Friday, April 8, 2011

Haruskah - 41

Hanna memeluk ayahnya erat-erat. Air matanya mengalir tidak henti-henti. Puas Nadia memujuk, akhirnya dia membiarkan sahaja. Setelah bersalaman dengan Azim, Nadia terus naik ke atas dek. Wajahnya disembunyikan dari pandangan orang sekitar.

“Hanna, janganlah menangis lagi. Ayah belum hendak mati lagilah,” kata Azim.

“Tapi Hanna tidak akan berjumpa ayah lagi. Mati atau tidak, ini pertemuan kita yang terakhir,”

Azim kehilangan kata. Sayu seketika.

Putera Adam memalingkan wajah dan mula melangkah pergi. Dia tidak tega melihat gadis kesayangannya menangis. Nafasnya dihela dalam-dalam. Suara Hanna kian tenggelam. Deru angin sesekali membawakan khabar. Putera Adam tunduk menghayati. Mulutnya kumat-kamit sesaat mendengar namanya dibisikkan bayu.

Dari jauh, Putera Adam melihat Hanna menaiki kapal yang akan membawanya pulang ke Mustika Fansuri. Gadis itu langsung tidak menoleh ke arahnya. Putera Adam segera mendapatkan Azim yang diiringi pegawai penjara.

“Biar beta yang bawa orang ini pulang,”

“Tapi, Tuanku..”

“Kalian ikut dari belakang sahaja,” arah Putera Adam. Dia menarik lengan Azim dan membawanya ke kereta yang sedang menanti.

“Pak cik sudah beritahu Hanna?” tanya Putera Adam.

“Sudah,”

“Apa katanya?”

“Dia mahu Adam sendiri beritahu,”

Putera Adam diam sejenak.

“Agaknya mahukah dia terima Adam?”

“Adam tanyalah kepada Hanna. Saya tidak tahu,”

“Pak cik ayahnya,”

“Saya jarang sangat ada di rumah. Sibuk sangat melakukan kerja-kerja salah untuk kepuasan sendiri. Sampaikan anak isteri terabai. Memang patut saya dihukum sebegini,” desis Azim kesal.

“Semua orang pernah melakukan kesilapan, pak cik. Adam sendiri pun ada buat salah. Buat salah kepada ayahanda, kepada bonda, kepada ibu..”

“Tidaklah sebesar mana. Tangan ini sudah terlalu banyak berlumur darah, Adam. Adam tidak takutkah?” balas Azim.

Putera Adam terdiam.

Sepanjang perjalanan pulang, mereka tidak banyak berkata-kata. Masing-masing melayan perasaan sendiri, dengan cerita sendiri.

No comments:

Post a Comment