Tuesday, March 9, 2010

Haruskah - 1

Kawasan istana yang megah itu menjadi tempat yang paling sesuai untuk bermain sembunyi-sembunyi. Itulah yang ada dalam fikiran dua orang anak kecil yang dilahirkan sebagai putera dan puteri raja. Putera Adam Qushairy dan adindanya, Puteri Karmila, berlari-larian di taman terlarang. Hanya kerabat diraja dan dayang istana serta inang pengasuh sahaja yang boleh masuk ke kawasan itu. Dua orang pengasuh yang mengiringi mereka sudah tidak mampu menghalang.

Gelagat dua bersaudara itu diperhatikan oleh ayahanda mereka dari beranda peraduannya yang menghadap ke arah taman itu. Sesungguhnya binaan istana itu amat strategik dan menyukarkan penceroboh memecah masuk. Setiap laluan keluar masuk dapat diperhatikan dari hampir setiap ruang di dalam istana. Di situlah terletaknya keunikan Mahligai Kayangan.

"Kanda Adam, kanda di mana? Keluarlah! Ila sudah penatlah!" laung Puteri Karmila. Dia sudah puas mencari Adam yang sebenarnya bersembunyi di belakangnya sahaja sejak tadi. Rumpun buluh halus yang rimbun menghalang pandangan Puteri Karmila daripada melihat Adam. Raja Iskandar menyaksikan kerenah kedua-dua anakanda baginda dengan tenang.

"Hah!" sergah Adam. Puteri Karmila yang terperanjat tidak dapat mengawal keseimbangan tubuhnya lalu terjatuh ke dalam kolam kecil di tepi pokok buluh tempat Adam bersembunyi tadi.

"Alamak!" jerit Adam. Kedua-dua pengasuh yang mengiringi mereka tadi bergegas ke tepi kolam. Adam cuba menarik adindanya keluar dari kolam kecil itu. Raja Iskandar yang melihat kejadian itu segera turun ke taman.

"Ila okey?" tanya Adam. Puteri Karmila diam. Habis pakaiannya basah gara-gara terjatuh. Dia memandang Adam dengan wajah bengis.

"Kalau ya pun hendak kejutkan orang, janganlah di tepi kolam!" Puteri Karmila menolak Adam ke arah kolam tetapi sempat ditahan oleh Raja Iskandar. Mujur juga tubuh Adam ringan. Kalau tidak, mungkin mereka berdua turut basah kuyup.

"Macam inikah perangai puteri kesayangan ayahanda? Janganlah garang sangat, nanti tidak ada orang yang berani masuk meminang," pujuk Raja Iskandar. Dia memberi isyarat menyuruh Adam masuk ke dalam istana. Puteri Karmila mencebik.

"Biarlah. Anakanda pun belum hendak berkahwin lagi. Biarlah kanda Adam yang kahwin dahulu," balas Puteri Karmila.

"Puteri ayahanda tidak ada lukakah?" tanya Iskandar penuh prihatin. Baginda membelek-belek tubuh Puteri Karmila seketika. Setelah melihat tiada kesan luka di mana-mana, baginda mengambil tuala yang dibawa oleh salah seorang dayang yang mengekorinya lalu dibalutkan ke tubuh Puteri Karmila. Baginda mengarahkan perawat yang dipanggilnya untuk menyediakan mandian herba untuk Puteri Karmila. Gadis itu tidak boleh dibiarkan kesejukan.

"Anakanda pergilah bersiram dan salin pakaian dahulu. Sebentar lagi kita bersantap," ujar Raja Iskandar. Puteri Karmila pergi diiringi pengasuhnya.

* * * * * * * * * *

Adam menyusup masuk ke bilik Puteri Karmila. Dia segera menutup pintu dan mendekati adindanya itu.
“Dinda, marilah,” ujar Adam.

Puteri Karmila menyelimuti tubuhnya dengan baju panas sebelum mengekori Adam ke jendela yang terbuka luas.

“Ila naiklah dahulu,” ujar Adam. Dia memerhatikan lorong yang terdekat dengan jendela itu untuk memastikan tidak ada pengawal yang melihat mereka.

Puteri Karmila berbaring di atas bumbung setelah Adam berada di sampingnya.

“Kanda, lihat di sana,” ujar Puteri Karmila.

“Ada apa?”

“Yang itu biduk. Di sebelah sana belantik. Pari pun ada,” kata Puteri Karmila. Adam memandang ke arah yang ditunjukkan oleh adindanya.

“Cantik langit malam ini,” desis Adam.

“Cantik sangat. Jarang dapat tengok langit seperti malam ini, bukan?”

Adam mengiakan. Dia berbaring berbantalkan lengan.

“Dinda belum mengantuk lagi?

“Belum,”

“Kanda mengantuklah. Esok ada latihan menunggang kuda lagi,”

“Dinda mahu ikut,”

“Mana boleh. Dinda duduk saja diam-diam di kamar. Inang ada temankan dinda. Lagipun petang esok ada latihan silat. Nanti dinda keletihan,”

“Tidak seronoklah asyik duduk di istana saja. Sesekali dinda mahu juga merasa keluar dari sini,”

“Beritahulah pada ayahanda. Mungkin ayahanda benarkan,”

“Susahlah,”

“Kalau sudah tahu susah, tidak perlulah.”desis Adam.

Puteri Karmila mendiamkan diri seketika. Dia sudah duduk berpeluk tubuh.

“Kita masuk ke dalam. Sejuk sangat sekarang ini. Nanti datang pula lelah dinda, apa kanda mahu jawab pada bonda,”

Puteri Karmila menurut dengan berat hati. Sempat dia menoleh ke langit sekali lagi sebelum menutup jendela. Adam mengucup dahi Puteri Karmila dan menyelimutkannya sebelum keluar dari kamar Puteri Karmila untuk pulang ke kamarnya sendiri.

No comments:

Post a Comment