Friday, February 4, 2011

Haruskah - 32

 “Tuanku, Tuanku Permaisuri sudah menunggu di luar bersama bonda tuanku,” kata Hanim. Putera Adam memandang persalinan yang sudah disediakan untuknya. Teragak-agak dia hendak memakainya.

“Apa lagi yang ditunggu, Adam? Lambat kita nanti. Adam belum bersarapan lagi,” tegur Hasnah. Putera Adam berpaling ke arah ibunya yang sedang melangkah mendekatinya.

“Tidak bolehkah Adam pakai baju biasa sahaja?” tanya Putera Adam.

“Ini majlis rasmi, Adam. Kalau ibu pun kena pakai, apatah lagi Adam. Ibu bukannya siapa-siapa. Adam Putera Mahkota,”

“Kalau setakat menghadiri perbicaraan kes jenayah, Adam rasa bukannya majlis rasmi,”

“Bukankah ibu sudah beritahu semalam, ada majlis petang nanti? Kalau perbicaraan lambat habis, tidak sempat hendak salin pakaian. Cepatlah. Ibu tunggu di luar. Kalau dalam masa lima minit Adam belum siap, ibu sendiri yang akan pakaikan Adam baju itu,” tegas Hasnah.

“Ibu..” desis Putera Adam. Mahu atau tidak, dia terpaksa mengenakan pakaian rasmi kerabat diraja.

“Adam terasa hendak menangis saja sekarang,” bisik Putera Adam kepada ibunya setelah selesai berpakaian.

“Menangislah. Biar semua orang tahu Putera Mahkota Indah Laksana cengeng,” usik Hasnah.

Setitis mutiara jernih gugur di pipi Putera Adam tanpa sempat ditahan-tahan.

“Astaghfirullah. Adam! Betul-betul dia menangis!” kata Hasnah.

“Ibu tidak faham apa yang Adam rasa. Kenapa ibu tidak pernah faham?” getus Putera Adam.

Hasnah memeluk anak tunggalnya erat-erat. Putera Adam tidak membantah. Air mata yang mengalir di pipinya dibiarkan menitis.

“Menangislah sepuas-puasnya, Adam,” bisik Hasnah.

*

Sepanjang perbicaraan berlangsung, Putera Adam tidak lepas memerhatikan Haris yang berdiri di kandang tertuduh. Beberapa kali mata mereka bertentang, tetapi Haris segera melarikan pandangannya.

Putera Adam kembali meliarkan pandangan sementara hukuman ke atas Haris diputuskan.

“Ibu, di mana Raja Ismaail?” tanya Putera Adam.

“Dia tidak dapat hadir,” balas Hasnah ringkas. Sepicing pun dia tidak menoleh ke arah Putera Adam. Niat Putera Adam untuk bertanya lebih lanjut mati begitu sahaja. Tumpuannya kembali ditumpukan pada perbicaraan.

Raja Iskandar mengajak Putera Adam bertemu Haris setelah tamat sesi mereka pada pagi itu. Buat kali pertama Putera Adam melihat Haris dengan jelas.

“Kali ini beta lepaskan kamu. Beta harap kamu akan berubah. Usia kamu tidak jauh beza dengan anakanda beta sendiri. Masa depan kamu masih panjang,” ujar Raja Iskandar seraya memegang bahu Haris.

“Tuanku,” desis Haris. Dadanya sesak mengenangkan hukuman yang menanti kerana mencederakan Putera Mahkota kerajaan Indah Laksana. Apatah lagi dengan kegiatan penyeludupan yang berulangkali dilakukannya.

“Pengawal, lepaskan Haris untuk menghadiri upacara petang ini. Beta tidak mahu ada orang berdukacita di saat beta mengadakan keraian,” arah Raja Iskandar.

“Menjunjung titah, Tuanku,” balas pengawal yang mengiringi Haris. Mereka berangkat pergi.

“Ada upacara apa petang ini, ayahanda?” tanya Putera Adam. Raja Iskandar hanya tersenyum.

No comments:

Post a Comment