Friday, March 12, 2010

Haruskah - 3

“Tuanku Adam,”

Adam segera menoleh apabila terdengar namanya dipanggil.

“Bonda Tuanku sedang menanti di peraduan Tuanku Puteri,” Hanim memberitahu.
Adam melangkah perlahan-lahan ke arah peraduan Puteri Karmila. Ternyata bondanya memang sedang menantinya di situ.

“Bonda,” sapa Adam.

“Duduk, Adam,”

Adam menurut. Hanim yang menemaninya tadi segera keluar apabila diarahkan oleh Raja Puan Anis. Adam melirik ke arah adindanya yang kelihatan pucat.

“Ceritakan pada bonda, apa yang berlaku siang tadi?”

Adam menghela nafas dalam-dalam.

“Adam Qushairy!”

“Ila diserang musang terbang di hutan berdekatan padang latihan,”

“Bagaimana kalian boleh sampai ke sana?”

“Kami berlatih menunggang kuda bersama ayahanda,”

“Bonda tahu itu. Tapi bagaimana kalian boleh sampai ke dalam hutan?”

Adam tunduk merenung lantai.

“Jawab, Adam!”

“Adam yang salah. Adam ajak Ila tengok anak sungai yang Adam jumpa minggu lalu,”

Adam merasakan belakangnya sakit.

“Bonda!” Puteri Karmila cuba melarang.

Raja Puan Anis tidak mempedulikan larangan Puteri Karmila. Dia terus memukul Adam dengan rotan yang disembunyikannya sejak tadi.

Adam langsung tidak melawan.

“Bonda, jangan pukul kanda Adam. Ila yang salah. Ila yang tinggalkan kanda Adam.”

Entah bila masanya Puteri Karmila turun dari peraduannya dan duduk menghadap bondanya, Raja Puan Anis langsung tidak perasan. Dia hanya berhenti apabila Puteri Karmila menahan lengannya.

“Bonda, kalau bonda hendak rotan kanda, bonda rotanlah Ila sekali. Ila pun salah juga,” rayu Puteri Karmila. Dia memeluk kekandanya yang hanya mendiamkan diri sejak tadi. Puteri Karmila menggosok belakang Adam perlahan-lahan.

Raja Puan Anis meninggalkan Puteri Karmila dan Adam. Air matanya menitis membasahi pipi. Terperanjat dia melihat Raja Iskandar mengintai di pintu kamar.

“Kenapa kanda tidak melarang dinda? Adam boleh mati hanya kerana itu. Kanda sendiri tahu sebabnya. Kanda tahu Adam rasa sakit sangat, tapi kenapa kanda tidak halang dinda?” tanyanya. Raja Iskandar membiarkan Raja Puan Anis memeluknya erat-erat.

“Tuanku Permaisuri, jangan pukul anakanda beta lagi, ya?” Raja Iskandar memujuk. Raja Puan Anis mengangguk lemah.

* * * * * * * * * *

“Kanda, janganlah begini. Nanti kanda sakit lebih teruk,” pujuk Puteri Karmila.

Adam menggelengkan kepalanya. Makanan yang dihulurkan Puteri Karmila ditolak perlahan-lahan.

“Kanda Adam,”

“Tidak boleh, Ila. Kanda tidak ada selera. Dinda pergilah balik ke kamar. Dinda perlukan rehat. Nanti luka dinda tidak sembuh-sembuh,”

Puteri Karmila menggosok tubuh Adam lembut. Terketar-ketar tangannya.

“Jangan, Ila.” Adam melarang. Puteri Karmila tidak peduli. Dia menyelak baju yang dipakai oleh kekandanya. Masih terlihat berbirat belakang tubuh Adam akibat dirotan oleh Raja Puan Anis. Puteri Karmila menyentuh salah satu bekas dirotan itu.

“Ila,” tegur Adam. Matanya kelihatan berkaca-kaca.

“Kanda, kenapa bonda pukul kanda sampai begini teruk?”

“Kanda yang salah, Ila. Biarkan sajalah,”

“Tidak. Kanda tidak bersalah. Ila yang salah. Ila yang tinggalkan kanda. Lagipun, ayahanda ada bersama kita. Kanda bukannya sengaja biarkan dinda sendirian,”

“Biarlah. Benda sudah berlalu,”

“Kenapa kanda tidak melawan?”

“Mana boleh kanda lawan bonda,”

Puteri Karmila terdiam. Segera dia berlalu, membuatkan Adam terpinga-pinga.

“Adam,” seru Raja Puan Anis.

“Bonda,” Adam mengatur pakaiannya dan berusaha untuk duduk.

“Adam belum makan lagi? Inang kata Adam belum makan sejak semalam.”

Adam diam tidak membalas.

“Adam makanlah,” Raja Puan Anis menyuakan makanan ke mulut Adam. Mahu tidak mahu, Adam menurut. Raja Puan Anis meletakkan talam makanan di hadapan Adam dan membasuh tangannya. Adam menyuapkan makanan ke dalam mulutnya sedikit demi sedikit. Jelas seleranya belum terbuka lagi.

Raja Puan Anis memeriksa kesan pukulannya sebelum menyapukan minyak di tubuh Adam. Adam mengaduh kesakitan. Dia berhenti menyuap makanan.

“Maafkan bonda. Bonda tidak sepatutnya buat begini pada Adam,”

“Adam yang bersalah,” aku Adam.

“Makanlah lagi, Dam,” ujar Raja Puan Anis. Adam menggeleng tetapi Raja Puan Anis tidak melihat.

“Inang,” Raja Puan Anis memanggil.

“Ada apa, Tuanku?”

“Temankan Putera Adam makan,”

“Bonda,” tegur Adam.

“Kenapa, Adam?”

“Adam sudah kenyang,”

“Tapi Adam baru makan sedikit,”

“Adam benar-benar sudah kenyang. Adam penat sekarang. Benarkan Adam berehat,” pinta Adam.
Raja Puan Anis mengeluh. Dia mengangkat talam hidangan dan menyerahkannya kepada Hanim. Adam berbaring semula dan mengesat air matanya.

“Maafkan bonda,” ujar Raja Puan Anis. Dia mengucup pipi Adam dan meninggalkan puteranya sendirian di peraduan.

* * * * * * * * * * *


“Kanda, tolonglah dinda. Nanti dimarahi guru pula,” ujar Puteri Karmila.

“Kanda tidak mahu. Dinda buatlah sendiri. Sudah penat kanda mengajar, dinda masih tidak faham-faham juga,” balas Adam. Barang-barangnya sudah dikemaskan.

“Satu soalan saja lagi,” pujuk Puteri Karmila.

“Tuan Puteri, kanda sudah mengantuk. Sekarang sudah hampir pukul satu pagi. Esok banyak lagi yang perlu kanda selesaikan. Dinda mintalah inang ajarkan,”

“Sikit-sikit inang. Sikit-sikit inang. Apa gunanya ada kekanda? Dinda minta tolong sedikit sahaja pun susah,”

Adam menggelengkan kepalanya. Beberapa kali dia menguap. Puteri Karmila pula hanya tersenyum setiap kali dia bertanya sama ada soalan itu sudah difahaminya atau belum.

“Kanda,” seru Puteri Karmila.

“Apa lagi, Ila?”

“Kanda pergilah tidur sekarang. Yang selebihnya nanti dinda siapkan sendiri.”

Adam mengurut dada. Dia segera mengemaskan alat tulis dan buku yang dibawanya.

“Dinda, Adam balik ke kamar sekarang, ya?” ujar Adam.

“Nanti dulu,” Puteri Karmila menahan.

Adam tidak jadi menutup pintu.

Puteri Karmila segera mendapatkan kekandanya dan memeluk Adam dengan erat.

“Kanda, jangan tinggalkan dinda, ya?” ujar Puteri Karmila.

“Apa yang dinda merepek?”

“Dinda bukan bercakap yang bukan-bukan. Dinda terasa seperti kanda akan pergi jauh. Dinda perlukan kanda,” balas Puteri Karmila separuh berbisik.

Adam mengusap kepala adindanya.

“Untuk apa pula kanda tinggalkan dinda?”

Adam mengucup dahi Puteri Karmila dan beredar ke peraduannya

* * * * * * * * * *

"Pengawal, tolong pastikan tidak ada sesiapa mendekati dewan perjumpaan malam ini. Hatta Puteri Karmila dan Putera Adam," arah Raja Iskandar. Ketua Pengawal mengangguk. Dia mengarahkan anak-anak buahnya untuk memastikan setiap laluan masuk ke kawasan dewan ditutup sebelum pukul lapan malam kerana pada masa itulah perjumpaan kerabat diraja akan bermula.

Adam dan Puteri Karmila kebetulan lalu di kawasan itu setelah pulang dari pengajian. Mereka memerhati setiap kerabat diraja yang tiba daripada balai berdekatan, sambil cuba mendekati dewan perjumpaan tanpa dikesan oleh pengawal.

"Tuanku berdua hendak ke mana?" tanya Ketua Pengawal yang sedang meronda.

"Kami hendak berjalan-jalan di sini saja," balas Adam. Puteri Karmila sudah kecut perut dan berlindung di belakang kekandanya.

"Maafkan patik, tetapi ayahanda tuanku berdua mengarahkan supaya tidak ada sesiapa pun yang lalu di kawasan ini pada masa ini," Mendengar kata-kata pengawal itu, kedua-dua pengasuh Adam dan Puteri Karmila membawa mereka ke kamar masing-masing.

Setelah memastikan Adam dan Puteri Karmila bersalin pakaian dan berada di peraduan, pengasuh-pengasuh itu meninggalkan kawasan kamar. Adam mengambil alat perhubungan jarak jauh yang dibelinya tanpa pengetahuan ayahandanya semasa lawatan ke luar negeri pada tahun lepas. Raja Puan Anis, bonda mereka sahaja yang tahu tentang kewujudan alat itu kerana dia yang membelikannya setelah puas Adam memujuk.

"Dinda, ada dayang di hadapan kamar dinda?" tanya Adam.

"Rasanya ada lagi. Inang pun baru saja keluar. Kenapa, kanda?" tanya Puteri Karmila.

"Kanda hendak tahu apa yang dibincangkan oleh ayahanda dan bonda,"

"Tidak lama lagi hari ulangtahun kanda yang ke-12. Bukankah Putera Mahkota akan ditabalkan pada hari lahirnya yang ke-12 menurut adat di istana ini? Tentu mereka membincangkan tentang majlis itu." balas Puteri Karmila.

"Kanda tidak percaya itu saja yang mereka bincangkan. Masakan semata-mata untuk itu seluruh kerabat diraja dipanggil ke mari? Hatta Raja Long Karim pun mereka undang. Bukan dinda tidak tahu betapa susahnya untuk ayahanda menjemput Raja Long Karim setelah pertelingkahan mereka beberapa tahun lepas,"

"Sudahlah, kanda. Dinda sudah penat. Hendak ditangkap pengawal tadikah?"

"Kanda mahu tahu juga! Dinda temankan kanda sekejap saja. Kita ikut jalan rahsia. Mesti tidak ada pengawal di sana," pujuk Adam.

"Yalah. Sekejap lagi dinda turun,"

"Kanda tunggu di bawah,"

No comments:

Post a Comment