Sunday, May 16, 2010

Haruskah - 13

Alex membaling pemutar skru mini yang digunakannya ke dalam kotak peralatan di atas meja.

“Kenapa tidak menjadi?”

Dia memeriksa sambungan wayar dan perintang pada papan litar.

Hans menonton dari sisi.

“Apa yang tidak kena, Alex?” tanya Adam.

“Saya rasa ada bahagiannya yang rosak,”

“Habis, apa yang kita hendak buat sekarang?”

“Saya sudah penat. Saya rasa macam hendak tarik diri saja dari pertandingan ini,”

“Dulu awak sendiri yang beria-ia hendak ikut. Belum apa-apa sudah isi borang,” getus Adam.

“Masa itu saya ingatkan senang saja hendak ubahsuai benda ini. Tapi, bila sudah jadi begini saya rasa usaha saya tidak berbaloi.”

“Saya rasa saya tahu apa yang awak perlukan,” ujar Hans.

“Apa?”

“Hanna,” balas Adam ringkas.

Alex membisu seketika.

“Ah, tidak ada gunanya dia ada sekalipun. Bukannya dia boleh bantu apa-apa,”

“Awak salah, Alex. Hanna selalu kritik kerja awak. Sebab itu awak selalu bergaduh dengan dia. Setiap kerja yang dia lakukan teliti. Apa jenis kesalahan yang awak buat, semuanya dia nampak. Itu sebenarnya yang buat awak berjaya hasilkan macam-macam benda sebelum ini,”

Alex diam berfikir.

“Tapi dia sudah tidak mahu ikut serta dalam projek ini. Batang hidung dia pun saya tidak nampak dua, tiga hari ini,” kata Alex kemudiannya.

“Dia merajuk dengan awaklah, Alex. Awak kutuk dia teruk sangat. Awak sendiri tahu, emosi perempuan tidak sama dengan lelaki. Walaupun dia selalu bergaul dengan kita dan berperangai macam lelaki, hakikatnya Hanna masih seorang perempuan,”

“Habis, awak mahu saya buat apa sekarang?”

“Awak pujuklah dia,” kata Adam.

“Pujuk?” ujar Alex separuh berbisik. Dia memandang wajah Adam seketika. Adam tidak membalas. Hans juga tidak memberi apa-apa respons.

*

Hanna duduk di pondok menunggu bas seorang diri. Nota di tangannya dibaca sementara menanti loceng berbunyi. Beberapa buah kenderaan lalu lalang di hadapannya.

Deringan loceng basikal mengejutkan Hanna.

“Hanna, saya hendak bercakap dengan awak sekejap. Boleh?” pinta Alex.

Hanna membisu.

“Hanna,”

“Awak mahu apa?” sergah Hanna. Terkedu Alex dibuatnya.

“Saya mahu awak ikut balik dalam kumpulan itu. Kami perlukan awak,”

“Bukankah sudah cukup tiga orang dalam kumpulan awak. Saya tidak diperlukan di sana. Lagipun, saya perempuan,” Kata-kata Hanna menusuk ke telinga Alex.

“Saya belum potong nama awak dari borang itu,”

“Adam ada. Dia boleh gantikan saya,” balas Hanna.

“Adam sudah beritahu dia tidak mahu ikut sejak mula lagi. Saya tidak pandai hendak pujuk dia. Saya perlukan awak. Tolonglah, Hanna. Kita sudah lama berkawan. Takkan semata-mata kerana perkara hari itu, hubungan kita putus macam itu saja?”

“Awak ikutlah kategori berpasangan atau individu. Bukannya susah,”

Hanna meninggalkan Alex sendirian di situ. Setelah Alex meletakkan basikalnya di bangsal yang disediakan untuk pelajar dan beredar ke tempat yang sudah ditetapkan, barulah Hanna kembali ke pintu pagar utama sekolah.

*

Alex bertungkus lumus menyiapkan alat pemecah kod ciptaannya. Beberapa kali dia terluka kerana terlalu asyik dengan kerja. Suasana sunyi yang menyelubungi tidak diendahkan.

“Ah, kalau mereka tidak mahu, biar saya seorang saja yang ikut!” desis Alex sendirian. Dia meleretkan matanya pada borang yang baru diambil di bilik kaunseling petang tadi. Borang yang sedia diisinya diletakkan di sebelah borang yang baru itu.

Teringat alasan Hans sewaktu menyatakan penarikannya daripada pertandingan itu.

“Saya tidak layak ikut pertandingan ini. Selama ini awak saja yang buat kerja. Lebih baik awak ikut kategori individu. Awak pun tidak perlulah berkongsi hadiah itu dengan kami nanti. Gunakan saja 5000 yang awak dapat nanti untuk sambung belajar,”

Seketika kemudian, suara Adam pula terngiang-ngiang.

“Saya tidak berminat. Saya mahu ikut olimpiad. Awak sajalah yang ikut. Hanna pun tidak ada,”

Alex mengetap bibir.

“Tidak habis-habis dengan Hanna. Kalau dia ada pun bukannya Adam ikut,” gerutu Alex. Dia menggumpalkan borang yang lama dan mengisi borang yang baru. Setelah selesai, Alex memasukkan alat pemecah kod yang baru selesai diuji ke dalam kotak. Siap untuk dipersembahkan kepada hakim.

*

Adam duduk sendirian di kafe berhadapan dengan sekolah. Teragak-agak juga dia hendak masuk. Beberapa kali dia hampir berlanggar dengan orang yang keluar masuk ke situ.

“Seorang diri saja?” tanya pelayan kafe.

“Tidak. Nanti mereka datanglah,” balas Adam.

“Hendak minum apa?”

“Seperti biasa. Bawakan saja empat gelas kopi macam selalu. Satu dicampur ais, satu dikurangkan gula, satu dicampur susu, satu lagi pekat.”

Pelayan itu mengangguk. Memang kebiasaannya dia yang mengambil pesanan empat sahabat itu apabila mereka berkunjung ke kafe itu. Tanpa perlu bertanya pun dia sudah tahu apa yang akan mereka pesan. Tetapi dia masih mengambil pesanan mereka, sekadar menghormati pelanggan.

Seketika kemudian, Hans tiba dengan komputer ribanya kemas dalam pelukan.

“Saya sudah pesan air awak,” ujar Adam sejurus sahaja Hans melabuhkan punggung di sisinya.

“Oh, baguslah. Saya pun sudah kehausan. Panas benar cuaca hari ini,” kata Hans seraya membuka komputer ribanya dan diletakkan di atas meja. Kedudukan meja itu yang berada di sudut kafe membenarkan mereka menggunakan ruang yang luas.

“Awak ada nampak Hanna?” tanya Adam.

“Sekejap lagi dia habis latihan, pandailah dia datang ke mari. Lagipun, bukannya jauh sangat hendak berjalan kaki dari sekolah ke sini,”

“Alex bagaimana? Masih merajuk?”

“Saya tidak tahu. Tapi pagi tadi saya sudah beritahu dia kita buat ulangkaji di sini petang ini. Tunggu sajalah. Kalau dia datang, maknanya sudah habislah rajuknya. Lagipun tarikh tutup pertandingan itu hari ini. Mungkin dia sudah hantar benda itu. Saya tengok semalam, lampu bilik Alex terbuka sampai pukul 3 pagi. Sebelum ini tidak pernah pun. Belum pukul sebelas sudah gelap,”

Adam menghela nafas. Kelibat Hanna melegakannya.

“Maaf. Saya terlambat. Awak sudah mula buat kerja rumahkah?”

“Belum lagi. Saya pun baru sampai,” balas Hans. Tidak berapa lama kemudian, air yang dipesan oleh Adam tiba. Namun, kelibat Alex langsung tidak kelihatan.

“Agaknya dia masih merajuk sebab kita tidak mahu ikut pertandingan itu dengan dia,” ujar Hans apabila Adam terus-terusan bertanya.

4 comments:

  1. hehe.. dia lak yang tulis "bersambung" tu..

    cepat je nampak..

    ReplyDelete
  2. ada bakat~
    keep it up..

    nak tau rahsia nuffnang? Klik sini

    ReplyDelete
  3. bila nak sambung niii. hehe

    nak tgk apa yg kamu sudi komennn = BLOG PALING MENYENGAT

    ReplyDelete