Monday, July 12, 2010

Haruskah - 19

Putera Hadi menanggalkan kaca mata hitam yang dipakainya.

“Sudah tidak kenal saya lagi?”

“Awak Adi, yang saya jumpa di rumah Hanna tempoh hari,” balas Adam lambat-lambat.

“Salah,” kata Putera Hadi membuatkan Adam tersentak.

“Saya tahu awak kenal saya. Kalau tidak, awak tidak akan sembunyikan wajah awak dengan berpura-pura minum. Saya tahu gelas itu sudah kosong, dan awak juga tidak akan cuba larikan diri setiap kali saya berdekatan,”

“Agaknya awak tersilap orang,”

“Tidak. Putera Adam Qushairy ibni Raja Iskandar, ayahanda kanda memanggil kanda pulang,”

“Saya bukan putera Raja Iskandar, dan saya juga bukan kekanda awak. Agaknya awak tersalah orang,”

“Mungkin kanda perlukan lebih banyak bukti. Inang, keluarlah. Inilah orangnya yang kita cari”

Adam terkedu. Dia sudah mencapai pagar yang belum dikunci dan cuba melarikan diri ke dalam rumah tanpa disedari oleh Putera Hadi. Kelibat Laila membuatkan Adam terhenti.

“Ini inang pengasuh Puteri Karmila, bukan?” Putera Hadi menguji. Spontan Adam mengangguk kecil.

“Awak sudah mengaku,” Putera Hadi tersenyum puas.

“Putera Abdul Hadi ibni Raja Ismaail, saya sudah tahu awak datang ke mari mencari saya. Tapi saya tidak akan pulang ke Mahligai Kayangan. Tempat saya bukan di sana,”

“Tidak mengapa kalau kanda berdegil. Mari, Inang. Kita pulang dulu. Biar Puteri Karmila yang uruskan kanda Adam,”

“Di mana Puteri Karmila?”

“Sebentar lagi dia datang. Baru semalam dia sampai ke mari. Kanda rindukan diakah? Adinda kita lebih cantik daripada dahulu, sewaktu kali terakhir kanda bertemu dengannya” Putera Hadi mengenyitkan mata pada Adam.

Putera Hadi meninggalkan tempat itu bersama Laila dan pemandunya. Adam menutup pintu pagar dan menguncinya. Dia duduk di kerusi rehat di hadapan rumahnya, seolah-olah ingin memastikan kata-kata Putera Hadi bukan sekadar gurauan.

“Kanda,”

Tersentak Adam dibuatnya. Puteri Karmila sudah duduk di hadapannya.

*

“Bagaimana Tuan Puteri masuk? Pintu itu sudah dikunci dari dalam,”

Puteri Karmila tersenyum.

“Kanda tidak mahu menjemput adinda masukkah?”

“Ibu tidak ada di dalam,”

“Sebentar lagi ibu pulang. Lebih baik kanda bukakan pintu pagar itu sekarang,” balas Puteri Karmila. Tidak lama kemudian, Hasnah tiba di rumah seperti yang diberitahu oleh Puteri Karmila. Sekali lagi Adam terpaku.

Puteri Karmila menyalami Hasnah sebaik sahaja wanita itu turun dari keretanya.

“Ibu,” kata-kata itu seolah-olah tersekat.

“Ibu tahu Adam terperanjat. Ibu sudah bertemu Ila tadi, dan surat yang Ila kirimkan ke pejabat ibu minggu lepas. Ibu letakkan di atas meja Adam,” kata Hasnah.

“Tapi..”

“Kita masuk dulu. Ila perlukan rehat. Adam pun baru saja pulang dari sekolah, bukan? Malam nanti saja kita berbual. Mari, Ila,” ajak Hasnah.

Adam mengerutkan dahinya, tidak percaya dengan apa yang dilihat.

2 comments:

  1. hai aleeya...
    lme x post komen...
    cam best je citer ni...
    ecehceh..lagu pn lagu adam...hehe
    btol la cik epal dah privatekan blog..
    x leh nak bkk dah blog die...
    keep in touch dear...

    ReplyDelete