Friday, February 18, 2011

Haruskah - 34

 “Kenapa tidak ada sesiapa pun yang beritahu Adam tentang Raja Ismaail?” getus Putera Adam kesal.

“Adam, janganlah begini. Emosional betul,” tegur Hasnah.

“Adam berhak tahu. Kalau bukan sebagai anak saudaranya pun, Adam masih ada hak untuk diberitahu tentang keadaan raja yang memerintah negeri ini selama Adam berada di sini,”

“Kami buat semua ini untuk kebaikan Adam. Kalau Adam dapat berita ini semasa Adam sakit, ibu rasa sampai sekarang pun Adam masih terlantar lagi. Sebab itulah kami tempatkan alatan dari kamar pengubatan di kamar Adam,” pujuk Hasnah.

Putera Adam mengeluh lagi. Itu sahaja yang mampu dilakukan untuk menenangkan hatinya.

“Sudahlah, Adam. Bawa bertenang. Nanti kita ke sana,” kata Raja Iskandar.

“Bagaimana Adam boleh tenang kalau benda sepenting ini pun Adam masih ketinggalan? Sejak dulu lagi, Adam selalu jadi orang terakhir yang tahu berita-berita penting. Sampaikan hari pertabalan Adam sendiri pun Adam tidak tahu. Puas Adam buka mata, buka telinga Adam. Tapi nampaknya usaha Adam belum menampakkan hasil lagi,”

“Kanda!” desis Puteri Karmila apabila terdengar bunyi kaca pecah.

Semua mata tertumpu kepada Putera Adam. Juga kepada kaca yang bertaburan di kakinya.

Cecair merah yang likat mengalir dari tangan Putera Adam. Wajahnya masih tidak ada tanda kesakitan.

“Ya Allah! Adam!”

Hasnah segera mendekat. Putera Adam membiarkan ibunya mengeluarkan serpihan kaca yang terlekat di telapak tangannya. Dia sendiri tidak sedar genggamannya begitu kuat sehingga gelas yang dipegangnya boleh pecah.

“Kanda jangan buat begini lagi. Jangan bahayakan diri sendiri, kanda,” kata Puteri Karmila setelah darah dan kaca yang bertaburan di ruang itu dibersihkan. Tubuh Putera Adam dipeluknya erat-erat. Wajah Puteri Karmila memperlihatkan bahawa dia benar-benar ketakutan.

Putera Adam merenung tangannya yang berbalut dengan kain. Tangan kirinya digosokkan pada tubuh Puteri Karmila.

*

Hanna terjaga dari tidur. Terasa ada sesuatu yang mengganggunya. Keadaan di luar masih gelap gelita.

“Baru pukul tiga,” desis Hanna. Dia bangkit dari katil dan turun ke tingkat bawah untuk mengambil air.

“Ibu, belum tidur lagikah?” tanya Hanna sebaik sahaja melihat kelibat ibunya di ruang tamu.

“Awalnya Hanna bangun,”

“Hauslah, ibu.” balas Hanna.

Dia mendekati ibunya.

“Ibu macam ada masalah saja,” tegur Hanna.

“Tidak adalah. Hanna pergilah tidur. Esok sekolah,”

“Tengoklah. Ibu sampai terlupa esok hari Ahad. Ibu, Hanna bukannya orang lain. Hanna anak ibu. Buat apa ibu hendak berahsia dengan Hanna?”

“Agaknya Hanna yang terlupa. Esok kita ke sekolah sukan,” Nadia cuba berdalih.

“Temuduga minggu hadapanlah, ibu,”

Nadia terdiam. Tidak tahu alasan apa lagi yang hendak diberikan.

“Ibu, ayah ke mana? Sudah seminggu ayah tidak menelefon. Selalunya kalau ada tugas di luar kawasan, paling tidak dua hari sekali ayah akan telefon ke rumah,”

Nadia masih membisu.

“Jadi, itu yang ibu fikirkan?” tanya Hanna.

“Ya. Ibu tidak tahu ke mana hendak mencari. Teman-teman ayah juga sudah tertanya-tanya,”

“Ibu, kalau ya pun, janganlah difikirkan sangat. Nanti ibu sakit. Ayuh, ibu tidur, ya?” ajak Hanna. Dia mencapai tangan ibunya.

No comments:

Post a Comment