Friday, April 29, 2011

Haruskah - 44

“Kanda Adi, tolong panggilkan kanda Adam. Sekarang. Dari tadi ayahanda cari dia. Ila sudah pusing satu istana, tapi dia tidak ada. Kanda pasti tahu dia di mana,” ujar Puteri Karmila.
“Apa lagi yang dia buat kali ini?” desis Putera Hadi. Dia melangkah malas ke kawasan penjara yang terletak berdekatan dengan Mahligai Kayangan. Pengawal peribadinya mengekori dari belakang.
“Tolong panggilkan Tuanku Adam,” arah Putera Hadi kepada pegawai penjara.
Seketika kemudian, pegawai itu muncul bersama Putera Adam.
“Ada apa, Adi?”
“Ayahanda kanda sudah mencari. Apa yang kanda buat berlama-lama di dalam sana?” tanya Putera Hadi.
Putera Adam tidak menjawab. Sebaliknya dia menunjukkan nunchaku yang disembunyikannya di dalam baju.
“Belum habis-habis lagi?”
“Ilmu perlu dituntut selagi ada peluang, dan peluang kanda semakin terbatas. Ayahanda sudah mengesyaki kegiatan kanda,” balas Putera Adam.
“Tapi, Adi terasa pelik. Bagaimana dia boleh tertangkap sedangkan dia ada kemahiran berlawan?”
“Itulah kelemahan nunchaku. Kalau terlalu bergantung kepada alat, apabila tidak ada benda ini, orang itu tidak dapat mempertahankan diri,”
“Tapi kanda masih mahu belajar dengan dia,”
“Pandailah kanda mengaturnya. Nunchaku hanya alat. Praktiknya kita sendiri yang tentukan. Selagi ada kemahuan di sana ada jalannya. Kanda hanya perlu bayangkan sahaja ia ada di tangan kanda dan pergerakan-pergerakannya masih boleh kanda gunakan. Adi sendiri sudah lihat berapa lama kanda boleh bertahan sewaktu kita diserang tempoh hari, bukan?”
“Lama juga. Kalau tidak kerana... Tapi kalau dia boleh ajar kanda sampai ke tahap itu, mustahil dia tidak sempat melarikan diri,”
“Kalau kanda katakan dia memang tidak lari, bagaimana?”
“Dia menyerah begitu saja? Tapi dia melawan juga ketika itu,”
“Kuasa Allah, Adi. Tidak ada siapa pun dapat menjangka. Setiap sesuatu itu bersebab,” desis Putera Adam. Perbualan mereka terhenti di situ.
Puteri Karmila segera mendapatkan kekandanya.
“Kanda, cepatlah! Ayahanda sudah lama cari kanda. Entah apa-apa sajalah yang dibuat di penjara sana. Teringin hendak duduk di situkah?” bebel Puteri Karmila.
Putera Adam memberi isyarat kepada Putera Hadi supaya merahsiakan kegiatannya sebelum menuruti langkah Puteri Karmila. Perlahan-lahan, Putera Hadi juga mengekori langkah mereka setelah melihat Puteri Karmila melambai ke arahnya.
*
“Bonda, ini terlalu awal. Bonda sendiri tahu Adam belum cukup faham selok-belok pemerintahan,” desis Putera Adam.
“Kami semua tahu, Adam. Tapi kita sudah tidak ada pilihan lain. Takkan kita hendak biarkan takhta itu kosong sementara menanti Adam membuat persediaan? Bonda sendiri tidak menyangka semua ini akan terjadi. Apatah lagi dalam sela waktu yang sesingkat ini. Paling awal pun, bonda kirakan dua tahun lagi,” kata Raja Puan Anis. Air yang membasahi pelupuk matanya segera dikesat.
“Patutlah ayahanda selalu paksa Adam ke sana ke mari sekarang. Sedikit-sedikit ayahanda ajar Adam buat keputusan sendiri. Baru dua hari lepas, ayahanda serahkan keputusan mahkamah ke tangan Adam. Rupa-rupanya..”
Jeda sejenak. Masing-masing melayan perasaan.
“Kita jalankan upacara pertabalan esok,” tegas Raja Puan Anis.
“Bonda..” Kata-kata Putera Adam terhenti di situ.
“Adam,” Hasnah memanggil.
Putera Adam menoleh ke arah ibunya.
“Ibu tahu Adam boleh laksanakan tanggungjawab Adam. Adam sudah dilatih sejak kecil untuk menjadi pemimpin. Hatta sewaktu di Mahkota Peribumi,”
“Yakah? Macam tidak ada saja,” Putera Adam sengaja menunjukkan sikap pesimis.
“Adam tidak perasankah, cuma Adam seorang saja pengawas yang selalu buat masalah di sekolah. Asyik datang lambat saja. Ibu yang minta Puan Asma lantik Adam sebagai pengawas. Untuk melatih Adam, juga supaya Adam berubah. Sebab ibu takut pisang berbuah dua kali. Dan ternyata Adam dipanggil pulang,”
“Ibu, janganlah cakap kuat-kuat. Malulah Adam,”
“Hendak malu apa? Semua orang sudah tahu Adam selalu bangun lambat. Bukankah perangai itu terbawa-bawa sejak Adam di sini lagi? Sampai sekarang pun masih begitu,”
Masing-masing membisu semula.
“Adam, Adam kena terima. Ini tanggungjawab Adam. Bonda cuma ada seorang puteri, dan kuasa seorang puteri sangat terbatas,”
“Adi ada. Kenapa bukan Adi sahaja yang jadi raja?”
“Sejak ayahanda Adam mula memerintah lagi Adam sudah dipilih menjadi pewaris takhta. Walaupun Ila dan Adi dilahirkan pada tahun yang sama dengan Adam, sifat kepimpinan yang ada dalam jiwa Adam lebih menyerlah,”
“Tapi Adam bukan anak gahara,”
“Di sini tidak ada peraturan anak gahara atau anak raja asli. Selagi darah diraja mengalir dalam tubuh Adam, selagi itulah Adam layak menjadi raja Indah Laksana,”
“Adam takut, bonda. Kalau terjadi pertelingkahan lagi, bagaimana Adam hendak selesaikan?”
“Bonda jamin tidak akan ada lagi perselisihan seperti yang berlaku di antara ayahanda Adam dengan Raja Long Karim. Bonda ada, Ila ada, Adi juga sentiasa ada di sini untuk bantu Adam,”
Putera Adam membisu. Pandangannya dihalakan ke arah Putera Hadi. Putera Hadi berundur beberapa tapak ke belakang.
“Kanda jangan cuba-cuba paksa Adi. Adi tidak akan termakan dengan pujukan kanda. Hampir setahun Adi cari kanda di Mahkota Peribumi,” Putera Hadi memberi amaran.
“Adam..” Raja Puan Anis bersuara semula.
“Apa lagi pilihan yang Adam ada?” desis Putera Adam.
“Maafkan bonda kalau bonda terlalu memaksa Adam. Bonda berjanji, selepas ini bonda tidak akan masuk campur urusan Adam lagi,”
“Bukan salah bonda,” getus Putera Adam. Dia bangkit meninggalkan kamar peraduan ayahanda dan bondanya. Air matanya gugur satu demi satu.

No comments:

Post a Comment