Friday, May 13, 2011

Haruskah - 46

“Adi benar-benar tidak mahu bawa kes ini sehingga selesai?”

“Benda sudah berlalu, kanda. Lagipun, ayahanda mangkat bukan sebab dia. Kalau sudah namanya pun sampai ajal, sedang tidur pun boleh mangkat,”

“Betulkah? Mula-mula dulu beria-ia benar kanda tengok,”

“Adi tidak sampai hati, kanda. Kecut perut Adi setiap kali terbayang tentang dia. Biarlah Allah sahaja yang balas,”

Raja Adam membelek-belek lagi helaian pada fail tebal di hadapannya.

“Kanda,”

“Apa yang buat Adi ubah fikiran? Kanda harap bukan kerana kanda,”

“Tidak. Adi sudah fikirkan masak-masak. Kalau dibalas bunuh sekalipun, apa yang Adi dapat? Bukannya Adi dapat ayahanda semula,”

Raja Adam bertentang pandangan dengan Putera Hadi seketika. Masing-masing berbicara tanpa suara.

“Jadi, Adi berubah kerana Hanna? Begitu?”

“Mungkin juga, mungkin tidak. Adi sudah istikharahkan, dan ini keputusan Adi,”

Khali.

“Terima kasih,” desis Raja Adam separuh berbisik.

“Ada apa-apa yang Adi belum tahukah tentang dia?” tanya Putera Hadi.

Raja Adam hanya tersenyum hambar.

“Masih ada satu perkara yang belum selesai. Kes penyeludupan,” Raja Adam cuba melarikan tumpuan Putera Hadi.

“Lekaslah. Nanti terlambat pula. Kita ditunggu,” gesa Putera Hadi. Raja Adam menuruti langkah Putera Hadi. Arah tujuan mereka adalah ke kompleks mahkamah.

*

“Ibu mahu ke mana?” tanya Raja Adam. Dia memerhatikan lagi keadaan kamar yang didiami ibunya. Beberapa buah beg tersusun rapi di satu sudut.

“Terlalu lama ibu tinggalkan Mahkota Peribumi. Sudah tiba masanya ibu pulang ke sana. Kasihan Puan Nadia uruskan syarikat seorang diri sedangkan itu syarikat ibu,”

“Ibu, Adam mahu pulang ke sana juga,”

“Indah Laksana perlukan Adam,”

“Tidak bolehkah Adam keluar sebentar dari kekalutan di sini?”

“Belum boleh lagi buat masa ini, Adam. Masih terlalu awal untuk Adam tinggalkan. Bukankah Adam masih perlu belajar?”

“Ibu pun boleh pulang lain kali sahaja,”

“Ibu ada tanggungjawab ibu juga. Adam ada tanggungjawab Adam sendiri. Kita masing-masing ada tempat masing-masing di atas dunia ini, Adam,”

Raja Adam duduk di peraduan ibunya. Hasnah membiarkan sahaja. Tangannya masih sibuk memasukkan barang-barangnya ke dalam beg.

“Bila ibu berangkat?”

“Dua hari lagi,” balas Hasnah.

“Ibu pulang seorang?”

“Adi mahu ikut katanya,”

“Ini tidak adil!” getus Raja Adam.

“Adi ke sana sekejap saja. Bulan hadapan dia balik ke sini,”

“Ibu lebihkan Adi daripada Adam,” desis Raja Adam separuh berbisik.

Hasnah tersentak. Pandangannya dihalakan ke arah anak tunggalnya. Raja Adam segera berpaling.

“Adam,”

Raja Adam tidak menoleh. Wajahnya masih disembunyikan daripada renungan ibunya.

“Raja Adam Qushairy,” panggil Hasnah.

Raja Adam masih membisu. Hasnah mendekati Raja Adam.

“Kenapa ini, Adam?”

“Ibu sudah berjanji tidak akan tinggalkan Adam lagi. Tapi sekarang..”

“Adam, ibu pulang ke rumah kita sekejap sahaja. Ibu hendak uruskan hal syarikat itu sebentar. Nanti ibu pulang ke sini semula,”

“Tapi ibu macam tidak mahu pulang saja Adam tengok. Hampir semua barang ibu sudah dikemas,”

“Bukan untuk dibawa, Adam. Ibu mahu kemaskan tempat ini supaya tidak semak sangat. Ibu cuma bawa satu beg saja,”

“Betulkah?”

“Betul. Untuk apa ibu tipu Adam? Bukannya ibu dapat apa-apa. Menambah dosa saja,”

Raja Adam menarik nafas lega. Kegusaran di wajahnya sudah mula hilang. Dia membalas pelukan Hasnah.

“Adam jaga Indah Laksana elok-elok, ya. Ini amanah ayahanda Adam. Amanah keluarga kita. Jangan sampai tergadai,” pesan Hasnah.

Raja Adam mengangguk.