Thursday, July 1, 2010

Haruskah - 17

Desir angin seolah bercerita. Sebentar-sebentar, alunannya terhenti bagaikan sengaja menarik perhatian Adam. Dia merenung lagi ke langit. Debaran di dadanya tidak dipedulikan.

“Ila suka tengok bintang,” desis Adam. Wajah Adi terbayang lagi dalam ingatannya.

“Tidak mungkin dia. Indah Laksana jauh,” bisik Adam lagi. Lengannya disilangkan di bawah kepala.

Seketul anak batu jatuh menimpa Adam. Dia bingkas bangun dan memandang ke belakang. Hans sedang tersengih ke arahnya.

“Ish! Terperanjat saya!” desis Adam.

“Awak buat apa di atas sini, Adam?” tegur Hans.

“Tengok bintang,” balas Adam.

“Awak ingat siapa? Hanna?” usik Hans. Dia memanjat keluar melalui tingkap yang terbuka sejak tadi.

“Jangan merapulah, Hans. Kita baru balik dari rumah dia,”

“Manalah tahu. Orang sedang angau, tidak kira tempat hendak termenung. Pandang kiri, pandang kanan. Semua nampak muka dia,”

Adam diam tidak membalas.

“Tidak sakitkah baring macam itu?”

“Tidak adalah. Saya sudah biasa,” kata Adam.

Hans turut berbaring di sebelah temannya.

“Apa yang awak tengok?”

“Pari, belantik, biduk,”

“Mana?”

“Mustahil awak tidak nampak. Senang saja mencarinya,”

“Saya jarang tengok bintanglah. Manalah saya tahu hendak cari bagaimana,”

“Saya rasa awak patut lebih tahu daripada saya. Sebab...”

Kedengaran bunyi tingkap ditutup. Adam dan Hans segera bangkit dan menoleh ke belakang mereka.

“Alex!”

*

 Sekeping warkah menyinggahi meja tulis Adam. Warkah dari sebuah negeri yang jauh, berdasarkan nilai setem yang digunakan. Adam tersenyum simpul. Seolah mengejek.

“Siapa agaknya yang mengirim surat menggunakan mel udara lagi pada zaman ini?” desis Adam.

Dia mengoyakkan sampul surat perlahan-lahan. Beberapa helai kertas putih menyapa. Tulisan pada kertas itu membuatkan Adam terpaksa memicingkan mata untuk membacanya kerana terlalu kecil.

Ke pangkuan kekanda yang dirindui,

Sebelum kanda membaca coretan di helaian seterusnya, adinda ingin memohon kemaafan seandainya kehadiran warkah ini mengganggu kekanda, kerana itu adalah di luar batas kemampuan adinda untuk mengelaknya.

Adam menyelak ke helaian berikutnya, namun tidak ada apa-apa tulisan di situ. Dia menggaru-garu kepalanya. Kemudian, Adam menyelak dua lembaran seterusnya. Masih kosong.

“Tidak ada apa-apa pun,” bisik Adam sendirian. Dia terus meletakkan warkah yang tebal itu di atas mejanya kembali. Adam berlalu.

Sekembalinya dari bilik air, Adam mendekati meja tulisnya lagi. Dia duduk di kerusinya. Air masih menitis, membasahi helaian surat yang diterimanya tadi. Terpaku Adam seketika.

“Ada tulisan di helaian paling belakang. Kenapa aku tidak perasan?” Sekali lagi Adam berbicara seorang diri.

Tulisan dalam kertas kosong ditulis dengan air limau. Gosok dengan seterika panas kalau hendak membaca isi surat ini, seperti dulu yang kanda ajarkan pada dinda. Kanda masih ingat, bukan?

Ringkas saja isi tulisan yang hampir hilang dek titis air yang menimpanya.

Adam seperti tahu sesuatu.

“Puteri Karmila. Tidak berubah-ubah lagi,”

Warkah itu dibiarkan sepi.

Adam menghamparkan sejadah dan mengangkat takbir.

*

Putera Hadi berbaring seorang diri di dalam biliknya. Kewujudan pendingin hawa seolah tidak terasa. Peluh dingin merintiki wajahnya. Sayup kedengaran suara orang berbual.

Pintu dikuak dari luar setelah diketuk beberapa kali.

Putera Hadi bangkit dari pembaringan.

“Ayahanda memanggil kita pulang?”

“Ya. Lagipun, sudah lama kita mencari. Bayangnya pun belum nampak lagi. Mungkin kanda Tuanku tidak ada di sini. Mungkin patik tersilap maklumat,” balas Laila.

“Tapi, Inang, Adi rasa Adi sudah jumpa dia,”

“Di mana?”

“Di rumah Hanna,”

“Gadis pemain bola keranjang itu?”

“Ya,”

“Tuanku tidak cuba dekati dia?”

“Siapa?”

“Tuanku Adam,”

“Tidak sempat. Belum tentu lagi itu kanda Adam,”

“Mustahil kanda Tuanku tidak kenalkan diri,”

“Hanna yang beritahu, namanya Adam. Tapi dia tidak bercakap langsung dengan Adi. Pandang muka Adi pun dia tidak mahu. Sepanjang malam dia asyik melarikan diri sahaja,”

“Sekarang Tuanku hendak buat apa?”

“Berapa lama lagi masa yang kita ada?”

“Ayahanda Tuanku panggil balik secepat mungkin. Tuanku Raja Iskandar sudah terlalu gering. Katanya kalau tidak ada Tuanku Adam, biar Tuanku sahaja yang jadi pewaris takhta,”

Putera Hadi merenung ke luar seketika. Kegelapan menyelubungi alam.

“Esok kita ke rumahnya,” putus Putera Hadi.

“Tuanku tahukah di mana rumah mereka?”

“Semalam Adi ekori dia sampai ke rumah,”

“Patutlah lambat pulangnya,” desis Laila.

“Kenapa?”

“Ayahanda Tuanku menelefon beberapa kali hendak bercakap dengan Tuanku. Bimbang juga patik dibuatnya. Takut-takut Tuanku diserang kumpulan penjahat tempoh hari,”

“Tidak mungkin. Mereka semuanya sudah ditumpaskan. Selepas ini tidaklah mereka berani-berani lagi menyeludup barang-barang terlarang ke Indah Laksana. Ayahanda bagaimana? Murkakah?”

“Tidak. Cuma bimbangkan keselamatan Tuanku. Mana ada puteranya lagi. Tuanku satu-satunya zuriat yang ada,”

Putera Hadi mengeluh sendiri.
__________________________

Teruskan membaca! Lebih banyak adegan menarik menanti!

No comments:

Post a Comment