Friday, February 25, 2011

Haruskah - 35

Keadaan Raja Ismaail semakin hari semakin meruncing. Sejak peristiwa di pelabuhan hampir dua bulan yang lalu, baginda mengalami koma. Putera Adam cuba memujuk Putera Hadi menemaninya, tetapi tidak berhasil. Janggal rasanya berada di situ seorang diri.

“Siapalah yang lakukan semua ini? Adi kata bukan Haris yang buat. Jadi siapa?” desis Putera Adam.

Putera Adam memandang keliling seperti mengharapkan ada sesuatu yang boleh menjawab persoalannya. Pandangannya dihalakan ke pintu. Putera Adam tahu dia ternampak kelibat Putera Hadi sebentar tadi. Dari riak wajah Putera Hadi, Putera Adam sedar dia tidak akan mendapatkan apa-apa.

Suasana suram dan sunyi di kamar itu mengingatkan Putera Adam akan keadaan dirinya beberapa minggu yang lalu. Baru dia mengerti perasaan ibu, bonda serta ayahandanya saat itu.

“Kalau berterusan begini, teruklah Indah Laksana. Ayahanda baru saja pulih. Raja Ismaail pula yang gering. Kalau ada apa-apa terjadi kepada mereka, siapa yang akan menggantikan tempat mereka?”

Putera Adam termangu. Dia tahu jawapannya. Spontan jari telunjuknya dihalakan ke wajahnya sendiri. Masih terasa berat mahkota yang diletakkan di atas kepalanya sewaktu majlis pertabalan beberapa hari yang lalu.

*

Wajah Putera Hadi yang sugul menambahkan kesuraman yang melanda Mahligai Kayangan. Hilang sudah riak ceria yang menghiasi hari-hari mereka. Dugaan demi dugaan yang mendatang membuatkan masa yang berlalu begitu terasa. Setiap saat kini dicengkam perasaan hiba dan tertekan.

“Kanda,  cukuplah bersedih. Kalau kanda terus begini, tidak ada apa-apa masalah yang akan selesai,” Puteri Karmila cuba memujuk.

“Ila tidak faham perasaan kanda. Kanda cuma ada ayahanda sahaja. Lainlah Ila. Ila ada bonda, ada ayahanda, ada ibu. Lebih-lebih lagi, Ila ada kanda Adam. Kalau sesuatu terjadi kepada ayahanda, tinggallah Adi seorang diri,” getus Putera Hadi.

“Kanda, kita bersaudara. Bonda Ila bukannya orang lain. Kekanda ayahanda Adi juga. Kanda Adam, kekanda kita berdua. Darah yang mengalir dalam tubuh kita darah yang sama. Kalau ditoreh sama warna, sama likatnya. Kalau dicampur tidak akan kenal bezanya,”

Putera Hadi tidak membalas. Detik waktu berjalan begitu sahaja.

“Ila,” seru Raja Puan Anis.

“Ada apa, bonda?” tanya Puteri Karmila. Dia segera mendapatkan bondanya.

“Ayuhlah, kita ke kamar pengubatan sekarang. Ajak Adi sekali,” ujar Raja Puan Anis.

*

Genggaman Putera Hadi kian erat. Beberapa kali dia mengucup tangan Raja Ismaail. Air yang bertakung di tubir matanya gugur setitis demi setitis. Putera Adam hanya mampu melihat. Hendak memujuk jauh sekali dari kemampuannya. Hatinya sendiri tidak terpujuk, alangkan hendak menenangkan orang lain.

“Adi, kuatkan hati,” pujuk Raja Puan Anis.

Raja Iskandar menggosok-gosok belakang tubuh Putera Hadi perlahan-lahan. Mereka berbicara tanpa suara.

Putera Hadi terus tertunduk. Tidak sanggup lagi memandang wajah ayahandanya yang tercinta.

“Kanda,” seru Puteri Karmila.

Apabila panggilannya tidak disahut, Puteri Karmila mendekati Putera Hadi. Putera Adam berundur untuk memberi laluan kepada adindanya.

“Sudahlah, kanda. Ila pun sedih juga. Kita keluar sekarang, ya?” ajak Puteri Karmila.

“Baru saja kanda katakan tadi, Ila. Belum pun sampai satu jam. Sekarang hanya tinggal kanda seorang,”

“Kanda sudah lupa apa yang dinda katakan tadi? Mungkin itu tidak penting bagi kanda. Tetapi hidup mesti terus, kanda. Yang pergi akan teruskan perjalanan. Kita yang masih tinggal, takkan terus begini?” pujuk Puteri Karmila.

“Dia akan terima balasannya!” getus Putera Hadi tiba-tiba.

Putera Adam dan Puteri Karmila berpandangan seketika. Jelas, mereka tidak mengerti.

No comments:

Post a Comment