Biru yang tenang. Desiran angin menggamit Putera Adam untuk ke pelabuhan.

“Kanda benar-benar mahu ke sana? Pelabuhan terlalu jauh dari tempat kita sekarang, dan hari sudah hampir siang,” ujar Puteri Karmila.

“Kanda terasa seperti ada sesuatu yang sedang berlaku di pelabuhan. Entah mengapa tiba-tiba saja kanda seperti terpanggil ke sana,”

“Biar Adi ke sana dahulu. Kalau ada apa-apa yang aneh, Adi akan khabarkan pada kanda dan dinda,” Putera Hadi menawarkan diri.