Friday, January 7, 2011

Haruskah - 28

Keadaan di pelabuhan pada malam itu sunyi sepi. Hanya bot-bot nelayan sahaja yang kelihatan mula bergerak ke tengah lautan. Putera Adam dan Puteri Karmila berjalan berdua menyusuri pinggir hutan tempat Putera Hadi melihat kapal itu. Seketika kemudian, Putera Hadi kembali membawa berita.

“Sudah tidak jauh, kanda. Mereka menyembunyikan kapal itu berdekatan gua batu di kawasan tebing tinggi sana,”

“Nampak sangat kecurangan yang mereka lakukan. Mari, Ila. Kita perlu ke sana sekarang juga,” ajak Putera Adam.

“Alahai, kanda! Kanda sudah lupakah adinda dari keturunan bunian? Sekarang kanda pejamkan mata. Biar dinda yang bawa kanda ke sana,” arah Puteri Karmila. Putera Adam menurut. Tidak lama selepas itu, Putera Adam merasakan kakinya sudah menjejak tanah kembali.

“Kanda Adam, Adi rasa Adi kenal mereka berdua,” kata Putera Hadi seraya menunjukkan dua orang lelaki yang dimaksudkannya.

“Adam pun rasa seperti pernah melihat mereka.”

“Siapa, kanda?” tanya Puteri Karmila.

“Kalau tidak silap, itu Hisyam. Yang seorang lagi Andika namanya. Yang lain Adi tidak kenal,”

“Bukankah mereka berdua sudah ditahan oleh pihak berkuasa Mahkota Peribumi?” kata Putera Adam.

“Benar. Adi sendiri yang memerangkap mereka. Hanna hampir-hampir dikerjakan makhluk perosak ini ketika Adi ke balai polis. Mujur Hanna sempat bertindak sendiri sewaktu Adi berlawan dengan mereka kemudiannya. Kalau tidak, tidak tahulah apa nasib kami,”

“Patutlah Hanna tahu berita penangkapan mereka disiarkan di akhbar. Tetapi di mana yang seorang lagi? Seingat Adam mereka bertiga,”

“Benar kata kau. Aku di sini!” sergah Haris. Puteri Karmila yang terperanjat segera berlindung di belakang kekandanya. Putera Hadi pula beralih membelakangi Putera Adam untuk memastikan Puteri Karmila tidak dapat disentuh oleh Haris.

“Haris!” desis Putera Hadi.

“Kau fikir aku bodoh? Mudah saja memboloskan diri dari penjara Mahkota Peribumi. Ada duit, semua jadi!” Haris memberitahu dengan nada bangga.

“Dasar makhluk perosak! Apa lagi yang cuba awak seludup kali ini? Ganja? Syabu? Atau heroin?”

“Ah, tidak perlulah kau tahu! Lebih baik kalian ucapkan selamat tinggal kepada sesama sendiri. Malam ini akan menjadi malam terakhir kalian di dunia!”

“Ila, pulang sekarang. Khabarkan kepada ayahanda kanda tentang mereka,” bisik Putera Hadi kepada Puteri Karmila.

“Bagaimana dengan kanda berdua?”

“Kami cuba lengahkan mereka. Pulang sekarang, Ila!” desak Putera Adam.

“Tapi, kanda Adam..”

“Sekarang, Ila! Mereka hanya manusia biasa seperti kanda. Tidak ada apa-apa yang perlu Ila bimbangkan,” Putera Adam cuba meyakinkan. Dia dan Putera Hadi membuka ruang untuk Puteri Karmila beredar. Haris pula seolah-olah terpaku apabila melihat Puteri Karmila menghilang dengan begitu pantas. Tetapi telinganya sempat mendengar setiap butir kata yang dituturkan tiga bersaudara itu.

“Rupa-rupanya kau anak raja. Nampaknya hancurlah harapan ayahanda kau hendak melihat puteranya memegang tampuk kerajaan, Putera Adi. Kau, apa pula kaitan kau dengan putera malang ini, Adam? Putera Mahkota? Ah, tidak mungkin Putera Mahkota. Kalau tidak, takkanlah kau tercampak jauh ke Mahkota Peribumi,” Haris membebel sendirian.

Putera Adam dan Putera Hadi berpandangan seketika. Mereka berkomunikasi dalam diam.

Haris memberi isyarat kepada orang bawahannya supaya mendekat.

Putera Adam dan Putera Hadi mengemaskan kedudukan.

“Kanda masih ingat lagikah apa yang kita pelajari dahulu?” tanya Putera Hadi separuh berbisik. Haris dan konco-konconya sudah semakin hampir dan membentuk satu bulatan mengelilingi mereka berdua.

“Entahlah. Kita tunggu dan lihat sajalah,”

“Kanda bertahan saja. Biar Adi yang serang mereka,”

*

“Ila! Di mana Adi dan Adam?” tanya Raja Ismaail. Raja Puan Anis segera mendekati puterinya.

“Kami diserang. Kanda Adam dan kanda Adi masih di pelabuhan. Ila pulang sendirian. Mereka mahukan bantuan,”

“Jangan risau, Ila. Tentera kita dalam perjalanan ke sana. Ila tidak perasankah?”

“Tapi mereka bukan benar-benar di pelabuhan,” Puteri Karmila memberitahu.

“Tidak mengapa. Kita ke sana sekarang. Ila tunjukkan jalannya. Bonda sudah arahkan pengawal keluarkan kuda Ila dari bangsal selepas kalian keluar tadi, kalau-kalau terjadi hal seperti ini,”

Raja Puan Anis menunjukkan tiga ekor kuda yang diletakkan di halaman istana.

 “Yang satu lagi kuda siapa?”

“Bonda mahu ke sana,”

Puteri Karmila segera memeluk bondanya. Kebimbangan terpancar di wajahnya.

“Ayahanda bagaimana, bonda?”

“Ayahanda sedang beradu. Tidak ada apa-apa yang perlu dibimbangkan. Seluruh anggota tentera kita sudah dikerahkan berkawal di segenap sudut negeri malam ini. Hanya satu pasukan sahaja yang dihantar ke pelabuhan. Ayuh! Kita tidak ada masa untuk dibazirkan,” ajak Raja Puan Anis yang sudah melangkah ke arah kuda kesayangan Putera Adam.

Puteri Karmila menuruti langkah bondanya diikuti Raja Ismaail. Sempat dia mengerling ke arah jendela kamar peraduan Raja Iskandar yang terbuka luas. Puteri Karmila mengesat air mata yang hampir mengalir di pipinya sebelum mendahului Raja Puan Anis dan Raja Ismaail ke tempat yang dimaksudkan.

*

Raja Iskandar terjaga oleh esakan yang didengarnya. Sekilas baginda memandang wajah wanita yang duduk berteleku di sisinya.

“Dinda Hasnah,” desis Raja Iskandar. Terperanjat baginda melihat Hasnah yang menemaninya malam itu.

“Ada apa, kanda?”

“Sejak bila dinda di sini?”

“Baru sebentar,”

“Anis di mana?”

“Ada urusan di luar,” balas Hasnah.

Raja Iskandar merenung wajah Hasnah sehingga isterinya tertunduk. Tangan kanannya mengelus lembut telapak tangan Hasnah.

“Dinda akan tinggal di sini?”

“Mungkin tidak. Dinda perlu pulang. Syarikat dinda tidak ada yang akan menguruskan,”

“Dinda tidak rindukan kanda? Lima belas tahun kanda menderita rindukan dinda,” Nada suara Raja Iskandar penuh mengharap.

Hasnah diam membisu. Wajahnya dilarikan daripada pandangan Raja Iskandar.

“Usahlah disembunyikan wajah itu daripada kanda. Dari riak mata dinda saja sudah dapat kanda baca kerinduan itu,” kata Raja Iskandar.

“Kanda sudah ada Anis,”

“Kita masih ada hubungan suami isteri, dan di hati kanda dinda masih yang pertama,”

“Susah dinda hendak jelaskan kepada kanda,”

“Apa lagi yang hendak dijelaskan? Kita masih sama-sama mencintai. Jangan dinafikan, melainkan dinda sudah lupa kisah Nabi Adam dan Hawa ketika ditemukan semula di padang Arafah. Sejak zaman itu lagi manusia sudah tahu perasaan malu seorang wanita itu boleh mengatasi cinta. Kalau tidak, takkanlah dinda menangis sendirian di sini,”

Akhirnya Hasnah mengalah. Mudah saja air mata yang ditahan sejak sekian lama gugur membasahi pipi, menambahkan lagi titis jernih yang sejak tadi tidak henti-henti mengalir ke atas cadar. Dia membiarkan Raja Iskandar menyeka air matanya.

“Ke mana Anis sebenarnya? Kanda terasa seperti istana ini sunyi sekali malam ini,” ujar Raja Iskandar. Wajah Hasnah ditenungnya dalam-dalam mencari kejujuran.

Hasnah mencari kekuatan untuk memberitahu perkara sebenarnya kepada Raja Iskandar yang masih lemah.

No comments:

Post a Comment