Friday, April 1, 2011

Haruskah - 40

Putera Adam memerhatikan dirinya di dalam cermin. Berkali-kali dia cuba membuka mulut, tetapi tidak sampai seminit dia sudah mengalihkan pandangan. Nafasnya dihela lagi sedalam mungkin sebelum dilepaskan dalam keluhan yang berat.

“Cuba lagi, kanda. Kanda tidak boleh berterusan begini. Bukannya ada orang lain di sini. Hanya kita berdua sahaja,” ujar Putera Hadi.

“Tidak boleh, Adi. Adam sekarang bukan Adam yang dulu. Bukan lagi Putera Adam Qushairy yang penuh keyakinan. Semuanya berlalu sejak kanda tinggalkan Mahligai Kayangan dahulu,”

“Sebab itulah kita di sini. Kalau memandang wajah sendiri pun kanda tidak sanggup, bagaimana kanda mahu berdepan dengan orang? Tugas sebagai pemimpin adalah tanggungjawab seumur hidup. Bukannya untuk setahun dua.”

“Adi sajalah yang jadi raja,” kata Putera Adam.

“Kanda jangan hendak buat hal lagi. Seluruh negeri sudah tahu siapa yang bakal menggantikan Raja Iskandar,”

“Kanda sudah terasa seperti orang gila sahaja. Adakah patut kanda disuruh bercakap dengan cermin? Kanda minta petua untuk menghilangkan gementar, bukannya buat kerja bodoh ini,” gerutu Putera Adam.

“Kalau bercakap di hadapan cermin pun susah, bercakap di hadapan orang lagi susah. Kanda tidak tahukah kisah ayahanda kanda dahulu?”

“Apa kisahnya?”

“Dikurung di dalam bilik yang penuh dengan cermin sepanjang minggu. Sebabnya, samalah dengan kanda. Takut berhadapan dengan orang ramai, katanya. Semuanya berlaku selepas dia tertangkap di Mahota Peribumi selepas dua tahun bernikah dengan ibu kanda. Hilang keyakinan diri selepas meninggalkan istana,”

“Nampaknya Adi lebih tahu kisah keluarga kanda daripada kanda sendiri,”

“Keluarga kanda, keluargaAdi juga. Kanda tidak tahu, Adi sendiri hampir dikenakan tindakan yang sama oleh ayahanda. Mujur ayahanda kanda menghalang, dengan syarat Adi bawa kanda pulang ke Mahligai Kayangan,”

“Selepas itu, kanda pula yang kena? Begitu?”

“Ini baru sedikit, kanda. Adi sempat duduk di bilik itu dua hari berturut-turut. Bilik itu memang penuh dengan cermin sampai ke siling. Hanya bilik air sahaja yang tidak bercermin. Takkan hendak duduk di situ sepanjang hari? Boleh gila dibuatnya. Sudahlah disuruh bercakap dengan cermin, ke mana pun kita pandang sentiasa nampak muka kita. Hendak makan pun tidak senang. Memanglah Adi boleh keluar, tapi ayahanda sendiri yang mengawal bilik itu,”

Menggigil Putera Adam mendengar kisah Putera Hadi.

“Cepat, kanda. Adi kurangkan masanya. Dua minit sahaja. Sebentar lagi pasti Puan Nadia dan Hanna sampai. Nanti lagi kanda malu. Bukan Adi tidak kenal sikap kanda bagaimana. Lebih-lebih lagi di hadapan Hanna,” desak Putera Hadi.

“Esok sahajalah,” pujuk Putera Adam.

“Esok kanda jadi seperti ini lagi. Dua jam duduk di sini hanya membuang masa sahaja,”

“Satu minit,”

“Dua. Atau kanda mahu Adi naikkan jadi lima minit semula? Lima belas, mungkin?”

“Bukannya ayahanda tahu,”

“Dia tahu kalau Adi cuba berbohong. Tidak pernah sekali pun Adi dapat bohongkan ayahanda kanda. Ila juga sama,”

“Yalah. Dua minit. Tapi kanda hendak cakap apa?”

“Hmm.. Kanda tidak mahu bercerita tentang Mahkota Peribumi?” Putera Hadi memberi cadangan.

*

Seminggu di Mahligai Kayangan, Hanna berusaha untuk mengelak daripada bertemu Putera Adam. Selalunya dia hanya duduk di dalam kamar yang dikhaskan untuk dia dan Nadia. Jika keluar pun sekadar untuk bertemu Azim.

Putera Adam pula cuba sedaya upaya menemui Hanna setiap kali berkesempatan. Beberapa kali dia mengatur pertemuan dengan Azim, tetapi setiap kali itu juga Hanna tidak datang seolah-olah tahu rencananya.

“Sudahlah, kanda. Agaknya dia masih belum bersedia bertemu sesiapa,” pujuk Putera Hadi.

“Hanna bukan begini. Ini bukan Hanna,” desis Putera Adam.

“Beri dia kesempatan untuk hadapi situasi ini, kanda. Nanti pasti dia mengalah,”

“Kanda kenal dia bukan sehari, Adi,”

“Adi tahu. Tapi Hanna sedang bersedih. Lagi pula, apa yang buat kanda beria-ia benar hendak bertemu dia?”

“Dia sahabat baik kanda di Mahkota Peribumi. Sesekali bertemu takkan begini jadinya? Selepas dia pulang ke sana, entah bila lagi bersua muka,”

“Masih ada seminggu lagi, kanda. Bersabarlah,” pujuk Putera Hadi.

*

“Kanda Adam mana? Sudah dua hari Ila tidak nampak dia langsung,” tanya Puteri Karmila.

“Di kamar,” balas Putera Hadi ringkas.

“Masih di kamar? Waktu-waktu begini? Bukankah selalunya kanda Adam sudah siap untuk keluar?”

“Demam,” balas Putera Hadi sepatah.

“Demam? Kenapa Ila tidak tahu?” desis Puteri Karmila.

“Ila mahu ke mana pula?”

“Jumpa kanda Adam,” balas Hanna. Putera Hadi ditinggalkan sendirian.

“Bukan di kamar kanda. Di kamar pengubatan,” Putera Hadi memberitahu.

Puteri Karmila mengangguk tanpa menoleh ke arah Putera Hadi.

“Demam cinta agaknya,” bisik Putera Hadi. Dia mengerling ke arah kamar tetamu yang didiami Hanna dan ibunya apabila ternampak seseorang lalu di situ.

No comments:

Post a Comment