Friday, January 28, 2011

Haruskah - 31

Kehadiran Putera Hadi melenyapkan rasa sunyi yang dialami Putera Adam. Ternyata kekhuatirannya tidak munasabah sama sekali. Tetapi, Putera Adam hanya mampu melihat pemandangan luar istana melalui jendela sahaja.

“Adi, marilah kita keluar. Kanda sudah bosan duduk di kamar seminggu-minggu. Sudah lebih sebulan pun,”

“Siapa suruh kanda lawan cakap ibu? Adi tidak berani hendak bawa kanda keluar. Nanti Adi pula yang dimarahi,”

“Sebentar sahaja pun tidak bolehkah?”

“Lebih baik kanda ikut saja arahan ibu. Kalau tidak lagi teruk kanda kena nanti. Sekarang ibu benarkan kita duduk bersama-sama tanpa ada orang yang menemankan. kalau kanda berdegil, mungkin ibu tidak akan tinggalkan kanda sendirian dengan Adi.”

Putera Adam berbaring semula. Kecewa benar dia kerana Putera Hadi tidak termakan dengan pujukannya.

“Bagaimana dengan kes tempoh hari? Kanda tidak dengar langsung kisahnya.”

“Haris dan orangnya yang menyerang kita semuanya sudah ditahan. Beberapa orang lagi ditangkap di sekitar kapal. Tetapi Andika dan Hisyam tidak ada. Mungkin mereka sudah melarikan diri sejak kita mula diserang lagi,” Putera Hadi memberitahu.

“Ada sesiapa lagi yang kita kenal?” tanya Putera Adam.

“Ada. Kanda pasti terperanjat. Tapi Adi tidak mahu beritahu siapa. Kanda terpaksalah tunggu sehingga mereka dibicarakan,”

“Bila?”

“Selepas kanda sembuh,” kata Putera Hadi. Sengaja dia meninggalkan Putera Adam dengan persoalan itu.

*

Talian internet yang lambat membuatkan Putera Adam naik darah. Puteri Karmila yang menemaninya malam itu langsung tidak ambil peduli akan keadaannya.

“Selalunya memang beginikah taliannya?” tanya Putera Adam.

“Tidak juga. Ada masanya laju, ada masanya lambat. Kanda sudah lupakah sekarang musim hujan? Janganlah berharap sangat dengan talian itu.”

“Kalau begini terus, kanda boleh jadi gila..” adu Putera Adam.

Puteri Karmila tertawa mendengar ocehan Putera Adam.

“Kanda tidak akan jadi gila. Percayalah. Mustahil ayahanda akan biarkan putera kesayangannya menderita sakit jiwa,”

“Kenapa kanda belum dibenarkan keluar dari kamar? Bukankah kanda sudah sihat sekarang?”

“Esok atau lusa pasti ibu benarkan kanda keluar. Sementara itu kanda berehat sajalah. Banyak yang menanti kanda nanti. Kalau kanda tidak ambil masa rehat yang diberi sekarang, tentu kanda akan sakit-sakit saja nanti.”

“Pandai benar dinda memujuk kanda,” kata Putera Adam. Dia mencuit pipi Puteri Karmila. Senyumnya terlihat hambar.

Friday, January 21, 2011

Haruskah - 30

Putera Adam memandang keliling. Cahaya malap dari lampu di luar jendela membuatkan segalanya kelihatan samar-samar. Kesakitan terasa menjalar di seluruh tubuh. Tangannya mengesan sesuatu yang hangat di sebelahnya.

“Ibu?” desis Putera Adam. Dia menekan suis lampu di sisi peraduan dengan tangan kirinya setelah mendapati tangan kanannya seolah tersekat oleh sesuatu.

“Adam,”

“Bonda? Kenapa tidur di sini?” tanya Putera Adam.

“Jangan banyak bergerak, Adam. Nanti luka Adam terbuka balik,” ujar Raja Puan Anis.

Putera Adam meraba-raba balutan luka di tubuhnya. Kesan darah kelihatan samar-samar. Kemudian dia memandang kantung darah yang hanya tinggal saki-baki di atas kepalanya. Sebuah keluhan dilepaskan.

“Adi di mana, bonda?” tanya Putera Adam.

“Di kamarnya,” balas Raja Puan Anis.

Bisu.

“Adam lapar?”

“Tidak. Bonda pulanglah ke kamar bonda. Jangan risaukan Adam,”

“Siapa yang tidak risau tengok Adam tidak bangun-bangun. Sudah tiga hari, Adam. Kami semua bimbangkan keadaan Adam,”

“Tiga hari?” bisik Putera Adam. Fikirannya menerawang.

*

“Kanda!” sergah Puteri Karmila. Tangannya terkena pada kesan luka akibat tikaman Haris.

“Aduh! Sakitlah, Ila!” Putera Adam terjerit kecil. Perlahan-lahan dia membalikkan tubuhnya menghadap Puteri Karmila.

“Alamak! Minta maaf, kanda. Ila tidak sengaja. Ila terlupa,” desis Puteri Karmila.

Wajah Putera Adam berkerut menahan kesakitan. Darah merah mula membasahi kain balutan lukanya.

“Ila panggilkan doktor,” kata Puteri Karmila lalu meninggalkan Putera Adam sendirian. Tidak sempat Putera Adam menghalang.

“Aduhai, Tuan Puteri! Kelam kabut betullah. Dayang ada. Inang ada. Hendak pergi sendiri juga,” Putera Adam membebel sendirian.

Seketika kemudian, Puteri Karmila kembali bersama doktor diraja.

“Maafkan Ila, kanda. Ila betul-betul tidak sengaja,” getus Puteri Karmila.

“Adi di mana? Kenapa kanda tidak nampak dia langsung? Sakitkah dia?” tanya Putera Adam. Sesekali dahinya dikerutkan menahan rasa pedih apabila lukanya bersentuh dengan air.

“Tidak. Kanda Adi sihat. Kanda saja yang sakit,”

“Ayahanda bagaimana?”

“Ayahanda sudah semakin pulih. Ada juga ayahanda ke mari, tetapi kanda asyik tidur saja,”

“Lain kali kalau ayahanda ke mari, Ila bangunkan kanda,” pesan Putera Adam.

*

Hasnah mengusap-usap kepala Putera Adam. Berkali-kali Putera Adam cuba menepis dengan tangan kanannya yang masih berselirat dengan tiub cecair.

“Ibu, janganlah. Malulah Adam,” larang Putera Adam. Teringat dia saat Hanna mentertawakannya selepas Hasnah mengucup dahinya ketika dia tersedar dari pengsan sewaktu mengikuti Kem Kepimpinan di sekolahnya dahulu. Semuanya gara-gara Puteri Karmila.

“Apa yang hendak dimalukan? Biarlah orang kata Adam anak ibu. Lagipun, bukannya ada orang lain di sini,” balas Hasnah. Dia mengucup dahi Putera Adam. Putera Adam membiarkan antara rela dengan tidak.

“Ibu, selepas ini Adam hendak menghadap ayahanda, bolehkah?” pinta Putera Adam.

“Boleh. Habiskan makanan dahulu,” ujar Hasnah.

“Adam sudah kenyang, ibu. Kita pergi sekarang?”

“Apa yang kelam kabut sangat, Adam?” tanya Hasnah.

“Entahlah, ibu. Adam rasa bersalah kepada ayahanda. Ila kata, sudah beberapa kali ayahanda ke mari sewaktu Adam tidur,”

“Dia cuma mahu pastikan Adam sihat saja,”

“Adam kena jumpa ayahanda juga,” desak Putera Adam. Tanpa berfikir panjang, dia turun dari peraduannya. Keadaan tubuhnya yang masih lemah membuatkan Putera Adam jatuh terduduk.

“Adam!” Hasnah terjerit. Putera Adam mengaduh kesakitan.

“Itulah. Degil sangat. Selagi belum sembuh, Adam jangan ke mana-mana. Ibu tidak izinkan,” putus Hasnah.

“Ibu..”

“Ibu kata tidak maknanya tidak.”

“Ayahanda..”

“Nanti ibu panggil dia ke mari,”

Friday, January 14, 2011

Haruskah - 29

“Di mana, Ila?” tanya Raja Ismaail. Deruan bayu yang menusuk hingga ke sukma tidak diendahkan.

“Jauh lagi. Mereka bersembunyi di sebalik tebing tinggi sana. Kalau ikut jalan darat, terlalu jauh. Tapi laut terlalu bergelora. Bagaimana sekarang?”

“Biar patik kendalikan pasukan menyusur jalan darat. Patik tahu laluannya,” Salah seorang perajurit menawarkan diri.

“Kalau begitu, bawalah beberapa orang bersama kamu,” kata Raja Ismaail setelah berfikir.

Raja Ismaail kemudiannya membahagikan pasukan tentera yang masih ada di situ kepada dua bahagian.

“Satu pasukan berkawal di sini. Yang lain ikut beta. Kanda, kanda di sini saja.”

“Dinda hendak menyusur arus?” tanya Raja Puan Anis.

“Itu sahaja jalan yang ada. Mari, Ila,” ajak Raja Ismaail. Puteri Karmila menoleh ke arah Raja Puan Anis seketika sebelum mengekori Raja Ismaail.

“Ila tunjukkan tempatnya,” arah Raja Ismaail. Kuda yang ditunggangnya dirapatkan ke arah kuda tunggangan Puteri Karmila.

*

Hisyam dan Andika sudah lama menghilang dari pandangan. Hanya Haris dan beberapa orang suruhannya sahaja yang masih berada di kawasan lapang itu. Ada yang sudah rebah ke tanah. Putera Hadi dan Putera Adam terus cuba bertahan dengan tenaga yang semakin berkurangan.

Cahaya malap dari kapal menemani mereka. Samar-samar Putera Adam dapat melihat riak wajah Haris yang kehairanan melihat teman-temannya dijatuhkan dengan mudah hanya disebabkan oleh dua orang lelaki.

“Kanda,” desis Putera Hadi.

“Ada apa, Adi?” tanya Putera Adam. Nafasnya sudah mencungap.

“Ada bunyi tapak kaki kuda. Kita berundur sekarang,”

“Kanda tidak dengar pun,”

Kelekaan mereka memberi peluang untuk Haris menyerang balas. Entah bila masanya dia mengeluarkan pisau belati, Putera Adam langsung tidak sedar. Rasa nyeri yang disertai percikan darah membuatkan Putera Adam rebah.

“Kanda!” getus Putera Hadi. Kini dia keseorangan. Langkah yang diatur kian rapi. Putera Hadi teragak-agak melarikan diri. Mengenangkan keadaan Putera Adam, dia terus bertahan.

“Kau marahkan akukah, Adi? Tidak perlulah terpekik begitu. Kau juga akan ikut dia sebentar lagi,” ujar Haris  dengan nada sinis.

Putera Hadi tidak membalas. Sesekali pandangannya disorotkan ke arah Putera Adam. Hendak mendekat, dia bimbang tindakan Haris seterusnya. Tanah yang dipijak mula memerah. Riak wajah Putera Hadi semakin resah.

*

“Kanda Adam,” desis Puteri Karmila. Jeritan Putera Hadi bergema di telinganya. Rengekan kuda putih miliknya kedengaran jelas seketika kemudian. Raja Ismaail terus maju dan berpaling ke arah Puteri Karmila.

“Ila tunggu di sini saja. Bahaya. Ketua Pengawal, temankan Puteri Karmila. Biar beta yang bawa pasukan kita ke sana,” arah Raja Ismaail. Ketua Pengawal Istana merangkap Panglima Kedua yang menyertai pasukan itu segera berundur.

“Kanda Adam,”

“Usah khuatir, Tuanku Puteri. Patik sudah nampak  mereka. Putera Adam Qushairy dan Putera Abdul Hadi pasti selamat,” pujuk Ketua Pengawal.

Puteri Karmila terdesak tinggal di situ apabila tali kekang kudanya dipegang oleh Ketua Pengawal.

“Lepaskanlah. Beta mahu ke sana,”

“Tidak boleh, Tuanku Puteri. Patik diarahkan untuk menjaga Tuanku di sini, bukannya menemani Tuanku ke tempat itu. Keselamatan Tuanku terancam,”

Beberapa kali mundar-mandir di kawasan itu, akhirnya Puteri Karmila tidak dapat bersabar lagi.

“Kita berundur. Beta mahu bertemu bonda,” kata Puteri Karmila. Ketua Pengawal mengangguk dan menghalakan kuda tunggangannya ke arah laut semula.

“Bagaimana beta mahu bergerak kalau tali kekang masih di tangan kamu?” tanya Puteri Karmila. Sebaik sahaja tali kekang kudanya dilepaskan, Puteri Karmila terus memacu ke kawasan lapang tempatnya melihat Haris tadi.

“Aduhai, Tuanku Puteri. Degil benar! Sejak kecil lagi tidak berubah-ubah. Bagaimana patik boleh terpedaya dengan helah Tuanku tadi?” rungut Ketua Pengawal. Dia bergegas mengejar Puteri Karmila yang sudah jauh di hadapan.

Friday, January 7, 2011

Haruskah - 28

Keadaan di pelabuhan pada malam itu sunyi sepi. Hanya bot-bot nelayan sahaja yang kelihatan mula bergerak ke tengah lautan. Putera Adam dan Puteri Karmila berjalan berdua menyusuri pinggir hutan tempat Putera Hadi melihat kapal itu. Seketika kemudian, Putera Hadi kembali membawa berita.

“Sudah tidak jauh, kanda. Mereka menyembunyikan kapal itu berdekatan gua batu di kawasan tebing tinggi sana,”

“Nampak sangat kecurangan yang mereka lakukan. Mari, Ila. Kita perlu ke sana sekarang juga,” ajak Putera Adam.

“Alahai, kanda! Kanda sudah lupakah adinda dari keturunan bunian? Sekarang kanda pejamkan mata. Biar dinda yang bawa kanda ke sana,” arah Puteri Karmila. Putera Adam menurut. Tidak lama selepas itu, Putera Adam merasakan kakinya sudah menjejak tanah kembali.

“Kanda Adam, Adi rasa Adi kenal mereka berdua,” kata Putera Hadi seraya menunjukkan dua orang lelaki yang dimaksudkannya.

“Adam pun rasa seperti pernah melihat mereka.”

“Siapa, kanda?” tanya Puteri Karmila.

“Kalau tidak silap, itu Hisyam. Yang seorang lagi Andika namanya. Yang lain Adi tidak kenal,”

“Bukankah mereka berdua sudah ditahan oleh pihak berkuasa Mahkota Peribumi?” kata Putera Adam.

“Benar. Adi sendiri yang memerangkap mereka. Hanna hampir-hampir dikerjakan makhluk perosak ini ketika Adi ke balai polis. Mujur Hanna sempat bertindak sendiri sewaktu Adi berlawan dengan mereka kemudiannya. Kalau tidak, tidak tahulah apa nasib kami,”

“Patutlah Hanna tahu berita penangkapan mereka disiarkan di akhbar. Tetapi di mana yang seorang lagi? Seingat Adam mereka bertiga,”

“Benar kata kau. Aku di sini!” sergah Haris. Puteri Karmila yang terperanjat segera berlindung di belakang kekandanya. Putera Hadi pula beralih membelakangi Putera Adam untuk memastikan Puteri Karmila tidak dapat disentuh oleh Haris.

“Haris!” desis Putera Hadi.

“Kau fikir aku bodoh? Mudah saja memboloskan diri dari penjara Mahkota Peribumi. Ada duit, semua jadi!” Haris memberitahu dengan nada bangga.

“Dasar makhluk perosak! Apa lagi yang cuba awak seludup kali ini? Ganja? Syabu? Atau heroin?”

“Ah, tidak perlulah kau tahu! Lebih baik kalian ucapkan selamat tinggal kepada sesama sendiri. Malam ini akan menjadi malam terakhir kalian di dunia!”

“Ila, pulang sekarang. Khabarkan kepada ayahanda kanda tentang mereka,” bisik Putera Hadi kepada Puteri Karmila.

“Bagaimana dengan kanda berdua?”

“Kami cuba lengahkan mereka. Pulang sekarang, Ila!” desak Putera Adam.

“Tapi, kanda Adam..”

“Sekarang, Ila! Mereka hanya manusia biasa seperti kanda. Tidak ada apa-apa yang perlu Ila bimbangkan,” Putera Adam cuba meyakinkan. Dia dan Putera Hadi membuka ruang untuk Puteri Karmila beredar. Haris pula seolah-olah terpaku apabila melihat Puteri Karmila menghilang dengan begitu pantas. Tetapi telinganya sempat mendengar setiap butir kata yang dituturkan tiga bersaudara itu.

“Rupa-rupanya kau anak raja. Nampaknya hancurlah harapan ayahanda kau hendak melihat puteranya memegang tampuk kerajaan, Putera Adi. Kau, apa pula kaitan kau dengan putera malang ini, Adam? Putera Mahkota? Ah, tidak mungkin Putera Mahkota. Kalau tidak, takkanlah kau tercampak jauh ke Mahkota Peribumi,” Haris membebel sendirian.

Putera Adam dan Putera Hadi berpandangan seketika. Mereka berkomunikasi dalam diam.

Haris memberi isyarat kepada orang bawahannya supaya mendekat.

Putera Adam dan Putera Hadi mengemaskan kedudukan.

“Kanda masih ingat lagikah apa yang kita pelajari dahulu?” tanya Putera Hadi separuh berbisik. Haris dan konco-konconya sudah semakin hampir dan membentuk satu bulatan mengelilingi mereka berdua.

“Entahlah. Kita tunggu dan lihat sajalah,”

“Kanda bertahan saja. Biar Adi yang serang mereka,”

*

“Ila! Di mana Adi dan Adam?” tanya Raja Ismaail. Raja Puan Anis segera mendekati puterinya.

“Kami diserang. Kanda Adam dan kanda Adi masih di pelabuhan. Ila pulang sendirian. Mereka mahukan bantuan,”

“Jangan risau, Ila. Tentera kita dalam perjalanan ke sana. Ila tidak perasankah?”

“Tapi mereka bukan benar-benar di pelabuhan,” Puteri Karmila memberitahu.

“Tidak mengapa. Kita ke sana sekarang. Ila tunjukkan jalannya. Bonda sudah arahkan pengawal keluarkan kuda Ila dari bangsal selepas kalian keluar tadi, kalau-kalau terjadi hal seperti ini,”

Raja Puan Anis menunjukkan tiga ekor kuda yang diletakkan di halaman istana.

 “Yang satu lagi kuda siapa?”

“Bonda mahu ke sana,”

Puteri Karmila segera memeluk bondanya. Kebimbangan terpancar di wajahnya.

“Ayahanda bagaimana, bonda?”

“Ayahanda sedang beradu. Tidak ada apa-apa yang perlu dibimbangkan. Seluruh anggota tentera kita sudah dikerahkan berkawal di segenap sudut negeri malam ini. Hanya satu pasukan sahaja yang dihantar ke pelabuhan. Ayuh! Kita tidak ada masa untuk dibazirkan,” ajak Raja Puan Anis yang sudah melangkah ke arah kuda kesayangan Putera Adam.

Puteri Karmila menuruti langkah bondanya diikuti Raja Ismaail. Sempat dia mengerling ke arah jendela kamar peraduan Raja Iskandar yang terbuka luas. Puteri Karmila mengesat air mata yang hampir mengalir di pipinya sebelum mendahului Raja Puan Anis dan Raja Ismaail ke tempat yang dimaksudkan.

*

Raja Iskandar terjaga oleh esakan yang didengarnya. Sekilas baginda memandang wajah wanita yang duduk berteleku di sisinya.

“Dinda Hasnah,” desis Raja Iskandar. Terperanjat baginda melihat Hasnah yang menemaninya malam itu.

“Ada apa, kanda?”

“Sejak bila dinda di sini?”

“Baru sebentar,”

“Anis di mana?”

“Ada urusan di luar,” balas Hasnah.

Raja Iskandar merenung wajah Hasnah sehingga isterinya tertunduk. Tangan kanannya mengelus lembut telapak tangan Hasnah.

“Dinda akan tinggal di sini?”

“Mungkin tidak. Dinda perlu pulang. Syarikat dinda tidak ada yang akan menguruskan,”

“Dinda tidak rindukan kanda? Lima belas tahun kanda menderita rindukan dinda,” Nada suara Raja Iskandar penuh mengharap.

Hasnah diam membisu. Wajahnya dilarikan daripada pandangan Raja Iskandar.

“Usahlah disembunyikan wajah itu daripada kanda. Dari riak mata dinda saja sudah dapat kanda baca kerinduan itu,” kata Raja Iskandar.

“Kanda sudah ada Anis,”

“Kita masih ada hubungan suami isteri, dan di hati kanda dinda masih yang pertama,”

“Susah dinda hendak jelaskan kepada kanda,”

“Apa lagi yang hendak dijelaskan? Kita masih sama-sama mencintai. Jangan dinafikan, melainkan dinda sudah lupa kisah Nabi Adam dan Hawa ketika ditemukan semula di padang Arafah. Sejak zaman itu lagi manusia sudah tahu perasaan malu seorang wanita itu boleh mengatasi cinta. Kalau tidak, takkanlah dinda menangis sendirian di sini,”

Akhirnya Hasnah mengalah. Mudah saja air mata yang ditahan sejak sekian lama gugur membasahi pipi, menambahkan lagi titis jernih yang sejak tadi tidak henti-henti mengalir ke atas cadar. Dia membiarkan Raja Iskandar menyeka air matanya.

“Ke mana Anis sebenarnya? Kanda terasa seperti istana ini sunyi sekali malam ini,” ujar Raja Iskandar. Wajah Hasnah ditenungnya dalam-dalam mencari kejujuran.

Hasnah mencari kekuatan untuk memberitahu perkara sebenarnya kepada Raja Iskandar yang masih lemah.