Tuesday, August 31, 2010

Haruskah - 24

“Adam,” Satu suara lain menerpa. Suara wanita.

“Raja Puan Anis,” desis Adam.

“Adam masih marahkan bondakah?”

“Adam tidak ada bonda. Adam cuma ada ibu,”

“Bonda tahu. Tapi Adam masih lagi waris kerajaan Indah Laksana,”

“Adam bukan anak gahara. Berikan saja takhta itu pada Adi. Dia lebih layak,”

“Adam, bonda cuma mahu Adam pulang. Ayahanda Adam gering sejak Adam pergi. Adam tidak sayangkan ayahanda Adamkah?” rayu Raja Puan Anis.

Adam merasakan wajahnya panas. Titisan jernih mula bertakung di tubir matanya. Melihat itu, Puteri Karmila mengambil gagang telefon dan dilekapkan ke telinganya sendiri. Seketika kemudian, dia meletakkan gagang di tempatnya semula.

“Kanda puas hati sekarang? Kita tidak cukup masa untuk bertangguh. Paling tidak, kanda pulanglah bertemu ayahanda buat kali terakhir. Dinda tahu kanda rindukan ayahanda,”

“Tidak bolehkan ayahanda saja yang datang ke mari?” Adam masih mahu berdalih.

“Kanda, ayahanda sakit berat dan tidak dibenarkan keluar dari kamar peraduan. Sekarang Raja Ismaail yang menjadi pemangku ketua kerajaan. Lagipun, takkan kanda mahu ayahanda merayu di depan kanda memohon supaya kanda pulang? Di mana rasa hormat kanda? Kenapa sikap kanda tidak sama seperti yang kanda tunjukkan pada bonda dahulu?”

“Hak ibu tiga kali hak ayah terhadap anaknya,” desis Adam. Puteri Karmila tidak peduli.

“Ibu benarkan kanda Adam pulang bersama Ila?” tanya Puteri Karmila pada Hasnah.

“Sudah tentu,” kata Hasnah.

“Nah, sekarang hanya tinggal kanda saja yang perlu buat keputusan,”

“Bila Ila mahu pulang ke sana?”

“Secepatnya. Kalau boleh, hari ini juga,”

“Bagaimana kalau minggu hadapan?”

“Kanda, kita tidak ada masa untuk ditunggu. Dinda takut kita tidak sempat sampai. Indah Laksana jauh. Seminggu perjalanan dari sini. Kanda sendiri tahu, bukan? Belum ada jalan lain ke sana melainkan jalan laut. Dua hari lagi kapal akan bertolak. Dua minggu lagi baru ada kapal lain ke sana,” Puteri Karmila mengingatkan.

“Tapi, Adam perlu ke sekolah...”

“Ibu sudah siapkan suratnya.”

Kali ini, Adam berasa terperangkap. Tidak ada lagi jalan untuknya melepaskan diri.

“Yalah. Kita pulang esok,”

Puteri Karmila memeluk Adam seeratnya.

“Terima kasih, kanda,” bisiknya.

*

Kehilangan Adam menjadi tanda tanya di seluruh sekolah. Sudah seminggu teman-temannya mencari. Akhirnya, Puan Asma memanggil Hanna, Hans dan Alex ke bilik gerakan pengawas.

“Hanna, Hans, Alex. Takkan kamu bertiga tidak tahu langsung Adam ke mana? Kamu yang paling rapat dengan Adam. Kalau bukan kamu, pada siapa lagi saya harus bertanya?” tanya Puan Asma.

“Tidak, puan. Dia tidak hubungi kami langsung. Rumahnya pun sunyi saja,” balas Hans.

Alex terus membisu. Hanna pula berkali-kali menggenggam tangannya seolah-olah menyembunyikan sesuatu.

“Hanna, awak seperti tahu sesuatu,” tegur Puan Asma.

Serentak Hans dan Alex menoleh ke arah Hanna.

“Hanna,” desak Alex.

“Cakaplah, Hanna. Saya guru kaunseling. Saya juga penasihat badan pengawas. Awak perlu beritahu saya. Kalau Adam ada masalah, mungkin kita boleh bantu dia,”

“Tapi yang ini bukan dalam bidang kuasa kita,”

“Kenapa?”

“Adam dipanggil pulang ke negeri asalnya. Ayahanda Adam sedang gering,”

“Ayahanda? Maksud awak?” tanya Hans.

“Adam putera sulung Negeri Indah Laksana.”

“Jadi dia menipu saya,” kata Alex kesal.

“Dari mana kamu tahu perkara ini?” tanya Puan Asma tanpa mempedulikan reaksi Alex.

“Adi yang beritahu saya,” balas Hanna.

“Siapa pula Adi?”

“Dia putera kedua dalam kerajaan itu. Putera Hadi ke mari untuk memujuk Adam supaya pulang ke sana. Dia tidak sanggup menjadi raja kerana sering berlaku pergolakan di negerinya. Tidak ada cara selain memanggil Adam pulang,”

“Jadi, Adam akan pulang ke mari atau tidak?”

“Saya tidak tahu, puan. Saya cuma tahu Adam dipanggil pulang. Saya tidak tahu bila dia pergi, atau bila Adam akan pulang ke sini lagi,”

Pertemuan mereka petang itu menemui jalan buntu.

*

Hanna membelek-belek sampul surat yang ditemuinya di dalam peti pos. Sampul surat itu tidak digam dan tidak ditampal setem.

“Siapa agaknya yang letakkan sampul ini di dalam peti surat?”

Saturday, August 21, 2010

Haruskah - 23

“Teringat siapa, Hanna?”

“Adi! Bagaimana awak boleh sampai ke mari?”

“Ini tempatnya kali pertama kita berjumpa,” Adi mengingatkan.

“Jadi?”

“Saya tahu awak selalu ke mari. Tadi saya ke rumah awak, tapi ibu awak kata awak belum pulang. Jadi saya cari awak di sini,”

“Kenapa awak cari saya?”

“Saya perlukan bantuan awak,”

“Apa yang boleh saya bantu?”

“Pujuk Adam, mungkin. Atau, paling tidak tolong dengar apa yang ingin saya katakan,”

“Diakah orang yang awak cari selama ini?”

“Ya, nasib baik awak ajak saya ke majlis ulangtahun ibu bapa awak tempoh hari. Kalau tidak, mungkin pencarian saya tidak berpenghujung,”

“Tapi kenapa awak cari dia?”

“Adam dipanggil pulang ke negeri Indah Laksana,”

“Negeri Indah Laksana?”

“Awak tidak pernah dengar nama Indah Laksana?”

“Tidak. Mungkin saya terlepas pandang. Saya bukannya tumpukan perhatian sewaktu pelajaran sejarah atau Ilmu Kaji Alam,” balas Hanna jujur.

“Nama asal Adam adalah Putera Adam Qushairy ibni Raja Iskandar. Dia sepatutnya ditabalkan sebagai Putera Mahkota Indah Laksana tiga tahun yang lalu, tetapi kerana beberapa kenyataan yang dibuat oleh Raja Long Karim, Adam membawa diri ke Mahkota Peribumi. Seorang diri, atau paling tidak, Adam rasa dia seorang diri. Raja Iskandar suruh orang ekori dia sampai dia jumpa ibu dia,”

“Siapa Raja Long Karim?”

“Putera sulung dalam kerajaan kami untuk generasi yang memerintah sekarang. Tapi Raja Long Karim sudah mangkat tahun lepas. Sekarang ayahanda Adam yang memerintah. Sejak beberapa bulan lepas, Raja Iskandar gering. Keadaannya sudah semakin tenat. Jadi, ayahanda saya memangku tugasnya,”

“Jadi awak pun seorang putera raja?”

“Benar. Saya Putera Abdul Hadi ibni Raja Ismaail,”

“Tapi sikap dan perangai awak tidak seperti yang selalu mereka gambarkan dalam televisyen,”

“Tentulah. Setiap orang lain ragamnya. Lagipun, penulis skrip kisah-kisah televisyen belum tentu lagi pernah bertemu dengan putera raja yang asli. Tidak ramai orang yang bertuah macam awak,” kata Adi sedikit meninggi diri. Hanna tertawa kecil.

“Saya perlu pulang sekarang,” Hanna memberitahu.

“Marilah, saya hantarkan. Boleh Hanna berkenalan dengan inang Laila. Tidaklah dia kesunyian lagi nanti,” Adi menawarkan. Dia membawa Hanna bertemu Laila yang sedang menanti di bangku kayu yang disediakan di bawah salah satu pohon di situ.

*

“Kanda, ayahanda mahu bercakap dengan kekanda,” ujar Puteri Karmila. Dia menyerahkan gagang telefon kepada Adam.

“Dari mana dia dapat nombor telefon rumah ini?” tanya Adam separuh berbisik.

“Ibu yang beri,” Hasnah memberitahu.

“Cepatlah, kanda,” desak Hanna.

“Yalah.”

Adam menyambut gagang telefon. Suara Raja Iskandar menyapa. Adam terkelu beberapa ketika.

“Adam tidak mahu pulang ke Mahligai Kayangan?”

“Tempat Adam bukan di sana,”

“Adam bukan anak angkat. Adam putera sulung ayahanda. Putera sulung kerajaan Indah Laksana,”

“Adam tahu. Ila sudah terangkan semuanya,”

“Jadi, apa lagi yang Adam mahu?”

“Adam mahu terus tinggal bersama teman-teman Adam,”

“Ayahanda boleh berikan mereka tempat tinggal di sini,”

“Tapi..”

“Adam,” Satu suara lain menerpa. Suara wanita.

“Raja Puan Anis,” desis Adam.

Thursday, August 12, 2010

Haruskah - 22

“Bagaimana dengan ibu?”

“Ibu juga sudah dibenarkan pulang ke Indah Laksana. Malah ke Mahligai Kayangan,” Puteri Karmila memberitahu.

Adam mengeluh berat.

“Benarkan Adam berfikir dahulu,” pinta Adam. Dia masuk ke biliknya dan mengunci pintu walaupun dia sedar Puteri Karmila boleh masuk tanpa sebarang halangan.

“Biarkan, Ila. Mungkin Adam belum bersedia menerima kenyataan,” Hasnah menghalang apabila Puteri Karmila bangkit dan menuju ke pintu bilik Adam.

“Tapi, ayahanda..” Suara Puteri Karmila kedengaran gusar.

“Ibu tahu, Ila. Ibu juga risaukan ayahanda kalian. Dia masih suami ibu. Marilah, kita tidur,”

*

“Hans, ada surat untuk awak. Saya terjumpa di bilik kaunseling tadi,”

Hans menyambut surat yang dihulurkan Hanna dan membacanya.

“Ada apa, Hans?” tanya Alex.

“Jemputan ke Persidangan Penulis Muda Serantau!”

“Bila?”

“Sebulan selepas Peperiksaan Kelas Tiga,”

Adam mengeluh.

“Awak kenapa? Sejak tadi saya lihat awak duduk bermenung,” tegur Hanna.

“Dia bimbangkan awak,” ujar Hans. Adam mencerlung memandang Hans.

“Untuk apa pula?”

“Awak kena pergi ke sekolah sukan. Selepas ini dia tidak boleh berjumpa awak seperti selalu,” Hans menyambung.

“Sudahlah Hans. Jangan bercakap yang bukan-bukan,” kata Adam. Dia meninggalkan teman-temannya.

“Hans, awak pandai-pandai saja. Tengoklah. Adam sudah merajuk.” getus Hanna.

“Tidak. Saya serius. Dia ada hati pada awak.”

“Hans,” Alex menegur apabila melihat wajah Hanna yang cerah merona kemerahan.

*

“Bagaimana dengan kanda Tuanku?”

“Belum lagi, Inang. Kanda belum mahu pulang ke Mahligai Kayangan. Dia mohon waktu untuk berfikir,”

“Tapi, ayahanda Tuanku sudah berkali-kali memanggil kita pulang. Raja Ismaail juga,”

“Kita tidak boleh berputus asa. Tujuan kita ke mari adalah untuk membawa kanda Adam pulang ke Mahligai Kayangan. Selagi kanda Adam tidak mahu mengikut, Ila tidak akan pulang. Itu janji Ila pada ayahanda. Ila tidak boleh bertemu ayahanda lagi sebelum kanda Adam menghadap ayahanda. Sudah sekian lama Ila rancangkan semuanya. Ila akan pastikan kanda Adam pulang bersama kita,”

“Aduhai, apa yang patik hendak jawab kalau ayahanda tuanku berdua menelefon lagi?”

“Katakan saja kami sudah bertemu kekanda Adam. Beritahu saja pada ayahanda sejujur-jujurnya. Pasti ayahanda tidak akan marah. Inang percayalah. Minggu hadapan kita akan balik ke Mahligai Kayangan,”

Laila terdiam. Sikap degil Puteri Karmila tidak berubah langsung sejak kecil.

*

Hanna duduk sendirian di kerusi penonton yang diletakkan di tepi gelanggang. Bola keranjang yang dibawanya diletakkan di sisi. Suasana rembang petang belum menggamitnya untuk pulang.

“Teringat siapa, Hanna?”