Monday, May 31, 2010

Haruskah - 14

Hanna mengesat-ngesat matanya dengan kekura tangan. Jam loceng yang baru saja dimatikan dilempar ke dalam laci meja sisi katil. Dia merenung ke arah kalendar yang dilekatkan di pintu almari. Bulatan besar berwarna merah menghiasi salah satu tarikh yang tertera.

“Esok hari ulangtahun Alex. Kena ingatkan Adam dan Hans. Manalah tahu kalau dia sudah habis merajuk. Kalau belum pun, inilah masanya hendak memujuk,” desis Hanna sendirian. Dia segera bersiap untuk ke sekolah.

“Hanna, tidak sarapan dulukah?” tegur Nadia. Hanna melihat ayahnya sedang menikmati sarapan pagi yang dibuat oleh ibunya.

“Macam sedap saja. Ibu yang memasak?” tanya Hanna.

“Kalau sudah tahu sedap, makanlah. Bukannya selalu kita bersarapan bersama. Kebetulan pagi ini ibu tidak ada janji temu dengan klien. Ayah pun tidak ada kerja luar,”

Hanna membatalkan hasratnya untuk terus ke sekolah. Dia meletakkan beg di atas sofa di ruang tamu dan duduk berhadapan dengan ayahnya.

“Tergesa-gesa saja ayah tengok tadi. Hendak ke mana? Bukankah masih awal lagi?”

“Hendak ke mana pun, yah? Ke sekolahlah,”

“Nanti ayah hantarkan,” ujar Azim apabila melihat Hanna asyik merenung ke arah jam. Hanna tersipu-sipu tatkala menyedari dirinya diperhatikan.

*

Alex melangkah masuk ke kawasan sekolah tanpa menoleh ke tempat Hanna selalu menanti apabila diarahkan bertugas di pintu pagar utama. Dia terus menuju ke tempat letak basikal. Entah mengapa, pagi itu sekolahnya kelihatan lengang daripada pelajar berpakaian seragam pengawas.

“Ah, mereka pakai baju biasa agaknya. Macamlah aku sendiri rajin sangat pakai seragam pengawas,” desis Alex.

Langkahnya diatur menuju ke kelas. Tempat duduk Adam kosong. Alex menoleh ke meja Hans dan Hanna pula. Beg mereka berdua juga tidak ada di tempat masing-masing seperti kebiasaannya.

“Di bilik pengawas agaknya,” bisik Alex. Dia meletakkan begnya dan terus meninggalkan kelas. Apabila tiba di bilik gerakan pengawas, Alex mendapati pintunya berkunci. Dia membelek-belek buku tugasan pengawas yang diletakkan di atas meja di luar bilik itu.

“Hanna saja yang bertugas hari ini. Ke mana pula perginya budak berdua itu? Pintu ini pun siap diletakkan kunci tambahan lagi,”

*

Adam dan Hans langsung tidak kelihatan di sepanjang sesi pembelajaran sebelah pagi. Hanna pula sekejap-sekejap keluar dari kelas. Tidak sempat Alex hendak bertanya apa-apa.

Alex segera mengemaskan buku-bukunya apabila loceng berbunyi menandakan waktu rehat sudah tiba. Hanna tidak membuang masa. Sebaik sahaja loceng berbunyi, dia terus meninggalkan kelas melalui pintu belakang tanpa menanti guru mereka keluar terlebih dahulu seperti selalu.

“Apa kena pula dengan dia hari ini?” desis Alex. Dia melangkah perlahan-lahan ke arah kantin.

Kelibat beberapa orang pelajar yang bercakap dengan suara kasar di tepi kantin membantutkan niat Alex untuk membeli makanan. Dia mendekati pelajar-pelajar itu.

“Ikut saya ke bilik pengawas sekarang,” arah Alex kepada mereka. Pelajar-pelajar itu menurut tanpa bantahan. Beberapa orang malah sempat mengiringkan senyuman antara satu sama lain dan mengangguk-angguk. Alex menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

*

“Ada apa, Alex?” tanya Hanna apabila melihat Alex berdiri di hadapan pintu bilik gerakan pengawas.

“Pelajar bergaduh di kantin. Tidak adakah pengawas yang bertugas?” tanya Alex setelah memastikan pelajar-pelajar yang ditangkap di kantin tadi masuk ke bilik gerakan.

“Saya tidak tahu pula. Eh, masuklah! Takkan awak mahu berdiri di luar saja?”

Alex memasuki bilik gerakan. Hanna menutup pintu di belakangnya.

“Adam! Hans! Kalian berdua tidak masuk ke kelas tadi. Saya ingatkan kalian tidak datang,” ujar Alex tatkala melihat kelibat dua orang temannya itu.

“Ke mari awak,” ajak Adam. Dia menarik tangan Alex dan membawanya ke bilik Ketua Pengawas. Adam menyuruh Alex masuk mendahuluinya.

Alex terpaku di depan pintu.

“Pandai kalian kenakan saya! Siapa yang punya kerja?” sergah Alex. Dia memandang keliling. Hampir kesemua pengawas ada di bilik itu termasuklah pelajar yang dilihatnya seperti sedang bergaduh di kantin tadi. Baru dia terperasan lencana pengawas yang mereka sembunyikan di dalam poket baju. Rupanya mereka berpakat membawanya ke situ.

Geram benar Alex. Habis pakaiannya berkilau-kilau kerana ditimpa oleh kotak berisi serbuk kilat yang sengaja diletakkan di atas pintu. Adam menunjuk ke arah Hanna. Hanna pula menunjuk ke arah Hans. Hans mengangkat bahu tanda tidak tahu.

“Hanna!” Suara Alex bergema di seluruh bilik itu. Bingit tempat itu dibuatnya. Mujurlah bilik gerakan pengawas terletak di bangunan yang berasingan daripada bangunan kelas.
Puan Asma yang menjadi penasihat Badan Pengawas Sekolah pada tahun itu hanya memerhati sambil tersenyum.

“Hadiah untuk awak. Pemenang Pertandingan Merajuk Paling Lama,” ujar Hanna sambil cuba melarikan diri daripada terus dikejar olah Alex. Pengawas yang lain tertawa geli hati melihat kelakuan mereka.

“Jangan lupa kemas nanti. Saya hendak pergi mesyuarat sekarang. Pastikan pengawas bertugas mengawal keadaan kelas,” pesan Puan Asma kepada Adam sebelum meninggalkan mereka.

“Patutlah sekejap-sekejap keluar kelas. Rupanya ada pakatan kenakan saya.” gerutu Alex.

“Awak masih marahkan kami lagi?” tanya Hans. Alex tersenyum. Dia mendekati Hans dan menyapukan serbuk kilat yang masih berbaki di tangannya ke wajah Hans. Adam segera menjauhkan diri.

*

Hans kelihatan sibuk dengan dunianya sendiri. Komputer ribanya menjadi teman setia yang sentiasa di sisi. Pernah juga Adam bertanya tentang apa yang dilakukan dengan komputer itu, tetapi Hans sekadar menjawab dengan senyuman.

“Adam, kalau awak ada terjumpa apa-apa pertandingan menulis, beritahu saya.” ujar Hans.

“Rajinnya awak hendak ikut pertandingan itu. Kalau saya, malas benar hendak menghabiskan satu karangan,” balas Adam.

“Itu awak. Saya tidak pandai tengok kertas dibazirkan begitu saja. Lebih baik saya gunakan untuk menulis,”

“Habis, apa yang awak buat di depan komputer itu saban waktu?”

“Saya salin semula draf karangan itu. Tidaklah hilang,” balas Hans.

Adam mengakui kemahiran Hans dalam aspek bahasa amat tinggi berbanding keupayaannya sendiri. Mungkin kerana pengaruh didikan istana yang tidak begitu mendedahkan Adam kepada bahasa luar. Setakat ucapan selamat, bolehlah dituturkannya dalam bahasa asing.

“Apa yang awak buat dengan hasil tulisan awak itu nanti?”

“Itulah sebabnya saya minta awak beritahu saya bila ada pertandingan. Bolehlah saya ikut serta. Sebahagiannya saya dah hantar kepada penerbit majalah. Ada juga duit sikit bila mereka bayar honorarium,” ujar Hans.

Adam mengangguk tanda faham.

*

“Hanna, saya mahu awak datang latihan petang ini,” ujar Puan Linda.

“Tapi puan, bukankah petang ini ada sesi latihan untuk pelajar kelas rendah?”

“Ya. Saya mahu awak buat demonstrasi cara permainan profesional pada mereka,”

“Saya bukannya pandai sangat, puan.”

“Jangan lupa bawa pasukan awak sekali,” kata Puan Linda tanpa mengendahkan alasan-alasan yang cuba diberikan oleh Hanna.

Hanna hanya mampu mengangguk. Apabila kelibat Puan Linda hilang dari pandangan, Hanna segera mendapatkan sahabat-sahabatnya.

“Apa yang Puan Linda beritahu?” tanya Adam.

“Dia mahu saya datang latihan petang nanti,”

“Kalau begitu, awak pergilah.”

“Tapi bagaimana dengan kerja rumah saya? Kalau kalian siapkan petang ini, siapa pula hendak bantu saya?”

“Tidak mengapa. Nanti saya ajar awak,” Alex menawarkan diri.

“Tidak mahulah saya. Nanti asyik bergaduh saja.Ada latihan Ilmu hisab lagi. Nanti saya terpaksa siapkan sendiri juga,” balas Hanna.

“Biar saya yang ajar awak. Awak boleh datang ke rumah saya malam ini?” kata Adam.

“Boleh. Tapi mungkin saya akan terlewat sedikit. Saya terlupa hendak tanya latihan itu habis pukul berapa.”

Alex bingkas bangun meninggalkan teman-temannya.

Adam mengejarnya dari belakang.

“Alex, awak hendak ke mana?”

“Bilik gerakan,” balas Alex tenang.

“Awak marahkah?”

Alex tersenyum hambar.

“Buat apa saya hendak marah. Kalian semua sahabat saya,”

“Baguslah. Saya risau jadi macam hari itu. Penat kami cari jalan pujuk awak. Kuat merajuk juga awak rupanya,”

Alex tertawa.

“Adam, saya bukan perempuanlah. Mana ada masa saya hendak merajuk lama-lama. Buang karan saja. Awak tidak mahu balik ke kelaskah?”

“Awak?”

“Saya ada kerja. Saya baru teringat hendak buat. Sekejap lagi saya masuklah,” Alex cuba meyakinkan.

*

Adam menanti Alex di pintu masuk kafe. Hans sudah di dalam, menyiapkan karangan yang hendak dihantarnya kepada sidang redaksi majalah sekolah. Terik mentari meresahkan Adam.

“Maaf, saya terlambat.” ujar Alex sambil memegang bahu kiri Adam. Sebahagian berat tubuhnya ditumpukan di situ.

“Tidak mengapa. Asalkan awak datang, sudah cukup bagi saya,”

“Hans mana?”

“Di dalam sana. Panas katanya di luar. Lagi pula, talian hayatnya ada di dalam sana,” kata Adam sambil tertawa kecil.

“Hanna?”

“Dia ada latihan petang ini. Awak lupa?”

“Betul juga,”

Alex mengekori langkah Adam ke arah Hans yang masih khusyuk dengan tugasnya.

“Sudah siap?” Adam bertanya.

“Sikit lagi. Nanti saya siapkan di rumah sajalah,” balas Hans. Dia segera menyimpan komputer ribanya ke dalam beg dan mengeluarkan buku rampaian.

“Awak pesan air sampai empat buat apa, Adam?” tanya Alex.

“Nanti saya hantarkan pada Hanna. Saya sudah berjanji temankan dia pulang petang ini. Takut berjalan sendirian katanya,” ujar Adam. Dia meletakkan gelas yang lebih di atas kerusi kayu yang disandarkan di dinding.
_______________________________________

Novel ini masih terus diupdate sedikit demi sedikit sebelum dipindahkan ke blog baru. Jadi, teruskan membaca, ya? Oh ya. Ada novel baru bersama partner blog nis. Di sini. Kalau sudi lawatlah, ya? Kepada follower, jangan bimbang. Kalau masih mahu terus follow blog ini, anda tidak akan rugi apa-apa. Kalau tidak pun anda tidak akan rugi apa-apa. Mohon maaf kerana terlambat update. Kebelakangan ini banyak hal yang tidak dapat dielakkan.

2 comments:

  1. hmm, sbb ape nk mskkn dlm blog br lak??
    apsal x letak kt cni jer??

    ReplyDelete
  2. ada je kat sini. takkan buang punya. tapi ada colaborate dengan sorang lagi blogger buat blog novel. so sikit2 pindahkan ke sana. dia masukkan satu episod, nis masukkan satu. blog ni takkan delete. don't worry la..

    ReplyDelete