Friday, January 14, 2011

Haruskah - 29

“Di mana, Ila?” tanya Raja Ismaail. Deruan bayu yang menusuk hingga ke sukma tidak diendahkan.

“Jauh lagi. Mereka bersembunyi di sebalik tebing tinggi sana. Kalau ikut jalan darat, terlalu jauh. Tapi laut terlalu bergelora. Bagaimana sekarang?”

“Biar patik kendalikan pasukan menyusur jalan darat. Patik tahu laluannya,” Salah seorang perajurit menawarkan diri.

“Kalau begitu, bawalah beberapa orang bersama kamu,” kata Raja Ismaail setelah berfikir.

Raja Ismaail kemudiannya membahagikan pasukan tentera yang masih ada di situ kepada dua bahagian.

“Satu pasukan berkawal di sini. Yang lain ikut beta. Kanda, kanda di sini saja.”

“Dinda hendak menyusur arus?” tanya Raja Puan Anis.

“Itu sahaja jalan yang ada. Mari, Ila,” ajak Raja Ismaail. Puteri Karmila menoleh ke arah Raja Puan Anis seketika sebelum mengekori Raja Ismaail.

“Ila tunjukkan tempatnya,” arah Raja Ismaail. Kuda yang ditunggangnya dirapatkan ke arah kuda tunggangan Puteri Karmila.

*

Hisyam dan Andika sudah lama menghilang dari pandangan. Hanya Haris dan beberapa orang suruhannya sahaja yang masih berada di kawasan lapang itu. Ada yang sudah rebah ke tanah. Putera Hadi dan Putera Adam terus cuba bertahan dengan tenaga yang semakin berkurangan.

Cahaya malap dari kapal menemani mereka. Samar-samar Putera Adam dapat melihat riak wajah Haris yang kehairanan melihat teman-temannya dijatuhkan dengan mudah hanya disebabkan oleh dua orang lelaki.

“Kanda,” desis Putera Hadi.

“Ada apa, Adi?” tanya Putera Adam. Nafasnya sudah mencungap.

“Ada bunyi tapak kaki kuda. Kita berundur sekarang,”

“Kanda tidak dengar pun,”

Kelekaan mereka memberi peluang untuk Haris menyerang balas. Entah bila masanya dia mengeluarkan pisau belati, Putera Adam langsung tidak sedar. Rasa nyeri yang disertai percikan darah membuatkan Putera Adam rebah.

“Kanda!” getus Putera Hadi. Kini dia keseorangan. Langkah yang diatur kian rapi. Putera Hadi teragak-agak melarikan diri. Mengenangkan keadaan Putera Adam, dia terus bertahan.

“Kau marahkan akukah, Adi? Tidak perlulah terpekik begitu. Kau juga akan ikut dia sebentar lagi,” ujar Haris  dengan nada sinis.

Putera Hadi tidak membalas. Sesekali pandangannya disorotkan ke arah Putera Adam. Hendak mendekat, dia bimbang tindakan Haris seterusnya. Tanah yang dipijak mula memerah. Riak wajah Putera Hadi semakin resah.

*

“Kanda Adam,” desis Puteri Karmila. Jeritan Putera Hadi bergema di telinganya. Rengekan kuda putih miliknya kedengaran jelas seketika kemudian. Raja Ismaail terus maju dan berpaling ke arah Puteri Karmila.

“Ila tunggu di sini saja. Bahaya. Ketua Pengawal, temankan Puteri Karmila. Biar beta yang bawa pasukan kita ke sana,” arah Raja Ismaail. Ketua Pengawal Istana merangkap Panglima Kedua yang menyertai pasukan itu segera berundur.

“Kanda Adam,”

“Usah khuatir, Tuanku Puteri. Patik sudah nampak  mereka. Putera Adam Qushairy dan Putera Abdul Hadi pasti selamat,” pujuk Ketua Pengawal.

Puteri Karmila terdesak tinggal di situ apabila tali kekang kudanya dipegang oleh Ketua Pengawal.

“Lepaskanlah. Beta mahu ke sana,”

“Tidak boleh, Tuanku Puteri. Patik diarahkan untuk menjaga Tuanku di sini, bukannya menemani Tuanku ke tempat itu. Keselamatan Tuanku terancam,”

Beberapa kali mundar-mandir di kawasan itu, akhirnya Puteri Karmila tidak dapat bersabar lagi.

“Kita berundur. Beta mahu bertemu bonda,” kata Puteri Karmila. Ketua Pengawal mengangguk dan menghalakan kuda tunggangannya ke arah laut semula.

“Bagaimana beta mahu bergerak kalau tali kekang masih di tangan kamu?” tanya Puteri Karmila. Sebaik sahaja tali kekang kudanya dilepaskan, Puteri Karmila terus memacu ke kawasan lapang tempatnya melihat Haris tadi.

“Aduhai, Tuanku Puteri. Degil benar! Sejak kecil lagi tidak berubah-ubah. Bagaimana patik boleh terpedaya dengan helah Tuanku tadi?” rungut Ketua Pengawal. Dia bergegas mengejar Puteri Karmila yang sudah jauh di hadapan.

No comments:

Post a Comment