Thursday, November 25, 2010

Haruskah - 25


Hanna mengambil salah satu surat yang diletakkan di dalam sampul itu. Melihat surat itu disemat dengan dawai kokot, dia mengambil helaian yang satu lagi. Ternyata warkah ringkas itu ditujukan kepadanya.

Hanna,

Tolong serahkan surat ini kepada Puan Akma. Adam terpaksa pulang ke Indah Laksana secepatnya. Adam pasti Hanna tahu sebabnya, jadi tidak perlulah Adam terangkan lagi. Adi sudah ceritakan segala-galanya. Adam tidak tahu bila Adam akan kembali, tetapi Adam tetap akan pulang ke Mahkota Peribumi sekiranya takdir mengizinkan. Adam belum lupa janji kita. Semoga bertemu lagi.
Adam Qushairy Iskandar

“Surat dari siapa, Hanna?” tanya Nadia.

“Adam, ibu,”

“Adam?”

“Ya. Dia suruh Hanna serahkan surat tunjuk sebab kepada guru kelas,”

“Adam ke mana?”

“Dia ada urusan di luar negeri,”

“Patutlah ibu tidak nampak ibunya beberapa hari ini. Bila agaknya mereka pulang?”

“Adam tidak memberitahu,”

“Nampaknya terpaksalah ibu uruskan syarikat itu sendirian sehingga Puan Hasnah pulang,” desis Nadia.

“Tidak mengapalah, ibu. Bukannya salah. Ibu sendiri selalu berpesan, menjaga amanah sangat penting,” Hanna memujuk.

*

Desir angin yang kedengaran menggamit Adam untuk bersegera pulang. Tubuhnya sudah kesejukan. Dia menepuk-nepuk kepala kuda kesayangannya yang sudah lama ditinggalkan. Sepertinya kuda itu masih mengingati Adam.

“Ayahanda selalu ke mari kalau rindukan kanda,” Puteri Karmila memberitahu.

Adam sekadar mendengar ocehan Puteri Karmila.

“Lain kali kita jumpa lagi,” desis Adam. Kuda tua itu menggoyangkan kepalanya, seperti orang mengangguk. Puteri Karmila tersenyum memandangnya.

“Tidak mahu pulang konon,” Puteri Karmila mengusik.

“Diamlah, Ila. Mari. Hari sudah mendung. Takut nanti kebasahan pula. Ila bukannya tahan sejuk,”

Puteri Karmila hanya mampu menurut apabila Adam menarik tangannya sehingga ke kereta. Dia sendiri sekadar sempat melambai pada kuda putih kesayangannya. Terpaksa dia berlari-lari anak apabila Adam melangkah lebih pantas. Mendung di langit kian gelap.

Degup jantung Adam kedengaran kencang di telinga Puteri Karmila walaupun Adam cuba berlagak tenang. Perjalanan yang singkat itu bakal mempertemukan Adam dengan ayahandanya yang dirindui.

*

Lambat-lambat Adam menjejakkan kakinya ke pekarangan istana yang sudah lama ditinggalkan. Kehadiran Raja Ismaail yang memangku tugas Raja Iskandar membuatkan Adam berasa kepulangannya amat dihargai. Lama mereka berpelukan.

“Di mana ayahanda?” tanya Adam pada Raja Ismaail.

“Di kamar peraduannya. Sudah lama dia menanti anakanda. Sejak anakanda berangkat dari rumah lagi. Pergilah salin pakaian dahulu,” kata Raja Ismaail.

Adam menuruti langkah Hanim yang menjadi pengasuhnya suatu ketika dahulu. Raja Ismaail pula bergerak ke balai penghadapan kerana ada urusan mustahak. Puteri Karmila mengekori Adam sehingga ke muka pintu bilik persalinan.

“Ila, takkan ke bilik persalinan pun Ila hendak ikut?” tegur Putera Hadi. Puteri Karmila berpatah balik sambil tersenyum simpul. Dia duduk bersama Putera Hadi di kerusi yang diletakkan di hadapan bilik persalinan itu.

Seketika kemudian, Adam keluar dari bilik persalinan. Putera Hadi menekup mulut melihat Adam yang kekok dengan pakaian kebesaran yang dipakainya.

“Apa yang lucu sangat?” tanya Adam.

“Tidak ada apa-apa yang lucu pun. Selamat kembali ke Mahligai Kayangan, Putera Mahkota,” kata Putera Hadi. Kemudian dia menyambung separuh berbisik, “yang melarikan diri,”

Putera Hadi menghulurkan tangannya pada Adam. Adam menjabat tangan Putera Hadi agak lama. Akhirnya Adam mengalah. Putera Hadi tertawa kelucuan.

“Jangan cuba lawan Adi. Adi tahu tangan kanda tidak sekuat dahulu. Itulah penangan angin bandar. Kanda sudah lama tidak memanah. Menunggang kuda pun agaknya sudah tidak secekap dahulu. Kalau kita berlumba sekarang, mesti kanda kalah,” bisik Putera Hadi pada Adam sambil berjalan ke tempat pertemuan yang sudah dirancang. Adam mengetap bibir kegeraman.

*

“Assalamualaikum, ayahanda,”

__________

Maaf terlambat upload.

No comments:

Post a Comment