Friday, June 18, 2010

Haruskah - 16

Alex duduk bersendirian. Buku yang dibawanya dibelek-belek beberapa kali. Sambil itu, dia mencatat sesuatu di dalam buku nota yang diletakkan di sebelah buku teksnya. Detik waktu yang berlalu tidak disedari.

“Alex, sibukkah?” Hans menegur.

“Tidak. Sudah hampir siap,” ujar Alex sambil mengalihkan barangnya yang diletakkan di kerusi di sebelahnya untuk Hans duduk.

“Apa lagi yang awak buat?”

“Awak tengok sajalah nanti. Bila sudah siap, saya akan beritahu awak,” balas Alex acuh tidak acuh.

“Pertandingan tempoh hari bagaimana? Lulus?”

Alex menghulurkan sepucuk surat kepada Hans. Dia masih tidak menoleh.

“Wah, hebat benar kawan saya! Nanti bolehlah awak belanja makan,” Hans mengusik.

“Eh, belum habis lagi pertandingan itu! Belum tentu lagi saya dapat melepasi saringan kedua. Selepas itu masih ada lagi peringkat ketiga dan keempat. Perjalanan saya masih jauh,”

“Saya pasti awak akan menang. Paling tidak, 500 sudah dalam tangan,”

“Awak tidak habis-habis sebut fasal duit,” komen Alex.

“Zaman sekarang ini, duit penting. Orang berlumba-lumba kumpulkan duit, tapi taraf kehidupan masih tidak jauh berubah. Manakan tidak, setiap kali gaji meningkat naik, harga barang pun mulalah naik mendadak,”

“Saya dengar awak menang pertandingan esei tempoh hari. Kalau tidak silap saya, hadiahnya 1500. Takkan sudah habis?”

“Tajam juga telinga awak. Duit itu belum dapat lagilah. Poket saya sedang kering sekarang ini. Hendak minta pada ayah saya memang boleh, tapi kena sanggup tadah telingalah,”

Alex tertawa kecil.

“Takut juga awak pada ayah awak,”

“Sejak ayah saya dapat tahu saya ada pendapatan sendiri, jarang saya dapat duit dari dia secara tunai. Kalau ada pun, dimasukkan ke dalam bank. Bila dia dapat tahu duit dalam akaun semasa saya sudah berkurangan, mulalah berceramah fasal pengurusan wang. Itu yang buat saya rasa malas benar hendak ke bank. Hendak ambil dari akaun simpanan? Membunuh diri namanya,”

“Sudah nasib awak dapat ayah berkelulusan pengurusan kewangan,” ujar Alex. Dia menyambung tawa yang masih tersisa.

*

Adam membantu Hanna menyusun atur kedudukan kerusi di ruang tamu. Hans dan Alex sedang menanti ketibaan tetamu di muka pintu. Sesekali Adam mengerling ke arah kedua-dua temannya itu. Apabila memandang wajah Hanna, rasa lenguh yang menyerang mula hilang.

“Adam, marilah ke belakang. Tidak ada lagi yang hendak disiapkan di sini. Kita minum dulu, sementara menunggu tetamu yang lain,” Hanna mengajak. Adam menurut tanpa bantahan.

Sedang Adam menikmati minuman yang dibuat oleh Hanna, seorang remaja lelaki duduk di sebelahnya.

“Adi! Bila awak sampai?” Hanna menyapa.

“Baru saja,” jawab Adi.

Adam memandang wajah lelaki yang dipanggil Adi itu. Beberapa saat kemudian, dia berpaling. Degup jantungnya bertambah secara drastik.

“Ini Adam,” Hanna memperkenalkan.

“Adi,”

Adam menyambut huluran tangan Adi tanpa berkata-kata. Pandangannya hanya dihalakan sesaat ke arah Adi, sekadar menghormati. Hanna bangkit mengambilkan air untuk Adi.

Sejenak Adi merenung wajah Adam dari sisi sehingga dia kerimasan.

“Ada apa?” tanya Adam tanpa menoleh.

“Wajah awak mirip dengan seseorang,” ujar Adi.

Adam meneguk liur. Gelas di tangannya disua lagi ke mulut biarpun airnya sudah habis. Mujurlah gelas itu legap.

3 comments:

  1. asal alex duduk sorang2?
    dy kene pulau ke?

    gyahahahahaahahahahahahahaah~

    ReplyDelete
  2. @ayin: thanks. datang lagi ek..

    @hellioz: Alex? Dia kan tengah buat kerja tu.. And the situation takes place in his workplace. Dalam bengkel dia kut.. Cuma tak cakap je kat situ.. Wahaha..

    ReplyDelete