Friday, March 11, 2011

Haruskah - 37

Alex dan Hans berjalan beriringan dengan Hanna. Wajah tiga sahabat itu kehilangan cahaya. Sepanjang perjalanan ke balai berlepas, tidak banyak yang mereka bicarakan.

“Dulu Adam, sekarang awak pula,” kata Hans.

“Bertemu dan berpisah memang adat manusia,” desis Hanna.

“Paling tidak, awak beritahu kami. Tidaklah macam Adam. Tahu-tahu sudah menghilang saja,” balas Alex.

“Tidaklah. Jangan salahkan dia. Saya yang salah. Dia ada tinggalkan surat untuk saya. Saya terlambat sedar. Yalah. Bukannya selalu ada orang kirim surat ke rumah saya. Jadi, peti surat jarang diperiksa,”

“Ya, untuk kami juga ada. Tetapi itu setelah dia sampai di Indah Laksana. Agaknya di mana dia sekarang? Masih di Indah Laksana, atau di tempat lain?”

“Entahlah. Saya pun sudah lama tidak dengar cerita fasal Adam, atau negeri Indah Laksana,”

“Beberapa minggu lepas saya ada terbaca berita sisipan khas di akhbar. Katanya raja Indah Laksana mangkat,” Hans memberitahu.

“Siapa namanya?” tanya Hanna.

“Raja Ismaail,”

“Ayahanda Adi,” kata Hanna.

“Yakah? Banyak juga yang awak tahu tentang mereka,”

“Ayahanda Adam namanya Raja Iskandar. Adam Qushairy Iskandar. Adi yang beritahu saya. Kasihan dia. Nampaknya Adi sudah jadi yatim piatu,”

“Bondanya mana?”

“Mangkat sewaktu melahirkan Adi,” balas Hanna.

Kebisuan melanda. Masing-masing kehilangan kata.

“Hanna,”

Hanna segera berpaling.

“Adi? Awak di sini?”

“Awak hendak ke mana?”

“Mendaftar ke sekolah sukan,” Hanna memberitahu.

“Bila?”

“Petang ini. Sebentar lagi saya berangkat. Awak hendak ke mana?”

“Dari rumah Adam, mengambil barang,”

“Takziah,” desis Hanna separuh berbisik.

“Awak tahu?” tanya Putera Hadi.

“Hans yang beritahu. Adam tidak ikut awak?” tanya Hanna.

“Tidak. Ibunya tidak membenarkan Adam pulang. Takut dia hilang lagi seperti dahulu. Entah ke mana pula kami hendak mencari dia nanti,”

Hanna tertawa kecil.

“Ada juga orang yang tidak mahu menjadi raja,” kata Alex.

“Janganlah perli saya,” kata Putera Hadi.

“Maaflah, tapi baru pertama kali saya dengar ada putera raja yang sanggup bersusah payah ke hulu, ke hilir kerana tidak mahu menjadi raja,”

“Tanggungjawab seorang raja sangat berat. Kalau sebarangan memerintah, negeri boleh tergadai. Tersilap beri arahan saja, boleh menyebabkan orang yang tidak bersalah terhukum, dan yang paling menakutkan apabila ada hak yang tidak tertunai. Mungkin di dunia kita tidak dihukum, di akhirat nanti akan dipersoalkan,” hujah Putera Hadi.

“Adi, saya perlu pergi sekarang,” kata Hanna. Nadia sudah menantinya di pintu balai berlepas.

“Boleh saya tengok tiket awak sebentar?” pinta Putera Hadi.

Hanna menunjukkan tiket yang dipegangnya kepada Putera Hadi.

“Mustika Fansuri. Arah tujuan kita sama. Saya transit di sana. Marilah. Nanti terlepas pula,” ajak Putera Hadi. Dia mula melangkah pergi.

“Wah, sampai terlupa kami di sini!” tegur Hans.

“Alamak! Alex, Hans, kami pergi dulu. Jangan lupakan saya,” kata Hanna.

“Jangan-jangan awak yang lupakan saya dulu,” balas Alex.

“Mustahil. Awak suka cari gaduh dengan saya, Alex Danial,” kata Hanna lantas meninggalkan Alex dan Hans tanpa menoleh lagi.

“Nampaknya tinggal kita berdua yang masih di sini,” kata Alex kepada Hans.

*

 “Cik, boleh saya duduk di sini? Penumpang di sebelah saya perempuan,” kata Putera Hadi kepada wanita yang duduk di kerusi berseberang dengan Hanna. Wanita itu dengan senang hati memberikan tempat duduknya kepada Putera Hadi, meninggalkan lelaki yang sejak di awal perjalanan tidak lepas-lepas merenungnya.

“Kenapa tidak duduk dengan ibu Adam saja?” tanya Hanna.

“ Saya mahu berbual dengan awak. Lagipun, bukannya selalu dapat peluang begini,”

“Awak macam ada sesuatu yang hendak diberitahu,”

“Ya, dan ini perlukan ketabahan. Saya harap awak bersabar,”

“Kenapa?”

“Boleh awak berikan saya sekeping kertas dan pen? Saya tidak mahu ada orang lain tahu,” pinta Putera Hadi.

Hanna mengeluarkan buku catatan yang sentiasa dibawa dari dalam beg sandang dan memberikannya kepada Putera Hadi. Beberapa kali Putera Hadi mencoret pada buku itu sebelum menyerahkan kembali kepada Hanna.

“Benarkah?”

Putera Hadi sekadar mengangguk.

“Jadi, sekarang dia di sana?”

“Ya. Sedang menunggu untuk dibicarakan,”

Wajah Hanna yang sedia suram semakin teduh.

“Saya masih pertimbangkan keputusan saya. Manalah tahu hati saya sejuk tiba-tiba. Mungkin awak sempat jumpa dia,”

“Adi,”desis Hanna.

“Saya kehilangan ayahanda saya, Hanna. Satu-satunya yang saya ada. Sebab itulah saya minta izin untuk bertemu awak. Saya perlukan masa untuk buat keputusan, sama ada membawa perkara ini ke mahkamah atau memberi kemaafan. Tapi hati saya masih kuat mengatakan dia perlu dihukum,”

Putera Hadi berpeluk tubuh.

Hanna berpaling melihat ibunya. Wanita itu seolah-olah terpaku. Ternyata dia sudah membaca coretan Putera Hadi.

“Ibu, kita ke sana,” pinta Hanna.

“Bagaimana dengan pendaftaran sekolah baru? Hanna masih mahu bersekolah di situ?”

“Kita pergi selepas pendaftaran. Tolonglah, ibu. Hanna mahu jumpa ayah,”

“Pukul berapa Adi berangkat?” tanya Nadia kepada Putera Hadi.

“Esok pagi. Malam ini kami bermalam di hotel,”

“Nanti ibu cuba uruskan,” kata Nadia kepada Hanna.

No comments:

Post a Comment