Saturday, March 27, 2010

Haruskah - 8

Adam duduk sendirian di bawah sebatang pohon. Dia duduk bersandar pada batang pohon itu. Pelajar yang ditinggalkan di bawah jagaannya hanya dijeling sekali-sekala. Malas rasanya hendak menyakat. Sesekali bunyi unggas bersahutan menegakkan bulu tengkuknya. Adam menggosok-gosok lengannya untuk menghilangkan rasa seram yang mengusik hatinya.

“Kanda Adam,” Bisikan itu kedengaran lagi.

“Pedulikan!” desis Adam.

“Kanda sudah tidak sayangkan dinda lagikah?”

“Adam bukan kanda Tuanku Puteri.”

“Kanda, janganlah begini. Tolonglah. Ila perlukan kanda,”

Adam memegang kepalanya yang terasa sakit tiba-tiba.

“Jangan pujuk Adam lagi! Jangan pujuk Adam lagi!”

Berkali-kali Adam mengulangi ayat itu.

“Ila akan terus pujuk kanda sampai kanda mahu pulang ke Mahligai Kayangan,”

Adam menyumbat kedua-dua telinganya dengan jari.

        *        *        *        *        *

“Adam, kau sudah sedar?” Suara Hanna menyapa.

Adam memerhati keadaan sekelilingnya.

“Apa yang terjadi?”

“Kau pengsan semasa aktiviti kembara. Encik Akmal kata kau macam meracau-racau. Kau asyik sebut nama Ila dan Puteri. Kau ingat apa-apa tentang itu?”

Adam membisu. Soalan Hanna dibiarkan sepi. Matanya meliar seolah-olah mencari sesuatu.

“Ibu kau baru keluar. Sebentar lagi dia kembali.” ujar Hanna. Dia memberi laluan kepada doktor yang baru tiba bersama Alex dan Hans untuk memeriksa keadaan Adam.

Adam merelakan saja apa yang dilakukan oleh doktor itu ke atasnya. Suntikan yang diberikan seolah-olah tidak terasa. Fikirannya buntu mengingatkan apa yang terjadi pada malam itu.

Kehadiran Hasnah meredakan ketegangan yang dirasai Adam. Setelah doktor yang memeriksa Adam menyelesaikan tugasnya, Hasnah menghampiri Adam dan mengucup dahinya. Adam tersipu apabila ternampak Hanna sedang menekup mulut menahan tawa.

        *        *        *        *        *

"Adam, kau boleh tolong ajarkan aku buat latihan Ilmu Hisab malam ini? Esok kena hantar," pinta Alex.

"Kau belum siapkan lagikah? Bukankah semalam kita sudah bincangkan soalannya sama-sama. Aku hendak buat ulangkaji Ilmu Kaji Bumi malam ini. Hari Jumaat nanti ada ujian bulanan," jawab Adam.

"Bolehlah," pujuk Alex.

"Hanna dan Hans pun hendak buat ulangkaji Ilmu Kaji Bumi juga," ujar Adam.

"Tidak apalah. Kau ajar aku yang mana aku belum faham saja. Kau masih boleh buat ulangkaji,"

"Yalah. Tapi malam ini kau jangan lambat pula. Lepas Isyak, berkumpul di rumah aku," putus Adam akhirnya. Alex menarik nafas lega.

Malam itu, Alex yang paling awal tiba di rumah Adam. Terpinga-pinga dia melihat keadaan di dalam rumah itu yang tersusun dan agak mewah.

"Kau dari keturunan dirajakah, Dam?" tanya Alex. Dia membelek-belek beberapa buah tembikar berukiran tangan yang diletakkan oleh Hasnah di ruang tamu.

"Jangan merepek, Alex. Kau pun tahu aku anak Mahkota Peribumi. Mana pernah aku berdarah diraja,"

"Ah, tempat ini pun pernah beraja dulu, Dam. Kau tidak ingat lagi apa yang guru Sejarah kita ajar semalam? Kerana mahukan kemerdekaan dan pemerintahan sendiri, rakyat kita kehilangan seorang raja yang amat menyayangi warga kotanya. Seharusnya kita masih lagi berada di bawah naungan Mustika Fansuri,"

"Kita di sini tinggal dengan hutan saja. Mana ada kota di kawasan ini. Pekan kecil adalah," balas Adam. Alex tersengih.

"Betul juga kata Adam," bisiknya.

        *        *        *        *        *

Kelibat Puan Akma membuatkan suasana kelas yang bingit menjadi senyap secara tiba-tiba. Adam masih tenang di tempatnya. Hanna mengeluarkan buku teks dan buku latihan dari beg. Hans pula sudah mula mencatat apa yang ditulis oleh guru mereka di papan. Hanya Alex yang kelihatan gelisah.

“Hari ini kita akan mula belajar topik matriks. Saya mahu kamu semua tumpukan perhatian terlebih dahulu. Kamu boleh simpan semua buku yang ada. Saya cuma mahu tengok pen dan kertas sahaja yang ada di atas meja kamu,” arah Puan Akma.

Alex segera memasukkan buku rampaiannya ke dalam beg semula. Adam menggelengkan kepala melihat kelakuan Alex. Senyum yang hampir terukir ditahan-tahan.

“Alex, kamu faham atau tidak apa yang saya ajar tadi?” tanya Puan Akma sewaktu melintasi meja mereka berempat. Ketika itu, Adam dan teman-temannya yang lain sedang cuba menyelesaikan soalan yang diberikan.

Alex menggelengkan kepala beberapa kali.

“Alex, Alex. Sudah berapa kali saya ingatkan. Kalau tidak faham, bertanyalah. Tidak ada apa-apa yang perlu kamu malukan. Semua teman-teman kamu juga belajar dari bawah.” bebel Puan Akma. Dia meminta pensel yang digunakan Alex dan mula menerangkan topik kecil yang diajarnya tadi.

        *        *        *        *        *

Malam yang sepi bagai menarik-narik Adam ke katilnya. Komputer riba yang diletakkan di sisi katil Adam berbunyi lagi menandakan ada mesej yang baru masuk. Alex, Hanna dan Hans masih berada di ruang sembang maya. Sengaja Adam membiarkannya terbuka sebelum menunaikan sembahyang Isyak tadi.

Alex:    Adam sudah tidurkah? Senyap saja dari tadi.
Adam:    Belum lagilah. Aku baru habis sembahyang. Kenapa?
Alex:    Aku baru teringat sesuatu.
Hans:    Apa yang kau ingat?
Hanna:    Apa pula yang kau lupa?
Alex:    Minggu depan ada ujian Ilmu Kaji Bumi lagilah.
Adam:    Kau biar betul! Tadi baru habis ujian, minggu depan ada lagi?
Hanna:    Mana kau tahu?
Alex:    Aku dengar Puan Asma kata dia hendak buat ujian mengejut minggu depan.
Adam:    Kalau kau sudah tahu, tidaklah mengejut namanya.
Alex:    Agaknya dia tidak perasan aku lalu di situ.
Hans:    Habis itu, kau hendak buat apa?
Alex:    Aku risau ini. Aku mana habis buat ulangkaji lagi.
Hanna: Aku pun belum habis lagi.
Hans:    Agaknya untuk kelas dia saja.
Alex:    Tidak mungkin. Dia kata soalan sudah siap untuk pelajar Kelas Satu dan Dua.
Adam:    Esok kita buat ulangkaji lagi.
Alex:    Tidak sempat, Adam. Kau lupa berapa banyak lagi peta yang kita belum lukis?
Hans:    Betul. Kelas lain pun sudah jauh belajar. Kita saja yang ketinggalan.
Hanna:    Aku tidak mahu disuruh buat pembetulan 50 kali.
Adam:    Habis itu, kau hendak buat apa?
Alex:    Kita ambil kertas soalan itu dan buat dahulu sebelum orang lain.
Hans:    Kau gilakah? Bagaimana kita hendak masuk ke bilik guru itu?
Alex:    Aku sudah tahu caranya.
Hanna:    Tempat itu dikawal dengan kamera litar tertutup. Mustahil kita boleh masuk.
Alex:    Kita matikan sahaja kamera-kamera itu.
Adam:    Kau buat seoranglah. Aku belum cukup gila lagi. Kena cekup pula nanti.
Hans:    Macam seronok saja.
Hanna:    Aku mahu ikut!
Alex:    Hanna, kau perempuan. Kau duduk di rumah sajalah.
Hans:    Adam, kau bagaimana?
Hanna:    Aku mahu ikut juga!
Adam:    Sudah lama juga aku tidak menghendap. Tapi, selamatkah rancangan kau ini?
Alex:    Selamat. Aku sudah pernah cuba.
Hans:    Kau cuba di mana?
Alex:    Kedai SiberZero. Kalian pun tahu kedai itu serba canggih. Nama saja Zero.
Hanna:    Apa yang kau curi dari kedai itu?
Alex:    Eh, aku tidak curi apa-apalah! Aku cuma pinjam kedai sekejap. Dengan izin!
Hans:    Ada harapan kau menang pertandingan rekacipta tahun ini.
Alex:    Kalau tidak ketahuan, bolehlah aku masuk pertandingan itu.
Hanna:    Kau benarkan aku ikut atau tidak?
Alex:    Kau duduk di rumah sajalah.
Hanna:    Terima kasih. Nanti aku tolong laporkan pada pengetua fasal ini.
Alex:    Eh, janganlah! Yalah. Kau ikutlah.
Hanna:    Ha! Dapat juga aku ikut.
Hans:    Aku mengantuklah. Aku hendak tidur dahulu.
Hanna:    Kau tidak ada kerja lainkah, Hans? Melayan mata saja.
Alex:    Aku pun hendak tidurlah, Hanna. Sudah hampir pukul satu sekarang ini.
Hanna:    Adam mana?
Alex:    Entah. Agaknya dia sudah sampai ke istana kayangan. Aku tidur dahulu.
Hanna:    Tinggal aku seorangkah?
Hanna:    Hans!
Hanna:    Adam!
Hanna:    Sampai hati betul!


*Apa yang akan mereka lakukan? Nantikan sambungannya..

No comments:

Post a Comment