Tuesday, March 30, 2010

Haruskah - 9

Adam menyerahkan bungkusan kecil yang dibawanya kepada Hans.

“Yang inikah?” tanya Alex.

“Yalah. Aku sudah periksa beberapa kali. Tidak mungkin tersalah.” jawab Adam.

“Tunggu apa lagi, Hans? Pergilah buat kerja kau sana,” arah Alex.

Hans segera mendekati pondok pengawal bersama-sama Hanna. Sementara Hanna berbual-bual dengan pengawal yang memakai tag nama Kasim itu, Hans memasukkan serbuk putih dari bungkusan yang diberikan oleh Adam ke dalam botol air minuman Pak Kasim.

Hanna hanya meninggalkan pondok pengawal itu setelah dilihatnya Hans berjalan ke arah teman-temannya seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.

“Sudah,” Hans memberitahu.

Alex sekadar mengangguk. Hanna terus mengambil begnya dan mendapatkan ayahnya yang baru tiba.

“Aku harap Hanna tidak dibenarkan keluar malam ini,” desis Alex.

“Kau tidak habis-habis mendiskriminasi.” komen Hans.

“Dia perempuan. Aku risau kalau ada apa-apa terjadi pada dia nanti, kita yang dipersalahkan.”

“Ah, cukuplah! Mari kita pulang. Nanti terlewat pula. Sekarang sudah pukul berapa? Aku belum sembahyang Asar lagi,” ujar Adam.

        *        *        *        *        *

Hanna merapati Adam yang sedang memerhati keadaan di sekitar mereka. Pos pengawal sudah agak jauh ditinggalkan. Sukar juga mereka hendak masuk tanpa dikesan sesiapa. Mujur Adam membawa paket ubat tidur milik ibunya semasa sesi kokurikulum petang itu. Hans pula dengan liciknya telah memasukkan ubat itu ke dalam bekas air Pak Kasim yang bertugas pada malam itu.

"Alex, kau sudah matikan semua kamera itu?" Adam cuba menghubungi Alex melalui alat perhubungan jarak jauh dalam genggamannya. Dia cuba tidak melihat alat itu kerana tidak mahu teringat kenangan bersama Puteri Karmila sepanjang dia tinggal di istana. Kerana kasihankan Puteri Karmila yang selalu mengadu tidak dapat tidur malam, dia meminta alat perhubungan seperti itu daripada Raja Puan Anis. Paling tidak dia dapat menemani Puteri Karmila dari kamarnya sahaja.

"Sudah. Ada masa 20 minit untuk kau buat kerja," balas Alex.
Adam dan Hans membuka penutup lorong udara yang terletak berdekatan dengan bilik guru. Mereka menanggalkan penutup itu dalam masa kurang daripada 3 minit. Hans menyusup masuk ke dalam saluran udara itu.

"Aku mahu masuk juga," ujar Hanna.

"Kau duduk sana diam-diam. Jaga-jaga kalau ada orang datang," arah Adam.

"Tidak adil. Aku hendak masuk juga!"

"Hanna. Biar aku dengan Hans yang uruskan benda ini. Bahaya kalau kau ikut sekali." pujuk Adam. Hanna menarik muka.

"Hanna, janganlah macam ini,"

"Pergilah sana!" jerkah Hanna.

Adam mengekori Hans yang sudah selesai membuka penutup lubang udara yang akan dijadikan tempat masuk ke bilik guru. Beberapa minit kemudian, Hans memasang kembali penutup itu. Adam keluar mendapatkan Hanna yang masih panas hati.

"Alex, kami sudah dapat," ujar Adam.

"Bagus. Lima minit lagi sistem itu hidup semula," balas Alex. Hans keluar dari lubang udara dan membersihkan pakaiannya daripada habuk yang menyelaputi bahagian dalam lubang udara itu.

        *        *        *        *        *

Puan Asma memasuki kelas. Semua mata tertumpu ke arahnya. Beberapa orang pelajar berlarian mengambil tempat masing-masing. Suasana sepi seketika. Tikus pun tidak berani berdecit. Hanya desiran angin menghidupkan suasana.

“ Hari ini kita adakan ujian. Sila simpan buku kamu dan jarakkan meja,” arah Puan Asma.

“Tapi cikgu, hari Jumaat baru habis ujian bulanan,” bantah seorang pelajar.

“Itu ujian bulanan. Yang ini ujian untuk unit Kaji Alam. Simpan buku kamu sekarang juga!” tegas Puan Asma.

“Puan, saya dengar ada orang ceroboh bilik guru,” ujar seorang pelajar lagi.

Hanna dan Adam bertukar jelingan. Alex menggenggam tangannya. Hans tunduk merenung lantai.

“Apa kaitannya dengan ujian hari ini?” tanya Puan Asma.

“Saya dengar ada kertas soalan Ilmu Kaji Bumi yang hilang,” balas pelajar itu.

Puan Asma merenung empat sahabat yang kelihatan gelisah di tempat duduk mereka di bahagian belakang kelas.

“Memang ada kertas soalan yang hilang. Tapi itu kertas soalan untuk pelajar kelas satu. Ada sesiapa yang hendak buat bantahan lagi?” tanya Puan Asma. Dia memandang wajah pelajar-pelajar itu satu demi satu.

Puan Asma meneruskan kata-katanya,“Kalau tidak ada apa-apa bantahan, kita mulakan ujian sekarang,”

        *        *        *        *        *

Hanna duduk di pondok menunggu bas di hadapan pagar sekolah sendirian. Beberapa kali dia melihat jam tangannya.

“Mana pula budak-budak itu?  Sudah lambat ini,” Hanna mengeluh sendiri.

Hanna membuka beg dan mengeluarkan buku catatan.

Bahunya ditepuk dari belakang.

“Alex! Kau dari mana? Adam dan Hans belum sampai lagikah?”

“Aku sudah lama sampai. Kau yang belum masuk ke kelas lagi. Hans pun sudah di dataran. Adam sahaja yang belum nampak batang hidung lagi,”

“Nampaknya nama dia akan naik di bilik disiplin lagi minggu ini,” keluh Hanna.

“Biarlah dia buat apa yang dia suka. Yang betul kita sokong. Yang salah kita tegur. Tapi kalau dia tidak mahu dengar, apa lagi yang kita boleh buat? Takkan kau nak biarkan saja dia terlepas bila buat kesalahan hanya kerana dia seorang kawan? Tapi, dia paling suka datang lambat bila tiba giliran kau bertugas, bukan?” ujar Alex.

“Aku pun tidak faham dengan perangai dia. Apa yang dia mahu buktikan? Dia pengawas, tapi paling tidak sekali seminggu mesti dia datang lambat,”

“Aku lebih tidak faham atas alasan apa dia diangkat menjadi pengawas,” balas Alex.

“Aku hendak masuk ke dalam. Ada urusan sedikit. Kau boleh gantikan tempat aku sekejap?”

“Kau hendak ke mana?” tanya Alex.

“Adalah kerja aku,” balas Hanna lalu meninggalkan Alex.

Seketika kemudian, Adam mendekati Alex.

“Alex, Hanna mana?”

“Entah. Katanya ada kerja,” jawab Alex jujur.

“Ada kerja, atau tidak mahu jumpa aku?” ujar Adam sinis.

“Manalah aku tahu kalau dia bohongkan aku. Kau dari mana?”

“Aku dari pintu pagar belakang. Hari ini aku meronda di sana. Kenapa kau tanya?”

“Hanna. Dia risau nama kau naik lagi di bilik disiplin sebab datang lambat,”

“Datang lambat itu bukankah hobi aku? Sejak hari pertama lagi aku lambat datang ke sekolah. Tapi hari ini tidak. Mungkin bukan untuk minggu ini,”

“Kenapa pula? Apa yang berlaku? Tapi baguslah kalau begitu. Lebih baik kau tinggalkan terus tabiat datang lambat itu,” ujar Alex.

Adam membisikkan sesuatu di telinga Alex. Segera dia menekup mulut Alex apabila melihat temannya itu hampir-hampir meletuskan tawa.

“Diamlah!” desis Adam.

“Kau beritahu sajalah pada dia. Bukannya susah,”

“Aku rasa belum masanya. Kau pun janganlah beritahu satu dunia pula.”

“Apa gunanya aku beritahu satu dunia? Lebih baik aku ceritakan pada Hanna,” Alex masih belum puas menyakat.

“Itu namanya mencari nahas. Kau jangan cuba cari fasal dengan aku!” Adam mengugut. Dia segera meninggalkan Alex.

        *        *        *        *        *

Adam memerhatikan notis-notis yang ditampal di hadapan bilik kaunseling. Beberapa pertandingan yang sedang berlangsung menarik perhatiannya. Namun, dia terus beredar tanpa mencatat apa-apa maklumat.

“Adam, aku nampak banyak notis di hadapan bilik kaunseling tadi. Kau ada baca, bukan? Notis apa yang ada?” tanya Alex.

“Macam-macam. Pertandingan, kursus kepimpinan, pendaftaran kelab seni mempertahankan diri, jadual peperiksaan,” balas Adam.

“Pertandingan?”

“Pertandingan rekacipta. Ada juga pertandingan menulis esei. Olimpiad ilmu hisab ada. Pertandingan teater dan pantomim juga ada,”

Hans yang mendiamkan diri sejak tadi mula memberi perhatian. Namun, suaranya masih tidak kedengaran.

“Bila tarikh tutup pertandingan rekacipta?” tanya Alex lagi.

“Sebulan dari sekarang. Kenapa?”

“Boleh kau tolong ambilkan borangnya? Aku jarang ke sana,”

“Kau mahu ikut pertandingan rekacipta?” tanya Hanna.

“Yalah.”

“Aku hairan tengok kau. Kalau bab rekacipta, cepat saja kau bertindak. Kalau belajar ilmu hisab, hancur..”

“Hanna, jangan naikkan darah aku hari ini, boleh?” tegur Alex.

“Oh. Aku minta maaf. Janganlah terasa hati,” ujar Hanna. Alex menghela nafas dalam-dalam. Panas benar hatinya mendengar komen Hanna.

No comments:

Post a Comment