Friday, December 31, 2010

Haruskah - 27

“Benarkah apa yang anakanda lihat?” tanya Raja Ismaail.

“Benar, ayahanda. Tidak mungkin anakanda tersilap. Setahu anakanda, mana ada kapal dagang yang memohon masuk ke pelabuhan minggu ini. Anakanda sudah periksa maklumat yang ada pada syahbandar awal pagi tadi. Lagipun, angin agak kencang juga kebelakangan ini. Perairan kita berbatu-batu dan berbahaya untuk kapal dagang. Mustahil ada kapal yang lalu di kawasan ini, melainkan mereka memang berhajat untuk masuk ke sini,” Putera Hadi memberitahu.

“Kalau begitu, malam ini anakanda ke sana lagi. Perhatikan apa yang dilakukan anak-anak kapal itu,”

“Ayahanda tidak mahu persiapkan tentera kita di pelabuhan?”

“Mungkin belum perlu. Anakanda pergilah berdua dengan Adam,”

“Ila mahu ikut,” bantah Puteri Karmila yang sedari tadi mendiamkan diri.

“Bahaya, Ila. Kita tidak tahu apa yang bakal berlaku,” kata Raja Ismaail.

“Tapi, Ila sudah belajar cara mempertahankan diri. Bukannya Ila pergi dengan tangan kosong,” desak Puteri Karmila.

“Ila perlu minta izin daripada bonda dahulu. Pastikan bonda kalian masing-masing tahu kalian ke mana malam ini, dan apa yang kalian lakukan,” putus Raja Ismaail. Putera Adam, Puteri Karmila dan Putera Hadi berpandangan seketika.

“Bagaimana dengan ayahanda? Bonda selalu di peraduan bersama ayahanda. Ila tidak mahu ayahanda semakin tenat jika terdengar berita ini. Bukankah sejak dahulu lagi ayahanda bimbangkan penceroboh perairan?”

“Gunakan akal fikiran kalian. Apa gunanya kalian dilatih dengan pelbagai jenis kaedah komunikasi sejak kecil? Adam pasti punya lebih banyak pengalaman. Inilah masanya membuktikan kemampuan kalian. Kalau setakat benda remeh pun tidak dapat dibuat, janganlah mengharapkan tugas-tugas di luar kemampuan kalian,”

Raja Ismaail meninggalkan mereka bertiga di balai pertemuan itu.

“Sekarang bagaimana?” tanya Putera Adam.

“Alang-alang sudah tahu, kita redah sahajalah,” balas Putera Hadi.

*

“Inang, bolehkah inang tolong panggilkan bonda keluar sebentar?” pinta Puteri Karmila kepada Laila yang secara kebetulan lalu di hadapan kamar peraduan Raja Iskandar.

“Ada apa, Tuanku? Tuanku Permaisuri sedang tidak mahu diganggu.” balas Laila.

“Beta perlu dapatkan kebenaran bonda untuk membawa Puteri Karmila keluar malam ini,” Putera Adam memberitahu.

“Bukankah ayahanda Tuanku sudah memberi kebenaran?”

“Untuk malam ini saja, kami perlukan kebenaran bonda. Tolonglah, inang,” desak Puteri Karmila.

“Biar patik cuba. Sebentar, ya?”

Laila masuk ke kamar peraduan Raja Iskandar. Seketika kemudian, dia kembali bersama Raja Puan Anis.

“Ada apa, Ila?”

“Bonda, ayahanda mahu bonda sendiri bertemu dengannya, baru Ila dibenarkan keluar malam ini,” kata Putera Hadi.

“Kenapa pula? Bukankah sebelum ini kalian sudah selalu keluar malam?”

“Ada kapal yang memasuki pelabuhan tanpa permit. Kami hendak mengintip malam ini, sebab itulah Ila tidak dibenarkan keluar melainkan dengan kebenaran bonda,” Putera Adam menjelaskan.

“Kalau begitu, Ila pergilah. Nanti bonda khabarkan,”

“Terima kasih, bonda,” ujar Puteri Karmila.

“Sekarang kita perlu cari ibu kanda pula,” kata Putera Hadi.

“Kalau ibu, senang sahaja memujuknya,” balas Putera Adam.

No comments:

Post a Comment