Friday, April 29, 2011

Haruskah - 44

“Kanda Adi, tolong panggilkan kanda Adam. Sekarang. Dari tadi ayahanda cari dia. Ila sudah pusing satu istana, tapi dia tidak ada. Kanda pasti tahu dia di mana,” ujar Puteri Karmila.
“Apa lagi yang dia buat kali ini?” desis Putera Hadi. Dia melangkah malas ke kawasan penjara yang terletak berdekatan dengan Mahligai Kayangan. Pengawal peribadinya mengekori dari belakang.
“Tolong panggilkan Tuanku Adam,” arah Putera Hadi kepada pegawai penjara.
Seketika kemudian, pegawai itu muncul bersama Putera Adam.
“Ada apa, Adi?”
“Ayahanda kanda sudah mencari. Apa yang kanda buat berlama-lama di dalam sana?” tanya Putera Hadi.
Putera Adam tidak menjawab. Sebaliknya dia menunjukkan nunchaku yang disembunyikannya di dalam baju.
“Belum habis-habis lagi?”
“Ilmu perlu dituntut selagi ada peluang, dan peluang kanda semakin terbatas. Ayahanda sudah mengesyaki kegiatan kanda,” balas Putera Adam.
“Tapi, Adi terasa pelik. Bagaimana dia boleh tertangkap sedangkan dia ada kemahiran berlawan?”
“Itulah kelemahan nunchaku. Kalau terlalu bergantung kepada alat, apabila tidak ada benda ini, orang itu tidak dapat mempertahankan diri,”
“Tapi kanda masih mahu belajar dengan dia,”
“Pandailah kanda mengaturnya. Nunchaku hanya alat. Praktiknya kita sendiri yang tentukan. Selagi ada kemahuan di sana ada jalannya. Kanda hanya perlu bayangkan sahaja ia ada di tangan kanda dan pergerakan-pergerakannya masih boleh kanda gunakan. Adi sendiri sudah lihat berapa lama kanda boleh bertahan sewaktu kita diserang tempoh hari, bukan?”
“Lama juga. Kalau tidak kerana... Tapi kalau dia boleh ajar kanda sampai ke tahap itu, mustahil dia tidak sempat melarikan diri,”
“Kalau kanda katakan dia memang tidak lari, bagaimana?”
“Dia menyerah begitu saja? Tapi dia melawan juga ketika itu,”
“Kuasa Allah, Adi. Tidak ada siapa pun dapat menjangka. Setiap sesuatu itu bersebab,” desis Putera Adam. Perbualan mereka terhenti di situ.
Puteri Karmila segera mendapatkan kekandanya.
“Kanda, cepatlah! Ayahanda sudah lama cari kanda. Entah apa-apa sajalah yang dibuat di penjara sana. Teringin hendak duduk di situkah?” bebel Puteri Karmila.
Putera Adam memberi isyarat kepada Putera Hadi supaya merahsiakan kegiatannya sebelum menuruti langkah Puteri Karmila. Perlahan-lahan, Putera Hadi juga mengekori langkah mereka setelah melihat Puteri Karmila melambai ke arahnya.
*
“Bonda, ini terlalu awal. Bonda sendiri tahu Adam belum cukup faham selok-belok pemerintahan,” desis Putera Adam.
“Kami semua tahu, Adam. Tapi kita sudah tidak ada pilihan lain. Takkan kita hendak biarkan takhta itu kosong sementara menanti Adam membuat persediaan? Bonda sendiri tidak menyangka semua ini akan terjadi. Apatah lagi dalam sela waktu yang sesingkat ini. Paling awal pun, bonda kirakan dua tahun lagi,” kata Raja Puan Anis. Air yang membasahi pelupuk matanya segera dikesat.
“Patutlah ayahanda selalu paksa Adam ke sana ke mari sekarang. Sedikit-sedikit ayahanda ajar Adam buat keputusan sendiri. Baru dua hari lepas, ayahanda serahkan keputusan mahkamah ke tangan Adam. Rupa-rupanya..”
Jeda sejenak. Masing-masing melayan perasaan.
“Kita jalankan upacara pertabalan esok,” tegas Raja Puan Anis.
“Bonda..” Kata-kata Putera Adam terhenti di situ.
“Adam,” Hasnah memanggil.
Putera Adam menoleh ke arah ibunya.
“Ibu tahu Adam boleh laksanakan tanggungjawab Adam. Adam sudah dilatih sejak kecil untuk menjadi pemimpin. Hatta sewaktu di Mahkota Peribumi,”
“Yakah? Macam tidak ada saja,” Putera Adam sengaja menunjukkan sikap pesimis.
“Adam tidak perasankah, cuma Adam seorang saja pengawas yang selalu buat masalah di sekolah. Asyik datang lambat saja. Ibu yang minta Puan Asma lantik Adam sebagai pengawas. Untuk melatih Adam, juga supaya Adam berubah. Sebab ibu takut pisang berbuah dua kali. Dan ternyata Adam dipanggil pulang,”
“Ibu, janganlah cakap kuat-kuat. Malulah Adam,”
“Hendak malu apa? Semua orang sudah tahu Adam selalu bangun lambat. Bukankah perangai itu terbawa-bawa sejak Adam di sini lagi? Sampai sekarang pun masih begitu,”
Masing-masing membisu semula.
“Adam, Adam kena terima. Ini tanggungjawab Adam. Bonda cuma ada seorang puteri, dan kuasa seorang puteri sangat terbatas,”
“Adi ada. Kenapa bukan Adi sahaja yang jadi raja?”
“Sejak ayahanda Adam mula memerintah lagi Adam sudah dipilih menjadi pewaris takhta. Walaupun Ila dan Adi dilahirkan pada tahun yang sama dengan Adam, sifat kepimpinan yang ada dalam jiwa Adam lebih menyerlah,”
“Tapi Adam bukan anak gahara,”
“Di sini tidak ada peraturan anak gahara atau anak raja asli. Selagi darah diraja mengalir dalam tubuh Adam, selagi itulah Adam layak menjadi raja Indah Laksana,”
“Adam takut, bonda. Kalau terjadi pertelingkahan lagi, bagaimana Adam hendak selesaikan?”
“Bonda jamin tidak akan ada lagi perselisihan seperti yang berlaku di antara ayahanda Adam dengan Raja Long Karim. Bonda ada, Ila ada, Adi juga sentiasa ada di sini untuk bantu Adam,”
Putera Adam membisu. Pandangannya dihalakan ke arah Putera Hadi. Putera Hadi berundur beberapa tapak ke belakang.
“Kanda jangan cuba-cuba paksa Adi. Adi tidak akan termakan dengan pujukan kanda. Hampir setahun Adi cari kanda di Mahkota Peribumi,” Putera Hadi memberi amaran.
“Adam..” Raja Puan Anis bersuara semula.
“Apa lagi pilihan yang Adam ada?” desis Putera Adam.
“Maafkan bonda kalau bonda terlalu memaksa Adam. Bonda berjanji, selepas ini bonda tidak akan masuk campur urusan Adam lagi,”
“Bukan salah bonda,” getus Putera Adam. Dia bangkit meninggalkan kamar peraduan ayahanda dan bondanya. Air matanya gugur satu demi satu.

Friday, April 22, 2011

Haruskah - 43

Rutin harian Putera Adam tidak banyak yang berubah meskipun Raja Iskandar sudah menetapkan perkara yang perlu diuruskannya setiap hari. Perangainya yang sering bangun lewat berkali-kali ditegur oleh Hasnah, tetapi Putera Adam masih sama. Hasnah sampai mati akal dibuatnya.
“Kalau berterusan begini teruklah,” desis Hasnah.
“Adam sudah cuba bangkit awal, ibu. Tetapi kalau setiap hari Adam tidur lambat, bagaimana hendak bangun? Ini semuanya Ila punya fasal,”
“Ila pula yang disalahkan,” gerutu Puteri Karmila.
“Ila yang selalu ganggu kanda tidur dahulu. Kalau kanda tidak mahu layan pun Ila tidak akan pulang ke kamar. Terpaksalah kanda layan juga. Kalau tidak, Ila bercakaplah seorang diri macam orang tidak betul,”
“Jadi betullah apa yang kanda Adam beritahu tempoh hari? Ila suka menghendap ke bilik kanda Adam?” getus Putera Hadi. Entah apa yang ada dalam fikirannya saat itu.
Puteri Karmila menoleh ke arah Putera Hadi. Dia merenung wajah Putera Hadi seketika, mencari maksud di sebalik kata-kata itu.
“Kanda Adi! Takkan dengan kekanda sendiri pun cemburu?” ujar Puteri Karmila.
Putera Hadi bangkit meninggalkan mereka berempat. Puteri Karmila menggeleng-gelengkan kepala.
“Kenapa dengan Adi?” tanya Putera Adam.
“Entahlah,” balas Hasnah ringkas. Raja Puan Anis tersenyum sendirian. Puteri Karmila tertunduk tatkala menyedari renungan bondanya. Dia beredar dari tempat itu tidak lama kemudian.
“Hal rumahtangga,” desis Raja Puan Anis sambil tertawa kelucuan.
Putera Adam turut tertawa.
“Kelakar betullah Adi itu. Dia memang selalu beginikah, bonda?”
“Tidaklah. Agaknya dia rasa tercabar sebab Adam putera raja juga. Selama ini lawannya hanya rakyat biasa saja,” balas Raja Puan Anis.
“Tidak masuk akal langsung!” gerutu Putera Adam.
*
Putera Adam tidak senang duduk. Sejak tadi dia tidak berhenti-henti berpeluh sedangkan angin menderu-deru berhembus. Malam pula sudah semakin larut.
“Adam..”
“Ayahanda,” sahut Putera Adam.
“Belum tidur lagi?”
Putera Adam menggeleng.
“Adam macam ada masalah saja. Sejak petang tadi Adam tidak bercakap dengan sesiapa,”
“Tidak adalah. Adam cuma letih. Itu saja,”
“Ayahanda lihat Adam selalu ke penjara. Adam jumpa siapa?”
Tergamam Putera Adam seketika.
“Adam..”
Masih tiada jawapan. Soalan itu hanyut bersama desir angin.
“Ayahanda, bila lagi ada perbicaraan?”
“Kenapa Adam tanya?”
“Saja mahu tahu,”
“Tidak akan ada perbicaraan lagi sehingga Adam menjadi raja,” balas Raja Iskandar.
“Jadi, bagaimana dengan orang tahanan yang lain? Bukankah baru Haris sahaja yang dijatuhkan hukuman. Kalau hendak menunggu sampai Adam jadi raja, lama lagilah, ayahanda,”
“Hanya tinggal seorang sahaja yang menanti keputusan mahkamah. Yang lain sudah selesai,”
Putera Adam memandang jauh ke luar.
“Jadi hanya tinggal..”
“Adam yang akan tentukan nasib dia,” Raja Iskandar menyambung. Tangan kanannya diletakkan di atas bahu kiri Putera Adam.
“Tapi, Adam..”
“Adam cukup dewasa, cukup matang untuk menentukan siapa yang benar dan siapa yang salah. Semuanya sudah termaktub dalam undang-undang. Tidak ada yang kurang dan tidak ada yang bertambah,”
Putera Adam hanya memandang ketika Raja Iskandar mengeluarkan sebuah catatan yang terlihat usang.
“Adam tahu apa ini?”
“Mungkin cebisan dari kitab perlembagaan pertama, dari nilai kertasnya,”
“Tepat sekali. Ini adalah pesanan daripada orang yang menulis perlembagaan kita. Bacalah, dan ingat ini selalu. Ini pelajaran yang Adam tertinggal sepanjang di Mahkota Peribumi, dan yang terpenting antara pelajaran-pelajaran yang ada,” pesan Raja Iskandar lantas meninggalkan Putera Adam sendirian.
Aku tulis sajak ini di bulan gelap raja-raja
Bangkai-bangkai tergeletak lengket di aspal jalan
Amarah merajalela tanpa alamat
Kelakuan muncul dari sampah kehidupan
Pikiran kusut membentur simpul-simpul sejarah

O, zaman edan!
O, malam kelam pikiran insan!
Koyak moyak sudah keteduhan tenda kepercayaan
Kitab undang-undang tergeletak di selokan
Kepastian hidup terhuyung-huyung dalam comberan

O, tatawarna fatamorgana kekuasaan!
O, sihir berkilauan dari mahkota raja-raja!
Dari sejak zaman Ibrahim dan Musa
Allah selalu mengingatkan
bahwa hukum harus lebih tinggi
dari ketinggian para politisi, raja-raja, dan tentara

O, kebingungan yang muncul dari kabut ketakutan!
O, rasa putus asa yang terbentur sangkur!
Berhentilah mencari Ratu Adil!
Ratu Adil itu tidak ada. Ratu Adil itu tipu daya!
Apa yang harus kita tegakkan bersama
adalah Hukum Adil
Hukum Adil adalah bintang pedoman di dalam prahara

Bau anyir darah yang kini memenuhi udara
menjadi saksi yang akan berkata:
Apabila pemerintah sudah menjarah Daulat Rakyat
apabila cukong-cukong sudah menjarah ekonomi bangsa
apabila aparat keamanan sudah menjarah keamanan
maka rakyat yang tertekan akan mencontoh penguasa
lalu menjadi penjarah di pasar dan jalan raya

Wahai, penguasa dunia yang fana!
Wahai, jiwa yang tertenung sihir tahta!
Apakah masih buta dan tuli di dalam hati?
Apakah masih akan menipu diri sendiri?
Apabila saran akal sehat kamu remehkan
berarti pintu untuk pikiran-pikiran kalap
yang akan muncul dari sudut-sudut gelap
telah kamu bukakan!

Cadar kabut duka cita menutup wajah Ibu Pertiwi
Airmata mengalir dari sajakku ini.
Malam itu Putera Adam tidak dapat tidur walau sepicing pun. Kata-kata ayahandanya terngiang-ngiang dalam fikiran. Tambah kusut lagi dia mengenangkan amanat sang penyajak yang baru dibacanya.
“Ayatnya jelas, dan tidak memerlukan Ila untuk menterjemah maksudnya. Mampukah aku?” Putera Adam berbicara sendirian.

Friday, April 15, 2011

Haruskah - 42

“Kanda, ayahanda mahu berjumpa kanda sekarang juga,” kata Puteri Karmila. Tanpa mengetuk pintu mahupun memberi salam, dia terus menerpa ke arah Putera Adam. Hatta lampu pun tidak dibuka.

“Kenapa, Ila?”

“Ila tidak tahu. Tadi bonda panggil Ila ke kamarnya. Tapi ayahanda tidak kata apa-apa pun. Ayahanda cuma suruh Ila panggilkan kanda sahaja,”

“Kalau begitu, Ila pergilah dahulu. Sekejap lagi Adam ke sana,” kata Putera Adam.

Setelah Puteri Karmila menghilang di balik pintu, Putera Adam terus bangkit dari peraduannya. Lampu di sisi peraduan dihidupkan. Dia mengerling ke arah jam yang tergantung di dinding.

“Baru pukul dua pagi. Apa yang ayahanda mahukan awal-awal pagi begini?” desis Putera Adam.

Dia mengambil nunchaku yang disembunyikan di dalam kotak kecil di bawah peraduannya. Entah apa tujuannya, Putera Adam sendiri tidak pasti. Yang dia tahu, tidak pernah lagi dia meninggalkan benda itu sejak pulih daripada kecederaan tempoh hari. Trauma, mungkin.

Langkahnya diatur perlahan-lahan ke kamar peraduan Raja Iskandar.

*

Pintu yang sedikit terbuka dikuak perlahan-lahan dari arah luar. Lima pasang mata tertumpu ke arah Putera Adam. Satu persatu Putera Adam merenung kembali. Terakhir pandangannya dipasakkan pada Raja Iskandar.

“Assalamualaikum,” sapa Putera Adam. Masing-masing menjawab dengan tenang. Putera Adam masih di muka pintu.

“Ke mari, Adam,” panggil Raja Iskandar. Tegang saja bunyinya.

Segera Putera Adam mendekat. Kantuk yang tadi menyerang hilang tiba-tiba.

“Ada apa, ayahanda?” Putera Adam menegur takut-takut.

Raja Iskandar diam sahaja. Putera Adam semakin gusar.

“Adam ada buat salahkah?”

Masih bisu.

Putera Adam pandang wajah Puteri Karmila. Tidak ada reaksi.

Hasnah tidak berganjak.

Raja Puan Anis masih serius.

Putera Adam merenung Putera Hadi. Masih tidak ada jawapan.

Tiba-tiba terdengar bunyi orang tertawa. Putera Adam jadi keliru.

“Sudahlah, Adam. Takut benar. Pergilah ambil air sembahyang sana. Kita sembahyang sunat sama-sama,” kata Raja Iskandar.

Putera Adam menarik nafas lega.

“Adam ingatkan apalah tadi,” desis Putera Adam.

*

Keluarga kecil itu duduk membentuk satu bulatan. Putera Adam masih kelihatan tertekan.

“Masih lagi, Adam?” tegur Raja Iskandar.

“Apa yang masih lagi?” balas Putera Adam.

“Cuba tarik nafas dalam-dalam. Lepaskan semua tekanan yang ada. Kami tahu Adam belum boleh terima keadaan sekarang. Jangan memaksa diri. Masih ada masa untuk Adam bersedia,” kata Raja Iskandar.

Putera Adam menurut. Raja Iskandar sekadar memerhati.

Deruan bayu yang masuk melalui jendela mendinginkan suasana. Sesekali kedengaran geseran dedaun dari pohon-pohon rimbun di taman terlarang. Bisikan angin begitu mendamaikan.

“Sudah lega?” tanya Raja Iskandar.

Putera Adam mengangguk kecil. Bibirnya dipaksa mengukir senyum. Sunyi seketika.

“Kenapa tipu Adam?” Putera Adam mula bersuara semula.

“Siapa yang tipu Adam?” Raja Iskandar memulangkan soalan.

Putera Adam diam.

“Adam rasa tertipu?”

Angguk.

“Kenapa?”

“Adam betul-betul takut tadi. Sudahlah bangunkan Adam tengah-tengah malam. Disergah lagi. Sampai di sini pula, semua buat tidak tahu saja bila Adam tanya,”

Raja Iskandar tertawa lagi.

“Ila kata apa tadi?”

“Dia kata ayahanda panggil Adam. Ketuk pintu tidak. Beri salam pun tidak. Tahu-tahu dia sudah di depan Adam saja. Adam baru saja terlelap. Terperanjat Adam dibuatnya,”

“Ila sendiri pun tidak tahu apa-apa. Ayahanda suruh bonda jenguk dia, rupanya dia belum tidur lagi. Ayahanda suruhlah dia bangunkan Adam sekali. Sudah alang-alang terjaga awal-awal pagi, apa salahnya sembahyang sunat? Lagipun, belum pernah lagi kita berkumpul begini satu keluarga. Kalau menunggu hari siang, entah bila masanya. Adam ke utara, ayahanda di selatan,”

Putera Adam mengangguk mengerti.

“Masih terlalu banyak yang Adam belum tahu tentang keluarga kita,” desis Putera Adam.

Friday, April 8, 2011

Haruskah - 41

Hanna memeluk ayahnya erat-erat. Air matanya mengalir tidak henti-henti. Puas Nadia memujuk, akhirnya dia membiarkan sahaja. Setelah bersalaman dengan Azim, Nadia terus naik ke atas dek. Wajahnya disembunyikan dari pandangan orang sekitar.

“Hanna, janganlah menangis lagi. Ayah belum hendak mati lagilah,” kata Azim.

“Tapi Hanna tidak akan berjumpa ayah lagi. Mati atau tidak, ini pertemuan kita yang terakhir,”

Azim kehilangan kata. Sayu seketika.

Putera Adam memalingkan wajah dan mula melangkah pergi. Dia tidak tega melihat gadis kesayangannya menangis. Nafasnya dihela dalam-dalam. Suara Hanna kian tenggelam. Deru angin sesekali membawakan khabar. Putera Adam tunduk menghayati. Mulutnya kumat-kamit sesaat mendengar namanya dibisikkan bayu.

Dari jauh, Putera Adam melihat Hanna menaiki kapal yang akan membawanya pulang ke Mustika Fansuri. Gadis itu langsung tidak menoleh ke arahnya. Putera Adam segera mendapatkan Azim yang diiringi pegawai penjara.

“Biar beta yang bawa orang ini pulang,”

“Tapi, Tuanku..”

“Kalian ikut dari belakang sahaja,” arah Putera Adam. Dia menarik lengan Azim dan membawanya ke kereta yang sedang menanti.

“Pak cik sudah beritahu Hanna?” tanya Putera Adam.

“Sudah,”

“Apa katanya?”

“Dia mahu Adam sendiri beritahu,”

Putera Adam diam sejenak.

“Agaknya mahukah dia terima Adam?”

“Adam tanyalah kepada Hanna. Saya tidak tahu,”

“Pak cik ayahnya,”

“Saya jarang sangat ada di rumah. Sibuk sangat melakukan kerja-kerja salah untuk kepuasan sendiri. Sampaikan anak isteri terabai. Memang patut saya dihukum sebegini,” desis Azim kesal.

“Semua orang pernah melakukan kesilapan, pak cik. Adam sendiri pun ada buat salah. Buat salah kepada ayahanda, kepada bonda, kepada ibu..”

“Tidaklah sebesar mana. Tangan ini sudah terlalu banyak berlumur darah, Adam. Adam tidak takutkah?” balas Azim.

Putera Adam terdiam.

Sepanjang perjalanan pulang, mereka tidak banyak berkata-kata. Masing-masing melayan perasaan sendiri, dengan cerita sendiri.

Friday, April 1, 2011

Haruskah - 40

Putera Adam memerhatikan dirinya di dalam cermin. Berkali-kali dia cuba membuka mulut, tetapi tidak sampai seminit dia sudah mengalihkan pandangan. Nafasnya dihela lagi sedalam mungkin sebelum dilepaskan dalam keluhan yang berat.

“Cuba lagi, kanda. Kanda tidak boleh berterusan begini. Bukannya ada orang lain di sini. Hanya kita berdua sahaja,” ujar Putera Hadi.

“Tidak boleh, Adi. Adam sekarang bukan Adam yang dulu. Bukan lagi Putera Adam Qushairy yang penuh keyakinan. Semuanya berlalu sejak kanda tinggalkan Mahligai Kayangan dahulu,”

“Sebab itulah kita di sini. Kalau memandang wajah sendiri pun kanda tidak sanggup, bagaimana kanda mahu berdepan dengan orang? Tugas sebagai pemimpin adalah tanggungjawab seumur hidup. Bukannya untuk setahun dua.”

“Adi sajalah yang jadi raja,” kata Putera Adam.

“Kanda jangan hendak buat hal lagi. Seluruh negeri sudah tahu siapa yang bakal menggantikan Raja Iskandar,”

“Kanda sudah terasa seperti orang gila sahaja. Adakah patut kanda disuruh bercakap dengan cermin? Kanda minta petua untuk menghilangkan gementar, bukannya buat kerja bodoh ini,” gerutu Putera Adam.

“Kalau bercakap di hadapan cermin pun susah, bercakap di hadapan orang lagi susah. Kanda tidak tahukah kisah ayahanda kanda dahulu?”

“Apa kisahnya?”

“Dikurung di dalam bilik yang penuh dengan cermin sepanjang minggu. Sebabnya, samalah dengan kanda. Takut berhadapan dengan orang ramai, katanya. Semuanya berlaku selepas dia tertangkap di Mahota Peribumi selepas dua tahun bernikah dengan ibu kanda. Hilang keyakinan diri selepas meninggalkan istana,”

“Nampaknya Adi lebih tahu kisah keluarga kanda daripada kanda sendiri,”

“Keluarga kanda, keluargaAdi juga. Kanda tidak tahu, Adi sendiri hampir dikenakan tindakan yang sama oleh ayahanda. Mujur ayahanda kanda menghalang, dengan syarat Adi bawa kanda pulang ke Mahligai Kayangan,”

“Selepas itu, kanda pula yang kena? Begitu?”

“Ini baru sedikit, kanda. Adi sempat duduk di bilik itu dua hari berturut-turut. Bilik itu memang penuh dengan cermin sampai ke siling. Hanya bilik air sahaja yang tidak bercermin. Takkan hendak duduk di situ sepanjang hari? Boleh gila dibuatnya. Sudahlah disuruh bercakap dengan cermin, ke mana pun kita pandang sentiasa nampak muka kita. Hendak makan pun tidak senang. Memanglah Adi boleh keluar, tapi ayahanda sendiri yang mengawal bilik itu,”

Menggigil Putera Adam mendengar kisah Putera Hadi.

“Cepat, kanda. Adi kurangkan masanya. Dua minit sahaja. Sebentar lagi pasti Puan Nadia dan Hanna sampai. Nanti lagi kanda malu. Bukan Adi tidak kenal sikap kanda bagaimana. Lebih-lebih lagi di hadapan Hanna,” desak Putera Hadi.

“Esok sahajalah,” pujuk Putera Adam.

“Esok kanda jadi seperti ini lagi. Dua jam duduk di sini hanya membuang masa sahaja,”

“Satu minit,”

“Dua. Atau kanda mahu Adi naikkan jadi lima minit semula? Lima belas, mungkin?”

“Bukannya ayahanda tahu,”

“Dia tahu kalau Adi cuba berbohong. Tidak pernah sekali pun Adi dapat bohongkan ayahanda kanda. Ila juga sama,”

“Yalah. Dua minit. Tapi kanda hendak cakap apa?”

“Hmm.. Kanda tidak mahu bercerita tentang Mahkota Peribumi?” Putera Hadi memberi cadangan.

*

Seminggu di Mahligai Kayangan, Hanna berusaha untuk mengelak daripada bertemu Putera Adam. Selalunya dia hanya duduk di dalam kamar yang dikhaskan untuk dia dan Nadia. Jika keluar pun sekadar untuk bertemu Azim.

Putera Adam pula cuba sedaya upaya menemui Hanna setiap kali berkesempatan. Beberapa kali dia mengatur pertemuan dengan Azim, tetapi setiap kali itu juga Hanna tidak datang seolah-olah tahu rencananya.

“Sudahlah, kanda. Agaknya dia masih belum bersedia bertemu sesiapa,” pujuk Putera Hadi.

“Hanna bukan begini. Ini bukan Hanna,” desis Putera Adam.

“Beri dia kesempatan untuk hadapi situasi ini, kanda. Nanti pasti dia mengalah,”

“Kanda kenal dia bukan sehari, Adi,”

“Adi tahu. Tapi Hanna sedang bersedih. Lagi pula, apa yang buat kanda beria-ia benar hendak bertemu dia?”

“Dia sahabat baik kanda di Mahkota Peribumi. Sesekali bertemu takkan begini jadinya? Selepas dia pulang ke sana, entah bila lagi bersua muka,”

“Masih ada seminggu lagi, kanda. Bersabarlah,” pujuk Putera Hadi.

*

“Kanda Adam mana? Sudah dua hari Ila tidak nampak dia langsung,” tanya Puteri Karmila.

“Di kamar,” balas Putera Hadi ringkas.

“Masih di kamar? Waktu-waktu begini? Bukankah selalunya kanda Adam sudah siap untuk keluar?”

“Demam,” balas Putera Hadi sepatah.

“Demam? Kenapa Ila tidak tahu?” desis Puteri Karmila.

“Ila mahu ke mana pula?”

“Jumpa kanda Adam,” balas Hanna. Putera Hadi ditinggalkan sendirian.

“Bukan di kamar kanda. Di kamar pengubatan,” Putera Hadi memberitahu.

Puteri Karmila mengangguk tanpa menoleh ke arah Putera Hadi.

“Demam cinta agaknya,” bisik Putera Hadi. Dia mengerling ke arah kamar tetamu yang didiami Hanna dan ibunya apabila ternampak seseorang lalu di situ.