Friday, January 21, 2011

Haruskah - 30

Putera Adam memandang keliling. Cahaya malap dari lampu di luar jendela membuatkan segalanya kelihatan samar-samar. Kesakitan terasa menjalar di seluruh tubuh. Tangannya mengesan sesuatu yang hangat di sebelahnya.

“Ibu?” desis Putera Adam. Dia menekan suis lampu di sisi peraduan dengan tangan kirinya setelah mendapati tangan kanannya seolah tersekat oleh sesuatu.

“Adam,”

“Bonda? Kenapa tidur di sini?” tanya Putera Adam.

“Jangan banyak bergerak, Adam. Nanti luka Adam terbuka balik,” ujar Raja Puan Anis.

Putera Adam meraba-raba balutan luka di tubuhnya. Kesan darah kelihatan samar-samar. Kemudian dia memandang kantung darah yang hanya tinggal saki-baki di atas kepalanya. Sebuah keluhan dilepaskan.

“Adi di mana, bonda?” tanya Putera Adam.

“Di kamarnya,” balas Raja Puan Anis.

Bisu.

“Adam lapar?”

“Tidak. Bonda pulanglah ke kamar bonda. Jangan risaukan Adam,”

“Siapa yang tidak risau tengok Adam tidak bangun-bangun. Sudah tiga hari, Adam. Kami semua bimbangkan keadaan Adam,”

“Tiga hari?” bisik Putera Adam. Fikirannya menerawang.

*

“Kanda!” sergah Puteri Karmila. Tangannya terkena pada kesan luka akibat tikaman Haris.

“Aduh! Sakitlah, Ila!” Putera Adam terjerit kecil. Perlahan-lahan dia membalikkan tubuhnya menghadap Puteri Karmila.

“Alamak! Minta maaf, kanda. Ila tidak sengaja. Ila terlupa,” desis Puteri Karmila.

Wajah Putera Adam berkerut menahan kesakitan. Darah merah mula membasahi kain balutan lukanya.

“Ila panggilkan doktor,” kata Puteri Karmila lalu meninggalkan Putera Adam sendirian. Tidak sempat Putera Adam menghalang.

“Aduhai, Tuan Puteri! Kelam kabut betullah. Dayang ada. Inang ada. Hendak pergi sendiri juga,” Putera Adam membebel sendirian.

Seketika kemudian, Puteri Karmila kembali bersama doktor diraja.

“Maafkan Ila, kanda. Ila betul-betul tidak sengaja,” getus Puteri Karmila.

“Adi di mana? Kenapa kanda tidak nampak dia langsung? Sakitkah dia?” tanya Putera Adam. Sesekali dahinya dikerutkan menahan rasa pedih apabila lukanya bersentuh dengan air.

“Tidak. Kanda Adi sihat. Kanda saja yang sakit,”

“Ayahanda bagaimana?”

“Ayahanda sudah semakin pulih. Ada juga ayahanda ke mari, tetapi kanda asyik tidur saja,”

“Lain kali kalau ayahanda ke mari, Ila bangunkan kanda,” pesan Putera Adam.

*

Hasnah mengusap-usap kepala Putera Adam. Berkali-kali Putera Adam cuba menepis dengan tangan kanannya yang masih berselirat dengan tiub cecair.

“Ibu, janganlah. Malulah Adam,” larang Putera Adam. Teringat dia saat Hanna mentertawakannya selepas Hasnah mengucup dahinya ketika dia tersedar dari pengsan sewaktu mengikuti Kem Kepimpinan di sekolahnya dahulu. Semuanya gara-gara Puteri Karmila.

“Apa yang hendak dimalukan? Biarlah orang kata Adam anak ibu. Lagipun, bukannya ada orang lain di sini,” balas Hasnah. Dia mengucup dahi Putera Adam. Putera Adam membiarkan antara rela dengan tidak.

“Ibu, selepas ini Adam hendak menghadap ayahanda, bolehkah?” pinta Putera Adam.

“Boleh. Habiskan makanan dahulu,” ujar Hasnah.

“Adam sudah kenyang, ibu. Kita pergi sekarang?”

“Apa yang kelam kabut sangat, Adam?” tanya Hasnah.

“Entahlah, ibu. Adam rasa bersalah kepada ayahanda. Ila kata, sudah beberapa kali ayahanda ke mari sewaktu Adam tidur,”

“Dia cuma mahu pastikan Adam sihat saja,”

“Adam kena jumpa ayahanda juga,” desak Putera Adam. Tanpa berfikir panjang, dia turun dari peraduannya. Keadaan tubuhnya yang masih lemah membuatkan Putera Adam jatuh terduduk.

“Adam!” Hasnah terjerit. Putera Adam mengaduh kesakitan.

“Itulah. Degil sangat. Selagi belum sembuh, Adam jangan ke mana-mana. Ibu tidak izinkan,” putus Hasnah.

“Ibu..”

“Ibu kata tidak maknanya tidak.”

“Ayahanda..”

“Nanti ibu panggil dia ke mari,”

No comments:

Post a Comment