Friday, March 25, 2011

Haruskah - 39

“Tuanku! Apa yang Tuanku buat di sini?” tanya Azim.

“Pak cik, jangan panggil Tuanku. Panggil saya Adam,” tegur Putera Adam.

“Tapi ada pengawal di sini. Bagaimana kalau mereka laporkan kepada Raja Iskandar?” kata Azim separuh berbisik.

“Pedulikanlah mereka. Mereka tidak akan berani beritahu ayahanda. Adam juga ada kuasa di sini. Pengawal, bawa orang ini ke bilik lawatan sekarang. Beta ada urusan mustahak,” arah Putera Adam.

Pengawal yang mengiringinya segera membuka jeriji besi yang membatasi mereka.

“Putera Hadi bawa Hanna ke mari,” Putera Adam memberitahu sebaik sahaja pintu ditutup. Dia sendiri bersandar pada pintu dan menguncinya dari dalam. Pengawal peribadinya juga disuruhnya keluar.

“Apa?”

“Puan Nadia juga ada,”

“Bagaimana mereka boleh sampai ke mari?”

“Putera Hadi jumpa mereka di lapangan terbang Mahkota Peribumi dalam perjalanan pulang ke sini. Dia yang beritahu Hanna tentang pak cik,”

Azim membisu. Tidak tahu apa yang harus diucapkan. Perasaannya bercampur. Riak wajahnya berubah-ubah. Sekejap gelisah, sekejap gembira, sekejap sedih.

“Adam mahu minta sesuatu daripada pak cik,”

Putera Adam duduk berhadapan dengan Azim.

“Apa dia?”

“Tolong jangan beritahu Hanna dulu tentang perkara yang kita bincangkan tempoh hari. Malu Adam nanti,” pinta Putera Adam.

Azim tersenyum hambar. Wajah Putera Adam diusap lembut.

*

Putera Hadi membawa Hanna dan Nadia menyusuri lorong-lorong ke bilik lawatan diraja. Di kiri kanan mereka sunyi sepi. Sesekali kedengaran suara orang merintih. Segala-galanya suram.

“Tunggu di sini, Hanna,” arah Putera Hadi. Dia mengarahkan pengawal penjara supaya membukakan pintu itu.

“Ampunkan patik, Tuanku. Ada orang lain di dalam,” kata pengawal itu.

“Siapa?”

“Tuanku Putera Mahkota,”

“Tidak mengapa. Beritahu kepada Putera Adam, beta ingin bersemuka,”

Seketika kemudian, pengawal itu keluar semula.

“Silakan masuk, Tuanku,” kata pengawal itu.

Putera Hadi menyuruh Hanna dan Nadia masuk mendahuluinya.

“Kanda! Kenapa berdiri di sini? Terkejut Adi,” getus Putera Hadi apabila melihat Putera Adam berdiri di belakang pintu.

Putera Adam menarik tangan Putera Hadi dan menutup pintu bilik itu dari luar.

“Marilah. Jangan ganggu mereka. Kita tunggu di luar saja. Nafas kanda pun sudah sesak duduk di sini lama-lama. Patutlah ramai banduan yang mengalami gangguan jiwa,” kata Putera Adam.

“Bagaimana mereka hendak keluar nanti? Mereka bukannya tahu jalan pulang,”

“Bukannya susah. Pengawal, tunggu di sini. Nanti bawakan Cik Hanna dan Puan Nadia ke kamar perjumpaan diraja. Beta tunggu di sana,” kata Putera Adam kepada pengawal peribadinya.

“Kalau ayahanda kanda tahu, tentu dia murka,” desis Putera Hadi.

“Apa yang hendak dirisaukan? Bukannya seorang pengawal tidak cukup untuk melindungi kita berdua, dan kita cuma berlegar di kawasan istana sahaja. Lagipun, kanda sudah rimas diekori ke sana ke mari. Kalaulah peristiwa tempoh hari tidak terjadi, tidaklah ayahanda buat seperti ini. Tapi kalau diserang sekarang, kanda sudah bersedia. Kanda bawa yang ini,”

Putera Adam mengeluarkan sesuatu dari balik baju luar yang dipakainya.

“Apa itu?” tanya Putera Hadi.

“Nunchaku,”

“Dari mana kanda dapat benda ini?”

Putera Adam menunjukkan ke arah pintu yang baru ditinggalkan. Putera Hadi terkelu seketika.

“Bukankah orang tahanan tidak dibenarkan membawa sebarang senjata?”

“Sudah lama dia beri. Sejak di Mahkota Peribumi lagi. Kanda baru teringat sekarang. Dialah yang ajar kanda cara menggunakannya,”

“Kalau begitu bolehlah kanda ajar Adi nanti,”

“Mungkin. Marilah. Ada sesuatu yang kanda perlu uruskan, dan kanda perlukan pertolongan Adi,”

“Ke mana kita sekarang?”

“Ayahanda,” Putera Adam menjawab sepatah.

No comments:

Post a Comment