Saturday, June 12, 2010

Haruskah - 15

Hanna membelek-belek album gambar sementara menanti Adam. Hasnah sedang duduk menghadap komputernya di bilik bacaan itu.

“Ini Adam?” tanya Hanna.

“Yang mana?”

“Bayi ini,” ujar Hanna. Dia menunjukkan gambar yang dimaksudkannya kepada Hasnah.

“Yalah. Siapa lagi kalau bukan Adam?”

“Yang di sebelahnya itu ayah Adam?”

“Ya. Ayah Adam,”

“Di mana dia sekarang?”

“Ayah Adam ke luar negeri. Saya sendiri sudah lama tidak berjumpa dia,” balas Hasnah sayu. Hanna membalas pandangan Hasnah dengan rasa kesal.

“Maaf, cik. Hanna tidak bermaksud hendak buat mak cik sedih,”

“Tidak mengapalah, Hanna. Yang penting sekarang, Adam ada dengan mak cik. Tidaklah terasa sunyi sangat. Tapi jangan sampai Adam nampak album itu,” kata Hasnah hampir-hampir berbisik. Kedengaran tapak kaki menuruni tangga di sebelah bilik bacaan itu.

Kehadiran Adam mematikan perbualan mereka. Hanna segera menyimpan album itu di tempatnya kembali.

*

Alex terpaku di muka pintu. Hans tidak mampu untuk berkata apa-apa. Adam diam seribu bahasa.

“Saya kena pergi. Kalau bukan sekarang, bila lagi masanya?”

“Patutlah Puan Linda beria-ia suruh awak datang latihan semalam. Rupanya ada juri dari sekolah sukan hendak lamar awak,” desis Hans.

“Kenapa awak tidak beritahu saya malam tadi?” tanya Adam kesal.

“Maafkan saya, Adam. Saya tidak mahu Alex dan Hans terasa hati. Kalau saya mahu beritahu kalian, mestilah saya kena beritahu semua sekali,”

“Bagaimana dengan Peperiksaan Kelas Tiga?” Giliran Alex bersuara.

“Saya tidak tahu bila saya kena pergi. Saya cuma terima tawaran itu sebab peluang macam  ini cuma datang sekali seumur hidup. Belum tentu lagi saya kena pergi sekarang. Barangkali tahun hadapan,” balas Hanna.

Adam menarik nafas lega.

Alex mengerling ke arah Adam. Senyumnya terukir terlihat tawar.

Hans tunduk merenung lantai. Beberapa bebola kertas yang bersepah dikuis-kuis dengan hujung kaki.

Hanna menggenggam surat tawaran yang diterimanya daripada Puan Linda. Kelu untuk berbicara lagi.

*

Kehadiran Adi di rumah Hanna petang itu melenyapkan kesunyian yang biasanya melanda banglo dua tingkat itu. Riak wajah Adi yang sentiasa ceria benar-benar menghiburkan hati Hanna. Ada sahaja topik yang hendak dibualkan.

“Bagaimana dengan pencarian awak? Sudah berhasil?”

“Belum lagi. Tapi saya pasti dia ada di kawasan ini,”

“Sejak bila mereka pindah ke mari?”

“Kurang lebih dua tahun yang lepas,”

Hanna diam berfikir. Gambar yang diberikan oleh Adi dahulu dikeluarkan kembali dan direnung seketika.

“Awak tidak cuba tanya kawan-kawan awak?” tanya Adi.

Hanna terkedu.

“Kenapalah saya tidak terfikir?” desisnya.

“Mungkin awak sibuk. Maaflah. Saya menyusahkan awak saja dengan tugas saya,”

“Tidaklah, Adi. Bukannya susah pun. Saya sendiri pun tidak teringat tentang ini,” balas Hanna.

Adi bangkit dari buaian yang didudukinya.

“Saya kena pulang sekarang,” ujarnya.

Hanna menghantar Adi sehingga ke pintu pagar.

“Seminggu lagi di rumah saya ada buat jamuan. Awak datanglah. Manalah tahu awak jumpa dia hari itu,”

“Jamuan apa?”

“Ulangtahun perkahwinan ayah dan ibu saya,” balas Hanna.

“Tengoklah nanti,” balas Adi. Dia menghilang di balik pintu kereta.

*

Adam memerhati Hanna dari tempat duduk penonton yang disediakan di tepi gelanggang. Hans dan Alex asyik dengan tugas mereka masing-masing. Beberapa orang pelajar meninggalkan tempat itu apabila terasa sengatan sinar mentari. Akhirnya hanya tinggal Adam seorang sahaja yang masih di situ.

“Adam, awak buat apa?” tegur Alex.

Adam tidak membalas.

“Saya tahu. Awak sedang perhatikan Hanna, bukan?”

Adam sekadar membalas dengan senyuman.

“Sampai bila awak mahu sembunyikan perasaan awak? Awak hendak tunggu sampai dia pindah?”

Adam masih tidak membalas.

“Haruskah aku menanti cinta ini, kerna kau masih tidak mengerti hatiku..” Alex menyanyikan bait lagu itu untuk Adam.

“Diamlah, Alex,” desis Adam.

“Haruskah aku menahan perasaan? Tidak sanggup kau bermain di fikiranku..” Alex menyambung.

“Alex! Janganlah. Nanti Hans dengar,” ujar Adam separuh berbisik.

“Saya sudah tahulah, Adam,” kata Hans. Suaranya begitu dekat dengan telinga Adam.

“Hans! Terperanjat saya!”

Hans tertawa.

“Apa yang awak hendak sembunyikan dari saya, Adam? Saya rasa satu sekolah sudah tahu awak ada hati pada Hanna,”

Adam memandang wajah Hans meminta kepastian.

“Saya cakap betul, Adam,”

“Macam mana mereka boleh tahu? Awak sebarkan ceritakah, Alex?”

“Tidak adalah, Adam. Saya pun tidak tahu dari mana mereka dapat cerita ini.”

“Siapa yang tidak boleh meneka kalau tengok Adam asyik melopong bila Hanna bermain?” ujar Hans.

Adam tersipu sendiri. Dia menekup wajah dengan dua tangannya.

*

“Hans, Encik Akmal panggil awak ke bilik kaunseling. Sekarang,” ujar Hanna. Dia terus duduk di tempatnya.

Hans tergesa-gesa meminta izin untuk keluar daripada guru yang mengajar.

“Ada apa, Hanna?” tanya Adam.

“Saya tidak tahu. Macam ada benda penting saja,”

Alex terus tekun menyalin nota yang ditulis di papan di hadapan kelas.

Adam gelisah. Pen di tangannya sudah dilepaskan.

“Adam, jangan mengada-ada. Salinlah nota itu. Saya mahu pinjam nota awak nanti,”

Adam tersengih.

“Awak salinlah yang selebihnya. Saya sudah salin masa awak tidak ada tadi,” ujar Adam.

“Adam, tolonglah. Mana sempat saya hendak salin semua,” desak Hanna.

Dengan berat hati, Adam menurut. Fikirannya masih tertumpu pada Hans.

No comments:

Post a Comment