Wednesday, March 10, 2010

Haruskah - 2

Puteri Karmila memandang dengan perasaan teruja setiap sudut padang itu. Pertama kali dia ke situ. Sesekali dia melihat Adam seperti sedang berlumba dengan ayahandanya.

“Inang, Ila mahu bermain juga,”

“Tidak boleh, Tuanku Puteri. Nanti bonda Tuanku murka pada hamba,”

“Inang janganlah beritahu pada bonda,” desak Puteri Karmila.

Melihat riak Puteri Karmila yang terlalu mengharap, Laila mendekati Raja Iskandar yang sedang menuntun kuda tunggangan Adam ke tepi padang.

“Ada apa, Laila?” Raja Iskandar menyoal.

“Tuanku Puteri hendak menunggang kuda, Tuanku,” Laila memberitahu.

“Bawa Puteri Karmila ke mari,” arah Raja Iskandar. Laila mengangguk dan segera mendapatkan Puteri Karmila.

“Bagaimana?” tanya Puteri Karmila. Sepertinya dia sudah tahu jawapan yang diberikan oleh ayahandanya.

“Marilah. Ayahanda Tuanku membenarkan,”

Puteri Karmila hampir melompat kegirangan. Dia mendahului Laila mendapatkan ayahandanya. Raja Iskandar memimpin tangan Puteri Karmila ke arah salah satu bangsal yang ada di situ. Bangsal itu terletak agak terasing daripada bangsal kuda yang lain.

“Kuda ini ayahanda belikan untuk Ila,” Raja Iskandar memberitahu. Baginda meletakkan tali kekang kuda di tangan Puteri Karmila.

“Benarkah?”

Raja Iskandar mengangguk.

“Memang ayahanda carikan kuda ini untuk puteri kesayangan ayahanda,”

Puteri Karmila mendekati kuda kenit berwarna putih itu dan meletakkan tangannya di kepala kuda itu.

“Tengoklah. Kuda ini cepat mesra dengan Ila. Dengan Adam dia tidak mahu,” ujar Iskandar lagi.

 “Kuda jantan, memanglah begitu. Dia pun kenal kita juga. Bukannya manusia sahaja yang tahu membezakan jantan betina,” Adam mencebik.

* * * * * * * * * *


“Ila, dinda sudah tidurkah?” tanya Adam. Beberapa kali dia memanggil sebelum Puteri Karmila menjawab dengan nada malas.

“Ila penatlah, kanda. Esok sahajalah kita berbual,” kata Puteri Karmila. Adam tertawa kecil tatkala mendengar alasan yang diberikan oleh adindanya.

“Lain macam saja bunyinya,” usik Adam.

“Dinda mengantuklah. Kanda pergilah tidur,”

“Itulah, Ila. Dulu kanda cakap kanda penat seharian di luar, tapi dinda tidak mahu percaya.”

“Diamlah. Nanti Ila buang bateri ini,” Puteri Karmila mengugut.

“Buang sajalah. Aman sikit hidup kanda. Tidaklah kanda kena berjaga malam lagi selepas ini,” Adam menggiat.

Puteri Karmila diam tidak membalas, tetapi Adam tahu adindanya tidak mematikan alat perhubungan yang ada padanya.

“Baiklah, sayang. Pergilah tidur,” kata Adam lalu menyimpan alat perhubungan itu di dalam kotak kecil di bawah peraduannya.

“Sekarang insomnia Ila sudah berjangkit ke kamar ini,” keluh Adam. Setelah beberapa ketika, Adam mengenakan pakaian dan menyusup keluar dari kamar peraduannya.

* * * * * * * * * *

Puteri Karmila sudah semakin cekap mengendalikan kuda putihnya. Beberapa kali Adam dikalahkan apabila mereka berlumba. Raja Iskandar juga tidak melarang apa saja taktik baru yang dicuba oleh puterinya itu.

“Ila, tunggulah!” jerit Adam. Puteri Karmila semakin jauh ke dalam hutan di tepi padang tempat mereka bermain. Derap tapak kaki kudanya semakin sayup.


Adam menyusuri laluan yang diambil oleh Puteri Karmila. Raja Iskandar mengekori mereka dari belakang. Tiba-tiba mereka terdengar jeritan. Adam memacu kudanya lebih pantas. Raja Iskandar pula menyusuri laluan lain ke arah suara itu.

“Ila!” Adam memanggil. Dia cuba mencari adindanya di balik rimbunan pepohon.

“Adam! Di sini!”

Adam segera menuju ke arah ayahandanya. Puteri Karmila sedang menangis di pangkuan Iskandar.

“Kenapa dengan Ila?” tanya Adam.

“Panggilkan Laila,” arah Raja Iskandar. Dia langsung tidak menoleh pada Adam.

* * * * * * * * * *


“Kenapa dengan Ila, kanda?” tanya Raja Puan Anis. Wajah puterinya yang pucat direnung seketika.
Raja Iskandar diam tidak membalas. Puteri Karmila segera dibawa bertemu doktor diraja. Raja Puan Anis melangkah perlahan-lahan di belakang mereka.

“Adam, tunggu,”

Langkah Adam terhenti. Dia menoleh ke arah Raja Puan Anis.

“Ada apa, bonda?”

“Kenapa dengan Ila? Kalian ke mana tadi?”

“Err..”

“Adam, tolonglah beritahu bonda,”

“Adam tidak tahu. Ayahanda yang jumpa Ila tadi. Bila Adam sampai, ayahanda terus suruh Adam panggilkan inang,”

Raja Puan Anis mengeluh berat. Persoalan yang timbul di benaknya belum lagi terjawab.

“Panggilkan inang,”

Adam meninggalkan Raja Puan Anis. Seketika kemudian, dia kembali bersama Laila.

“Kenapa dengan Puteri Karmila, Laila?”

“Tuanku Puteri terjatuh, Tuanku,”

“Jatuh di mana?”

“Dekat padang latihan, Tuanku,”

“Puteri Karmila dibawa ke padang latihan?”

“Benar, Tuanku,”

Raja Puan Anis mendapatkan Raja Iskandar dan Puteri Karmila di bilik pengubatan. Adam turut melangkah setelah bondanya agak  jauh di hadapan.

4 comments:

  1. Awk ni buat suspen jer....apa jd kt Ila?=)

    ReplyDelete
  2. saya nak hadiah misteri saja tak nak komen!

    ReplyDelete
  3. dapat hadiah, kalau komen ye?? saya dah komen nak hadiah:)

    ReplyDelete
  4. Mana ada awak komen cahaya berliku!

    ReplyDelete