Friday, February 11, 2011

Haruskah - 33

Degup jantung Putera Adam kian kencang. Fikirannya sudah berserabut dengan pelbagai soalan yang tidak terjawab. Dia menurut sahaja arahan yang diberikan oleh Raja Puan Anis dan Hasnah sejak selesai bersantap.

“Upacara apa yang penting sangat petang ini, bonda?” tanya Putera Adam.

“Upacara yang telah tertangguh selama empat tahun. Upacara pertabalan Adam sebagai Putera Mahkota,” Raja Puan Anis menjelaskan. Jawapan yang dinanti-nanti telah diperolehi, tetapi itu tidak membantu menguraikan kekusutan yang dialami oleh Putera Adam. Mindanya malah kian celaru.

“Jadi selama ini Ila bukan Puteri Mahkotakah?”

“Ila Puteri Mahkota. Sekaligus mengangkat Adi sebagai pemangkunya. Mereka ditunangkan pada hari yang sama, seperti yang telah termaktub di dalam perlembagaan negeri,”

“Bertunang? Ila dan Adi bertunang?”

“Ya. Ila dinamakan sebagai pewaris takhta kerana mengikut sistem giliran. Syarat untuk pertabalannya adalah dengan menamakan calon pengganti raja dari kalangan kerabat terdekat. Ternyata hanya Adi yang layak bergandingan dengan Ila. Sepupu kalian yang lain sama ada sudah dewasa, ataupun terlalu muda. Tetapi upacara pertabalan mereka hanya dijalankan di hadapan kerabat diraja sahaja, ”

“Adakah ini bermakna Adam perlu berhadapan dengan seluruh rakyat jelata?”

“Ya,” balas Raja Puan Anis ringkas.

“Ibu...” rengek Putera Adam.

“Cukup, Adam. Kita tidak banyak masa seperti pagi tadi. Jangan jadi budak kecil. Adam sudah 16 tahun,” kata Hasnah.

Putera Adam mengerling ke arah kalendar yang tergantung di dinding.

“Ibu, Adam terlupa tarikh lahir Adam sendiri. Adam betul-betul lupa,” getus Putera Adam kesal.

“Sekarang Adam sudah ingat balik. Ayuhlah. Kita ke balai penghadapan sekarang,”

Hasnah menarik lengan Putera Adam ke arah pintu.

*

Debaran di dada Putera Adam tidak reda meskipun majlis sudah lama berakhir. Puteri Karmila dan Putera Abdul Hadi yang mengajaknya berbicara tidak diendahkan langsung. Wajahnya sugul sahaja.

“Kanda, apa yang dimenungkan?” tanya Putera Hadi.

Putera Adam tidak membalas. Soalan itu sudah berkali-kali diulang oleh Putera Hadi dan Puteri Karmila. Berkali-kali juga Putera Adam membalas dengan gelengan. Terlalu banyak yang difikirkannya.

“Janganlah asyik bermenung sahaja. Kasihan ayahanda. Sejak tadi ayahanda tidak lepas-lepas memandang kanda, tapi kanda buat tidak endah sahaja,” tegur Puteri Karmila.

“Ila, kanda mahu bertanya satu soalan,”

“Tanyalah,”

“Apa yang Ila rasa masa mula-mula ditabalkan menjadi Puteri Mahkota?”

“Kenapa kanda tanya soalan itu kepada Ila?”

“Untuk dijawab,” balas Putera Adam. Tegas.

Puteri Karmila tertawa kecil.

“Kelakarlah kanda,”

“Jawablah pertanyaan Adam,” desak Putera Adam.

“Entahlah, kanda. Perasaan Ila bercampur-baur. Teruja ada, takut pun ada. Yalah. Mana pernah seorang puteri dari kerajaan Indah Laksana yang diberi amanah seperti Ila. Tapi, Ila juga rasa sedih. Terlalu sedih,”

“Kenapa sedih?” tanya Putera Adam.

“Sebab kanda tidak ada. Sebab kanda mungkir janji. Kanda berjanji tidak akan tinggalkan Ila, tapi kanda pergi juga,”

“Ila, situasi pada masa itu tidak stabil,” Putera Adam cuba menenangkan adindanya yang sudah mula berkasar.

“Sekarang kanda jawab soalan Ila pula,”

“Apa dia?”

“Kenapa kanda asyik termenung saja sekarang?”

“Adam..” Putera Adam kehilangan kata.

“Jawablah, kanda,”

“Adam tidak tahu sebabnya,” kata Putera Adam.

“Mustahil. Ila tahu, banyak yang kanda fikirkan. Tapi kanda tidak pernah cuba luahkan. Kalau berterusan begini, kanda akan benar-benar jadi gila,”

“Kalau Adam terpaksa pegang kerajaan selagi waras, lebih baik Adam jadi gila,” getus Putera Adam.

“Kanda, kita ditakdirkan lahir sebagai putera raja. Kita dipilih menjadi pemimpin sejak azali lagi. Jangan mendoakan yang bukan-bukan kepada diri sendiri. Nanti kalau benar-benar terjadi, kanda akan menyesal,” tegur Putera Hadi.

Putera Adam tunduk merenung lantai. Nafas dihela dalam-dalam dengan harapan meleraikan sedikit rasa sesak di dadanya.

“Adi, ada satu kemusykilan kanda yang belum terjawab lagi,”

“Cakaplah,”

“Mana ayahanda Adi?”

Putera Hadi teragak-agak menjawab.

No comments:

Post a Comment