Friday, April 15, 2011

Haruskah - 42

“Kanda, ayahanda mahu berjumpa kanda sekarang juga,” kata Puteri Karmila. Tanpa mengetuk pintu mahupun memberi salam, dia terus menerpa ke arah Putera Adam. Hatta lampu pun tidak dibuka.

“Kenapa, Ila?”

“Ila tidak tahu. Tadi bonda panggil Ila ke kamarnya. Tapi ayahanda tidak kata apa-apa pun. Ayahanda cuma suruh Ila panggilkan kanda sahaja,”

“Kalau begitu, Ila pergilah dahulu. Sekejap lagi Adam ke sana,” kata Putera Adam.

Setelah Puteri Karmila menghilang di balik pintu, Putera Adam terus bangkit dari peraduannya. Lampu di sisi peraduan dihidupkan. Dia mengerling ke arah jam yang tergantung di dinding.

“Baru pukul dua pagi. Apa yang ayahanda mahukan awal-awal pagi begini?” desis Putera Adam.

Dia mengambil nunchaku yang disembunyikan di dalam kotak kecil di bawah peraduannya. Entah apa tujuannya, Putera Adam sendiri tidak pasti. Yang dia tahu, tidak pernah lagi dia meninggalkan benda itu sejak pulih daripada kecederaan tempoh hari. Trauma, mungkin.

Langkahnya diatur perlahan-lahan ke kamar peraduan Raja Iskandar.

*

Pintu yang sedikit terbuka dikuak perlahan-lahan dari arah luar. Lima pasang mata tertumpu ke arah Putera Adam. Satu persatu Putera Adam merenung kembali. Terakhir pandangannya dipasakkan pada Raja Iskandar.

“Assalamualaikum,” sapa Putera Adam. Masing-masing menjawab dengan tenang. Putera Adam masih di muka pintu.

“Ke mari, Adam,” panggil Raja Iskandar. Tegang saja bunyinya.

Segera Putera Adam mendekat. Kantuk yang tadi menyerang hilang tiba-tiba.

“Ada apa, ayahanda?” Putera Adam menegur takut-takut.

Raja Iskandar diam sahaja. Putera Adam semakin gusar.

“Adam ada buat salahkah?”

Masih bisu.

Putera Adam pandang wajah Puteri Karmila. Tidak ada reaksi.

Hasnah tidak berganjak.

Raja Puan Anis masih serius.

Putera Adam merenung Putera Hadi. Masih tidak ada jawapan.

Tiba-tiba terdengar bunyi orang tertawa. Putera Adam jadi keliru.

“Sudahlah, Adam. Takut benar. Pergilah ambil air sembahyang sana. Kita sembahyang sunat sama-sama,” kata Raja Iskandar.

Putera Adam menarik nafas lega.

“Adam ingatkan apalah tadi,” desis Putera Adam.

*

Keluarga kecil itu duduk membentuk satu bulatan. Putera Adam masih kelihatan tertekan.

“Masih lagi, Adam?” tegur Raja Iskandar.

“Apa yang masih lagi?” balas Putera Adam.

“Cuba tarik nafas dalam-dalam. Lepaskan semua tekanan yang ada. Kami tahu Adam belum boleh terima keadaan sekarang. Jangan memaksa diri. Masih ada masa untuk Adam bersedia,” kata Raja Iskandar.

Putera Adam menurut. Raja Iskandar sekadar memerhati.

Deruan bayu yang masuk melalui jendela mendinginkan suasana. Sesekali kedengaran geseran dedaun dari pohon-pohon rimbun di taman terlarang. Bisikan angin begitu mendamaikan.

“Sudah lega?” tanya Raja Iskandar.

Putera Adam mengangguk kecil. Bibirnya dipaksa mengukir senyum. Sunyi seketika.

“Kenapa tipu Adam?” Putera Adam mula bersuara semula.

“Siapa yang tipu Adam?” Raja Iskandar memulangkan soalan.

Putera Adam diam.

“Adam rasa tertipu?”

Angguk.

“Kenapa?”

“Adam betul-betul takut tadi. Sudahlah bangunkan Adam tengah-tengah malam. Disergah lagi. Sampai di sini pula, semua buat tidak tahu saja bila Adam tanya,”

Raja Iskandar tertawa lagi.

“Ila kata apa tadi?”

“Dia kata ayahanda panggil Adam. Ketuk pintu tidak. Beri salam pun tidak. Tahu-tahu dia sudah di depan Adam saja. Adam baru saja terlelap. Terperanjat Adam dibuatnya,”

“Ila sendiri pun tidak tahu apa-apa. Ayahanda suruh bonda jenguk dia, rupanya dia belum tidur lagi. Ayahanda suruhlah dia bangunkan Adam sekali. Sudah alang-alang terjaga awal-awal pagi, apa salahnya sembahyang sunat? Lagipun, belum pernah lagi kita berkumpul begini satu keluarga. Kalau menunggu hari siang, entah bila masanya. Adam ke utara, ayahanda di selatan,”

Putera Adam mengangguk mengerti.

“Masih terlalu banyak yang Adam belum tahu tentang keluarga kita,” desis Putera Adam.

No comments:

Post a Comment