Friday, March 4, 2011

Haruskah - 36

Kali kedua menjejakkan kaki ke mahkamah, Putera Adam kelihatan lebih selesa. Kali ini dia berpakaian biasa. Mungkin itu sebabnya.

Pandangannya dihalakan ke arah kandang tertuduh. Terperanjat Putera Adam dibuatnya. Segera dia berpaling ke arah Putera Hadi.

“Adi, diakah orangnya?” tanya Putera Adam.

“Benar. Itulah orangnya yang menyebabkan kematian ayahanda,” balas Putera Hadi tanpa menoleh.

“Adi, ajal maut di tangan Allah. Apa cara sekalipun, kalau Allah kata jadi, maka jadilah. Kita tidak akan mampu untuk menghalang,” kata Putera Adam.

“Yang pasti dia akan terima balasannya!”

“Itu sudah tentu. Kalau tidak di dunia, di akhirat tidak akan terlepas,” balas Putera Adam.

Dia merenung lagi lelaki yang berdiri jauh di hadapannya. Mata mereka bertentang seketika. Lelaki itu tertunduk. Kemudian pandangannya dilarikan ke arah lain. Putera Adam masih memerhati kelakuannya. Sekali lagi lelaki itu mengubah kedudukan, seolah sedang menyembunyikan sesuatu daripada seseorang.

“Tapi kenapa mesti dia?” getus Putera Adam separuh berbisik. Kesal.

*

 “Ayahanda, benarkan Adam bertemu dengan pesalah tadi,” pinta Putera Adam.

“Untuk apa, Adam?”

“Ada sesuatu yang Adam mahu bincangkan dengannya. Sesuatu yang peribadi.”

“Adam kenal dia?” tanya Raja Iskandar.

“Terlalu kenal, ayahanda. Tapi bukan sebagai penjenayah. Mungkin Adam tersalah pandang. Yalah. Hati manusia, siapa yang tahu?”

“Bila?”

“Bila-bila masa. Mungkin pagi esok,”

“Di mana?”

“Boleh Adam bawa dia ke kamar perjumpaan diraja?”

“Apa yang penting sangat sampaikan Adam mahu bertemu secara empat mata?”tanya Raja Iskandar seolah mengesyaki sesuatu.

“Ada sesuatu yang Adam perlukan daripada dia. Tolonglah, ayahanda. Kali ini sahaja,”

Raja Iskandar merenung mata putera tunggalnya. Ada riak kebimbangan.

“Ayahanda, takkan boleh dia bunuh Adam. Ayahanda janganlah risau. Dia akan dapat hukuman yang setimpal dengan kesalahannya. Hanya menunggu masa sahaja. Mustahil dia akan lakukan hatta satu kesalahan kecil lagi,” Putera Adam cuba meyakinkan.

“Baiklah. Tapi jangan terlalu lama. Esok pagi, ayahanda akan arahkan pengawal bawa dia ke kamar perjumpaan,” janji Raja Iskandar.

*

 “Putera Adam Qushairy,”

“Bukan. Saya datang sebagai Adam Qushairy Iskandar. Duduklah, pak cik,”

“Apa bezanya?” kata Azim.

“Adam Qushairy Iskandar bukan putera raja. Hanya rakyat biasa di Mahkota Peribumi; yang terikat dengan peraturan; yang selalu datang lambat ke sekolah; yang belajar ilmu mempertahankan diri daripada pak cik,”

“Patik tidak layak dilayan seperti ini, Tuanku. Apatah lagi dibawa ke tempat ini. Setahu patik hanya raja-raja dan kerabatnya sahaja yang dibenarkan masuk ke sini,” desis Azim.

“Semua manusia sama. Tidak ada perbezaan taraf antara rakyat biasa dengan raja. Semua orang berhak masuk ke sini,”

“Tapi patik seorang penjenayah,”

“Duduklah dahulu. Bercakap seperti ini hanya akan menimbulkan masalah. Adam tidak mahu terjadi sesuatu yang tidak diingini pagi ini. Adam mahukan suasana aman,” pujuk Putera Adam.

Azim duduk di kerusi yang disediakan untuknya. Putera Adam melabuhkan punggung di sisinya. Tidak ada langsung riak kecewa mahupun amarah di wajahnya.

“Pak cik, anggaplah pak cik tidak pernah tahu saya Putera Mahkota di negeri ini. Saya mahu bercakap tentang masa depan,”

“Masih adakah masa depan untuk seorang pembunuh yang menanti hukuman mati?” kata Azim sinis. Pesimis.

“Masih ada. Hukuman belum dijatuhkan. Kalau Adi maafkan pak cik, mungkin pak cik dilepaskan. Tapi hari ini kita tidak akan berbicara tentang itu,”

“Jadi, tentang apa?”

“Hanna,” kata Putera Adam.

No comments:

Post a Comment