Friday, March 19, 2010

Haruskah - 6

"Adam, bangun nak. Kita akan ke sekolah pagi ini. Adam sudah sembahyang Subuh atau belum?" tanya Hasnah. Adam duduk di bucu katilnya. Hasnah duduk di sisi Adam. Dia merenung wajah anak tunggalnya yang sudah terlalu lama tidak ditemui. Tidak disangkanya Adam boleh bertindak sendirian sehingga menemuinya di situ. Meskipun dia tahu Adam diiringi oleh pengawal peribadi yang menyamar, hatinya tetap tidak tenang.

"Ibu," Adam memeluk ibunya.

"Cepatlah siap, Dam. Sekejap lagi kita ke sekolah," ujar Hasnah seketika kemudian. Dia cuba meleraikan pelukan Adam.

"Nantilah dulu, ibu. Adam rindukan ibu,"

"Adam ini ada-ada saja. Balik dari sekolah nanti pun Adam boleh jumpa ibu lagi,"

"Ibu berjanji tidak akan tinggalkan Adam lagi?" tanya Adam.

"Ibu tidak akan tinggalkan Adam macam dulu. Lagipun, kehidupan ibu sekarang sudah berubah. Semuanya kerana Raja Puan Anis,"

"Adam mahu berjumpa dengan ayah," pinta Adam.

"Adam, ayah Adam keluar negeri. Ibu pun sudah lama tidak berjumpa dengan ayah Adam," balas Hasnah.

"Kita cari dia,"

"Jangan mengarut, Dam. Ibu tidak tahu dia di mana. Pergilah bersiap. Nanti lambat pula hendak ke sekolah. Di sini bukannya seperti di Negeri Indah Laksana. Waktu sekolah bermula sebelum pukul tujuh,"

"Adam tidak tahu pun waktu sekolah di sana, bu,"

"Adam tidak ke sekolahkah?"

"Adam belajar dengan guru persendirian, bersama Puteri Karmila,"

"Ibu lupa pula anak ibu tinggal bersama keluarga diraja. Eh, cepatlah! Biar ibu siapkan sarapan," Hasnah meleraikan pelukan Adam. Dia mengucup dahi Adam.

"Pergi mandi sana. Anak ibu busuklah," ujar Hasnah sebelum meninggalkan bilik itu.

"Ibu!" ujar Adam separuh menjerit. Geram rasanya diusik seperti itu.

* * * * * * * * * *

Suasana hiruk-pikuk membingitkan telinga. Adam memandang keliling. Rasa takjub jelas terukir di wajahnya.
Lirikan matanya dilarikan ke setiap penjuru bangunan tiga tingkat itu. Dia mencongak-congak. Tidak pernah dia melihat kanak-kanak seramai itu berkumpul di tempat yang sama.

“Ini sekolah Adam,” Hasnah memberitahu.
Adam sekadar mengangguk. Dia membuntuti langkah Hasnah ke ruang pejabat.

Setelah selesai segala urusan pendaftaran, mereka dibawa ke kelas. Adam masih leka memerhati anak-anak sebayanya ketika tiba di kelas yang dimaksudkan.

“Adam,” Hasnah menegur.
Guru yang mengiringi mereka tersenyum manis memandang Adam. Tingkahnya seolah sentiasa menyenangi setiap kelakuan Adam.

“Ini kelas kamu. Berkenalanlah dengan teman-teman. Kalau ada apa-apa masalah, jumpa saya di bilik kaunseling. Saya sudah tunjukkan tempatnya tadi, bukan?”

“Baik,” balas Adam ringkas.

* * * * * * * * * * *

Keletah anak-anak remaja sememangnya sukar ditelah. Meladeni mereka seolah-olah melayani puteri raja terkadang tidak mencukupi. Maklum saja, hati remaja tidak mudah dipuaskan dengan sekadar kata-kata.

Adam duduk di salah sebuah kerusi kosong di bahagian belakang, memerhatikan teman-teman sekelasnya sementara menanti guru mereka tiba. Beberapa orang cuba mendekati dan memperkenalkan diri. Adam menyambut seadanya.

“Adam Qushairy,” Adam membalas apabila ditanya namanya.

Beberapa pasang mata menjeling tajam. Takut-takut untuk menghulur kata. Mungkin kerana susuk tubuh Adam yang kelihatan tegap, tidak seperti kebanyakan remaja seusianya.

“Hanna,” Seorang gadis mendekati Adam dan menghulurkan tangan.

“Maaf, tapi saya tidak boleh sambut tangan awak. Bagaimanapun, salam perkenalan,” Adam membalas separuh berbisik.

“Oh, maaf. Saya terlupa,” ujar Hanna. Dia kelihatan tersipu seketika.

“Hanna, sudahlah. Jangan sampai aku meluat,” tegur seorang temannya. Adam memandang ke arah orang yang bersuara.

“Saya Hans. Yang ini Alex,”

“Adam Qushairy,” Kali ini Adam menyambut huluran tangan mereka.

“Awak hendak duduk di mana?” tanya Hans. Adam mencari-cari tempat duduk yang kosong.

“Di sebelah saya masih ada kosong lagi. Nanti kita ambil meja dan kerusi awak di stor. Meja yang itu sudah hampir roboh,” Hanna menawarkan.

Adam mengangkat bahu.

“Nanti kami tolong,” kata Hans. Dia tersenyum simpul.

* * * * * * * * * *

“Bagaimana sekolah?” Hasnah menyapa Adam.

“Ibu! Terperanjat Adam! Ibu tidak bekerjakah hari ini?”

“Ibu sudah berjanji hendak berjumpa Adam selepas pulang dari sekolah. Sekarang, jawab soalan ibu pula. Adam belum jawab lagi soalan ibu,” Hasnah mengingatkan.

“Adam tidak tahu hendak jawab apa,”

“Ramai teman baru Adam?”

“Ramai juga,” balas Adam. Dia meletakkan begnya di atas sofa dan segera mendakap ibunya.

“Pergilah basuh tangan sana. Kita makan dulu. Selepas itu, Adam jangan lupa solat, ya?”

“Ibu hendak ke mana?”

“Ibu hendak ke kedai. Sebentar saja. Nanti ibu terus pulang,”

Hasnah meninggalkan Adam selepas mengucup dahi anak tunggalnya itu.

* * * * * * * * * *

Detik waktu terus berputar. Setiap pagi, mentari menjanjikan hari baru yang lebih baik buat Adam. Lama-kelamaan, Adam semakin rapat dengan tiga orang teman sekelasnya, Alex, Hans dan Hanna.

Sesekali Adam membuka kotak kecil yang dibawanya sejak hari pertama meninggalkan Mahligai Kayangan. Kotak itu merupakan pemberian Puteri Karmila. Di dalamnya hanya terisi dengan beberapa buah buku yang sering mereka baca bersama, sebatang anak panah yang terpatah dua dan bekas minyak panas. Hanya Adam yang tahu makna barang-barang itu.

Setiap kali dia terasa sukar untuk lelap, Adam merenung ke luar jendela. Kadangkala Adam memanjat ke luar tingkap dan berbaring di atas bumbung seperti yang biasa dilakukannya semasa di istana.

“Adam, apa yang Adam buat di luar malam-malam begini? Bahaya naik ke bumbung dalam gelap. Nanti tergelincir,” tegur Hasnah.

Adam segera bangkit dan masuk ke dalam rumah. Setelah Hasnah masuk ke biliknya, Adam keluar kembali. Kali ini dia mengunci pintu biliknya dari dalam.

“Agaknya Puteri Karmila sudah tidur atau belum sekarang?” Adam bertanya. Soalannya dibawa angin lalu. Adam membiarkan sahaja, kerana dia tahu tidak ada sesiapa yang dapat menjawab soalan itu melainkan Puteri Karmila.

*Nota Penulis: Entri kali ini mungkin agak suram. Kepada sesiapa yang baru pertama kali membaca kisah ini, anda belum terlambat. Di bawah ini disertakan link ke entri-entri sebelum ini.

Bah. 5

No comments:

Post a Comment