Friday, July 23, 2010

Haruskah - 20

“Bagaimana Tuan Puteri masuk tadi?” tanya Adam. Dia benar-benar tidak mengerti.

“Sebelum dinda jawab soalan itu, dinda rasa lebih baik kalau kita kaji semula sejarah Indah Laksana. Tentu kanda tidak baca langsung surat yang dinda kirimkan,”

“Maksud Tuan Puteri?”

“Kanda, janganlah panggil dinda begitu. Panggil Ila saja, atau dinda. Janggal rasanya,” tegur Puteri Karmila.

“Baiklah, Ila. Ceritakanlah. Memang Adam tidak baca pun,”

“Negeri Indah Laksana ditubuhkan selepas dua mahkota bersatu. Kerajaan manusia di negeri itu bersepakat dengan kerajaan bunian untuk sama-sama meneraju alam. Tujuannya supaya tidak berlaku lagi pertelingkahan antara rakyat kedua-dua kerajaan,”

“Apa kaitannya dengan cara Ila masuk?”

“Ayahanda berkahwin dua kali,” ujar Puteri Karmila. Adam cuba menyampuk tetapi dihalang oleh Hasnah.

“Isteri pertama ayah adalah ibu kanda. Pernikahan ayahanda dengan ibu membuatkan seisi istana bergolak. Sebabnya, ibu tidak ada darah diraja. Ayahanda pula Putera Mahkota. Lebih-lebih lagi ibu bukan rakyat Indah Laksana. Ibu tidak lagi dibenarkan masuk ke kawasan Indah Laksana. Ayahanda juga tidak dibenarkan melawat Mahkota Peribumi walaupun untuk tugas rasmi. Sebab itulah kita tidak pernah dibawa ke mari,”

Puteri Karmila berhenti seketika. Adam menanti penuh resah.

“Kanda dibawa masuk ke istana oleh bonda. Kononnya, bonda terjumpa kanda di sungai yang mengalir di taman terlarang,” sambung Puteri Karmila.

“Berdekatan kolam tempat Ila terjatuh dahulu,” desis Adam. Dia tertawa kecil mengenangkan betapa bengisnya Puteri Karmila ketika itu.

“Kanda jahat!” gerutu Puteri Karmila.

“Teruskanlah. Adam mahu dengar kisah Indah Laksana sampai selesai,”

“Ayahanda bernikah dengan bonda beberapa bulan sebelum itu untuk meleraikan pertikaian antara dua keturunan. Oleh kerana bonda bunting pelamin, jarak usia kanda dengan dinda hanya lima bulan lebih sahaja,”

“Raja Long Karim cuba menyingkirkan kanda dari istana sejak dinda dilahirkan, tapi tidak berjaya. Ayahanda sentiasa berusaha memujuk kerabat diraja yang lain supaya menerima kanda. Akhirnya kanda sendiri yang bawa diri sampai ke mari,”

“Tapi, Raja Iskandar tidak pernah melarang sewaktu Raja Puan Anis rotan Adam,” Lidah Adam masih kekok membahasakan Raja Iskandar sebagai ayahandanya dan Raja Puan Anis sebagai bonda.

“Ayahanda tidak menyangka bonda akan bertindak sebegitu. Pada fikiran ayahanda, bonda tidak terpengaruh dengan hasutan Raja Long Karim. Ternyata kata-kata Raja Long Karim kuat melekat dalam fikiran bonda. Lagi pula, hanya sekali ayahanda ternampak bonda pukul kanda. Sewaktu kita pulang dari padang latihan itu,”

“Sekarang ayahanda memanggil kanda pulang. Kerajaan Indah Laksana tidak ada pewaris, selain kanda,”

“Bukankah Ila Puteri Mahkota?”

“Dari mana kanda dapat tahu?”

“Entahlah. Mungkin secara semulajadi,”

“Soalan kanda sudah terjawab atau belum?”

“Belum. Kecuali..”

“Kecuali apa, kanda?”

“Ila dari keturunan bunian,”

“Benar. Bonda puteri tunggal kerajaan bunian.”

“Jadi apa yang Adam alami sewaktu Kem Kepimpinan itu benar belaka?”

“Lemah semangat betullah kanda. Ila bukannya buat apa-apa pun,”

“Malang betul Adam dapat adik macam Ila,” gerutu Adam.

“Ila minta maaf. Ila tidak tahu pun kanda boleh sampai pengsan. Ila pun kebetulan sahaja lalu di situ dan ternampak kanda duduk termenung seorang diri,”

Puteri Karmila tertawa kecil.

Adam melepaskan keluhan.

“Tapi bukankah Adi boleh diangkat menjadi ketua kerajaan Indah Laksana? Buat apa kalian bersusah payah mencari Adam di sini?”

“Sebenarnya seisi istana mahu kanda pulang ke Mahligai Kayangan. Lebih-lebih lagi ayahanda. Ayahanda sampai gering rindukan kekanda. Hanya Raja Long Karim yang menghalang. Raja Long Karim sudah mangkat tahun lepas. Kanda akan ikut dinda pulang, bukan?”

“Bagaimana dengan ibu?”
_______________________________________________________

Adakah Adam akan pulang ke Indah Laksana?

No comments:

Post a Comment