Friday, May 6, 2011

Haruskah - 45

“Alex, awak sudah baca akhbar hari ini?” tanya Hans. Alex yang sedang asyik meneliti papan litar terus menoleh.

“Apa yang menarik sangat?”

“Raja Adam Qushairy Pengganti Raja Iskandar,” Hans membacakan tajuk besar berita.

“Apa dia? Cuba awak ulang sekali lagi,” pinta Alex. Dia mendekati Hans dan merampas akhbar di tangan Hans. Hans membiarkan sahaja.

“Sahabat kita sudah jadi raja,” ujar Hans.

“Macam tidak percaya sahaja. Cepat benar rasanya masa berlalu. Saya rasa macam baru semalam kita kenal dia,”

“Sudah lebih empat tahun, Alex. Sekarang masing-masing sudah bawa haluan sendiri. Awak dengan alat ciptaan awak. Saya dengan dunia penulisan saya. Hanna di sekolah sukan..”

“Adam pula duduk di atas singgahsana. Pakar ilmu hisab kita sekarang memegang tampuk kerajaan. Belum cukup umur lagi dia itu,”

“Belum cukup umur pun, Adam putera raja. Siapa lagi yang hendak menggantikan tempat ayahandanya?”

“Saya tahu. Takkan hendak suruh awak naik takhta? Habis seluruh negeri jadi seperti alam khayalan,”

“Eh, saya buat cerita bukan berdasarkan khayalan, sahabat! Semua yang saya tulis itu berlaku di sekeliling kita,”

“Saya bergurau sajalah. Awak ini cepat benar naik angin,”

Alex duduk kembali di meja kerjanya. Papan litar yang ditelitinya tadi diambil kembali.

“Awak ada hubungi Hanna?”

“Belum lagi. Kenapa awak tanya?”

“Saya mahu beritahu dia tentang Adam,”

“Awak buatlah. Nanti saya asyik bergaduh saja dengan dia kalau saya yang bertelefon,”

“Awak memang begitu, Alex. Sejak dulu lagi tidak pernah aman dengan Hanna. Mengalahkan anak kecil saja,” desis Hans.

No comments:

Post a Comment