Monday, March 22, 2010

Haruskah - 7

Hanna, Adam, Hans dan Alex duduk berempat di bawah pokok yang rendang. Pemandangan dari atas bukit di belakang sekolah mereka amat menarik hati. Biarpun kedudukan mereka jauh dari pantai, Adam dapat melihat asap dari cerobong kapal yang berlabuh di sebalik bukit sana. Hanya bukit itu saja yang menghalang pandangan mereka daripada suasana tenang Laut Fansuri Biru.

Di belakang mereka, batang pokok yang dijadikan tempat mereka bersandar itu ditoreh dengan nama mereka berempat, sebagai tanda persahabatan. Suasana rembang petang yang sunyi itu mendamaikan.

Di kaki mereka, bersepah tanah merah. Berdekatan dengan pokok itu pula kelihatan sebuah lubang yang baru ditimbus. Di wajah masing-masing terpancar kepuasan yang datang entah dari mana.

Kehidupan yang jauh dari hiruk pikuk kota membuatkan udara yang masuk ke paru-paru dengan setiap hela nafas mereka terasa menyegarkan. Mungkin itulah kelebihan alam bumi bertuah yang dipijak mereka. Meski kehidupan mereka tidak semewah penduduk di Negeri Indah Laksana, keharmonian antara kaum yang dapat dijaga sejak dahulu membuatkan Adam berasa bertuah kerana berpeluang kembali ke tanah kelahirannya.

* * * * * * * * * *

Kilauan permata pada cincin yang digunakan oleh Hasnah menarik perhatian Adam. Dia memerhatikan ukiran pada cincin bermata satu itu beberapa ketika.

“Bu, dari mana ibu dapat cincin ini?” tanya Adam.

“Ini cincin pernikahan ibu,” balas Hasnah.

“Tapi kenapa coraknya sama dengan corak cincin Raja Puan Anis?”

“Kebetulan hampir sama agaknya. Ibu pun tidak pernah tengok cincinnya,”

“Agaknya,” desis Adam.

“Kenapa, Dam?”

“Corak cincin ini sama dengan lambang kerajaan Indah Laksana,”

“Ibu pernah ke sana. Cincin ini ibu dapat dari sanalah,”

“Agaknya ayah Adam ada di sana atau tidak?”

Hasnah hanya tersenyum hambar.

“Ibu?”

“Entahlah, Dam. Ibu pun tidak tahu. Sudahlah. Adam pergilah tidur. Esok sekolah,”

* * * * * * * * * *

Hans, Hanna dan Alex berjalan beriringan menuju ke kantin. Rasa lapar yang meluap-luap setelah seharian di sekolah membuatkan langkah mereka lebih pantas. Adam mengekori dari belakang. Ketiga-tiga teman sekelasnya itu seolah-olah lupa akan kehadirannya di situ.

"Hanna, kau bukan ada latihan bola keranjangkah petang ini?" tanya Adam. Hanna menoleh.

"Mana Adam tahu?" tanya Hanna. Adam menunjuk ke arah gelanggang bola keranjang yang mereka lalui ketika itu.

"Mereka buat latihan lebih awal. Aku datang kemudian. Kebanyakan pelajar yang ada di sana pelajar dari kelas rendah yang baru hendak mencuba-cuba saja bermain. Kau lihat itu," tunjuk Hanna. Seorang pelajar perempuan yang cuba melakukan jaringan terlanggar pelajar yang menjaga pos.

"Itu tandanya dia pemain baru. Jarang pemain bola keranjang di sekolah ini melakukan kesalahan yang terlalu amatur seperti itu,"

"Maksud Hanna?" tanya Adam.

"Adam datang tengok Hanna bermain petang ini. Pukul 5," ujar Hanna. Dia terus ke kaunter yang disediakan untuk pelajar perempuan, meninggalkan ketiga-tiga temannya. Adam menggeleng dan mengangkat bahunya, masih tidak mengerti.

"Kau layan sangat budak Hanna itu," komen Alex setelah Hanna berlalu agak jauh. Hanna menoleh ke belakang seketika membuatkan Alex kecut perut. Hans sudah duduk di salah sebuah meja, menikmati laksa yang dibelinya. Hanna duduk di sampingnya setelah membayar makanan.

"Alex, tidak mahu makankah?" tegur Adam seketika kemudian. Alex menuju ke kaunter untuk membeli makanannya. Adam berjalan bersamanya ke arah meja tempat Hanna dan Hans menjamu selera.

* * * * * * * * * *

Petang itu Adam menemani Hanna ke gelanggang bola keranjang. Alex dan Hans tidak mahu mengikut. Adam duduk sendirian di tempat duduk penonton yang disediakan di tepi gelanggang.

Ketangkasan Hanna menjaringkan gol dan membuat serangan tidak dapat dinafikan. Beberapa kali penjaga pos lawan Hanna tersasar haluan. Pergerakan gadis lincah itu tidak dapat dibaca sama sekali.

"Macam mana permainan Hanna tadi?" tanya Hanna setelah tamat sesi latihan yang pertama.

"Bagus," komen Adam. Dia sendiri kurang arif dengan permainan itu. Selama berada di istana, dia hanya bermain kejar-kejar atau sembunyi-sembunyi dengan Puteri Karmila. Kadangkala Raja Iskandar mengajaknya berlatih memanah dengan menggunakan busur dan anak panah khas yang ditempah mengikut saiz tubuh Adam. Sesekali dia diajar menunggang kuda, berlumba dengan Adi, putera Raja Ismaail.

"Adam kenapa?" tanya Hanna. Dia menepuk bahu Adam agak kuat menyebabkan Adam kembali ke dunia nyata.

"Eh, tidak ada apa-apalah," jawab Adam.

"Lepas ini kita ke kafe. Alex dan Hans sudah janji hendak datang," ujar Hanna. Dia meninggalkan Adam untuk menyambung latihannya.

* * * * * * * * * *

"Adam ke mana tadi? Puas ibu cari," ujar Hasnah apabila melihat kelibat Adam.

"Awalnya ibu balik," ujar Adam. Dia menyalami tangan ibunya. Hasnah mengucup dahi Adam.

"Pandai Raja Puan Anis mendidik anak," desisnya di dalam hati.

"Adam ke sekolah tadi, ibu. Temankan Hanna berlatih. Minggu depan ada perlawanan katanya,"

"Perlawanan apa?"

"Bola keranjang," jawab Adam pendek.

"Alex dan Hans tidak ikut sekalikah? Ibu nampak mereka di bandar tadi,"

"Tidak. Mereka kata ada kerja yang perlu diselesaikan. Lepas latihan tadi kami makan di kafe di depan sekolah,"

Hasnah mengangguk. Dia meneruskan tugasnya di dapur itu. Adam berlalu ke bilik air.

Selepas menunaikan solat Maghrib, Adam makan malam bersama ibunya.

"Ibu, banyak sangat ini," ujar Adam. Pinggan di hadapannya sudah penuh dengan nasi dan lauk air tangan Hasnah.

"Tidak banyak. Ibu tahu Adam makan macam mana," balas Hasnah. Adam menelan liur. Agaknya segala kelakuan dan kegemarannya sudah diberitahu oleh Raja Puan Anis kepada Hasnah. Kecur liur dia melihat ayam masak merah yang disediakan Hasnah petang itu.

* * * * * * * * * * *

"Adam, ajarlah Hanna cara buat unggun ini," ujar Hanna. Dia kagum melihat Adam menghidupkan unggun kecil hanya berbekalkan dua ketul batu dan beberapa helai daun kering.

"Kau hendak belajar benda ini buat apa, Hanna? Kau perempuan. Tidak sesuai kau buat kerja itu. Lebih baik kau ambil pemanggang sana. Kau lebih layak jadi ahli dapur," usik Alex. Kadangkala dia rimas dengan Hanna yang sepertinya tidak mahu menerima fitrahnya yang dilahirkan sebagai perempuan.

"Eh, suka hati akulah hendak belajar apa! Kau tahu apa? Tahunya hendak makan saja. Kaulah yang panggang ayam!" bentak Hanna.

"Sudahlah. Biar aku saja yang buat. Kalian berdua macam sudah tidak ada kerja lain. Ada sahaja yang hendak dibalahkan," ujar Hans. Dia mengambil alat pemanggang yang dibawa dan memasukkan arang yang sudah membara dari unggun api ke dalamnya. Hanna dan Alex terus bermasam muka sehingga senja menjelang.

* * * * * * * * * *

Malam yang sepi disulami dengan rengekan cengkerik dan sahutan burung hantu. Sesekali kelihatan beberapa ekor kelawar melintasi kawasan perkhemahan mereka.

“Kanda Adam,”

Panggilan itu membuatkan Adam hampir melompat.

“Puteri Karmila?”

“Bila kanda hendak pulang ke Mahligai Kayangan?”

“Tuan Puteri, tolonglah jangan pujuk Adam lagi. Adam tidak akan pulang ke sana,”

“Kanda tidak ingat kenangan kita? Dulu kanda selalu temankan dinda naik ke atas bumbung istana. Walaupun kanda mengantuk, kanda sanggup temankan dinda tengok bintang. Kalau tidak lama, sekejap pun jadilah,”
Dada Adam mula terasa sebak.

“Puteri, jangan ingatkan Adam. Kenangan itu sudah lama berlalu.”

“Bagaimana dengan kuda kita? Ila sudah lama tidak ke padang latihan. Kalau ada kanda, tentu ayahanda benarkan,”

Adam menghela nafas, berpura-pura tidak mendengar.

“Adam seorang sahaja kekanda Ila. Sekarang Ila sudah tidak ada teman. Kanda baliklah,” desak Puteri Karmila.

“Adi ada,” desis Adam.

“Kanda, marilah kita pulang,” Puteri Karmila masih tidak berputus asa.

Adam tunduk merenung bara api yang sejak tadi dikuis-kuis dengan kayu. Cahaya yang terbit dari bara itu sudah semakin malap.

“Adam,”

“Cukup Ila!” getus Adam seraya menepis tangan yang menyentuh bahunya.

“Siapa Ila?” tanya Hanna. Sekali lagi Adam terperanjat. Dia memandang keliling. Hanya dia dan Hanna di situ.

“Eh, Hanna rupanya,” desis Adam.

“Adam mengigaukah? Adam bercakap dengan siapa tadi?”

Adam tidak tahu hendak menjawab apa.

“Marilah pulang ke khemah. Cikgu sudah lama cari Adam. Malam ini ada aktiviti kembara. Cikgu hendak bahagikan tugas,” kata Hanna.

Adam bangkit dan mengekori langkah Hanna. Dia menoleh ke pinggir bukit tempatnya melepaskan lelah tadi. Sekali imbas, Adam ternampak seolah-olah Puteri Karmila melambaikan tangan ke arahnya. Apabila Adam menoleh sekali lagi, tempat itu kosong sepertimana dia meninggalkannya.

“Bayangan aku sahaja,” getus Adam.

Lambang Indah Laksana

2 comments: