Friday, March 18, 2011

Haruskah - 38

“Kanda, tolong sediakan tempat tinggal untuk dua orang. Kita ada tetamu. Jangan banyak tanya. Nanti Adi beritahu bila Adi sampai sana,” kata Putera Hadi.

“Tapi..”

“Jangan banyak tanyalah. Kanda siapkan saja seperti yang Adi beritahu. Bila sampai di sana nanti Adi ceritakan semuanya. Ibu kanda masih mahu bercakap. Kita jumpa nanti,”

Putera Hadi menyerahkan gagang telefon kepada Hasnah.

“Apa yang berlaku, ibu? Kenapa dengan Adi?”

“Entahlah, Adam. Ibu pun tidak tahu. Tapi, semalam kami ada jumpa kawan-kawan Adam di lapangan terbang,”

“Siapa?”

“Hanna, Hans, Alex. Katanya Hanna masuk ke sekolah sukan,”

“Jadi juga dia pindah,” desis Putera Adam.

“Kenapa? Sedih saja bunyinya,”

“Tidak adalah, ibu,”

“Hari itu ibu dengar ada orang merajuk sebab ibu tidak bagi ikut. Sehari mogok makan. Kalau ayahandanya tak menegur, mati keringlah agaknya sampai ibu pulang,” usik Hasnah.

“Ini mesti kerja bonda,” gerutu Putera Adam.

“Sampai bila Adam hendak berperangai macam budak-budak? Adam buat ibu risau,”

Putera Adam mengeluh. Beban di bahunya terasa berat sekali.

“Adam belum bersedia, ibu. Masih banyak yang belum Adam capai. Adam pun ada impian, ibu,”

“Tidak semua yang kita mahukan akan jadi kenyataan, Adam. Ibu pun tidak pernah menyangka anak ibu akan jadi raja. Tidak pernah terlintas pun dalam fikiran ibu bernikah dengan Putera Mahkota. Malah ibu tidak pernah tahu suami ibu Putera Mahkota Indah Laksana sehingga dia dipaksa pulang sewaktu ayahandanya hampir mangkat,” Hasnah memujuk.

“Adam tahu, ibu. Ibu, Adam mahu tidur sekarang. Esok Adam banyak kerjalah. Nanti terlewat pula bangun,”

“Tidurlah. Assalamualaikum,”

“Waalaikumussalam,”

Putera Adam kembali bermenung. Gagang masih di tangan.

“Apa yang Adi cuba sembunyikan?”

*

Hampir seminggu di atas kapal persiaran, akhirnya Hanna melihat daratan kembali. Lega hatinya tidak terkira. Mujurlah dia tidak mengalami mabuk laut yang teruk. Wajah Nadia pula kelihatan pucat kerana berkurung di dalam kabin sepanjang perjalanan.

“Kita sudah sampai,” kata Putera Hadi. Dia membiarkan bayu laut menghembus ke wajahnya.

Ketibaan mereka disambut oleh rombongan dari Mahligai Kayangan. Hanna tercari-cari kelibat Putera Adam.

“Adam di istana. Ada keramaian hari ini,” Hasnah memberitahu sebelum sempat Hanna bertanya.

Di sepanjang perjalanan, Nadia lebih banyak mendiamkan diri. Hanna memerhati keadaan alam semulajadi di Indah Laksana sambil melayan Putera Hadi berbual.

“Patutlah namanya Indah Laksana. Damai benar suasana di sini. Pemandangannya indah nian. Tentu pemerintahnya pun bijak-bijak belaka. Kalau tidak masakan tempat ini masih secantik ini selepas berkurun diperintah. Alam sekitarnya masih seperti yang asli,” puji Hanna.

“Mahkota Peribumi pun apa kurangnya? Terasa seperti hendak dimahkotakan saja. Tapi, hujan emas sebanyak mana pun di tempat orang, lebih enak berpijak di bumi sendiri. Sakit menjadi anak dagang. Lebih-lebih lagi kalau kehadiran kita tidak dialu-alukan,” balas Putera Hadi.

*

“Dinda bawa Hanna ke mari?” tanya Putera Adam tidak percaya.

“Benar. Adi tidak sampai hati hendak sembunyikan perkara ini daripada Hanna,”

“Jadi, Hanna sudah tahu semuanya?”

“Dia berhak tahu, kanda,”

Putera Adam mencari-cari kelibat Hanna di celah-celah kerumunan tetapi tidak berjumpa. Apabila dia menoleh ke belakang, Putera Hadi pula sudah menghilangkan diri.

“Agaknya sempatkah kalau gunakan laluan bawah tanah? Ila pun entah di mana. Susahlah kalau begini. Hendak keluar, nanti tercari-cari pula ayahanda,”

Beberapa kali Putera Adam mengelilingi tempat itu. Hanya Raja Iskandar yang dia nampak.

“Ayahanda, Adam mahu keluar sebentar,” bisik Putera Adam di telinga Raja Iskandar.

“Adam mahu ke mana? Sebentar lagi majlis bersurai. Tidak bolehkah ditunda sekejap?”

“Yakah? Kalau begitu, nanti sahajalah Adam uruskan,”

Putera Adam segera berlalu. Detik waktu yang berlalu terasa begitu menyiksa.

“Janganlah Adi temukan mereka sekarang. Malulah aku kalau Hanna tahu,” bisik Putera Adam.

*

Putera Adam mengintai ke dalam kamar peraduan Puteri Karmila apabila terdengar suara orang berbual. Ternyata Puteri Karmila sedang asyik bersembang dengan Laila. Entah apa yang mereka bincangkan, Putera Adam tidak mahu ambil tahu.

“Ila, ada nampak ibu?”

“Kanda! Terperanjat Ila. Lain kali kalau hendak masuk, ketuklah pintu dahulu,” tegur Puteri Karmila.

“Kanda minta maaf. Kanda terlupa. Ada urusan penting sekarang. Ila tahu ibu di mana?” Putera Adam mengulang pertanyaannya.

“Kanda sudah cari di kamarnya?”

“Belum sempat lagi kanda ke sana. Kanda baru pulang dari balai perjumpaan. Majlis baru saja bersurai. Adi ada datang ke mari?”

“Tidak ada. Sejak mereka pulang Ila langsung tidak nampak kanda Adi. Agaknya kanda Adi bawa tetamu ke kamar mereka,”

“Kalau begitu, kanda ke sana saja. Terima kasih,” Putera Adam mengatur langkah. Bukan ke arah kamar tetamu, tetapi ke kawasan penjara.

1 comment:

  1. hanya ada stu kata . .

    GOOD !!


    http://dedenztb.blogspot.com/

    ReplyDelete