Thursday, March 18, 2010

Haruskah - 5

“Bagaimana dengan Adam?” tanya Raja Puan Anis sebaik sahaja melihat kelibat adindanya.

“Maafkan adinda, kanda. Adam tidak dapat diselamatkan. Dia mohon untuk pergi dari sini,”

“Dinda ceritakan segala-galanya pada Adam?” Raja Iskandar pula yang bertanya.

“Ya, kecuali hal yang hanya kita bertiga tahu,” balas Raja Ismaail.

“Agaknya siapa lagi yang boleh memujuk Adam?”

“Entahlah. Puteri Karmila di mana, kanda?”

“Sudah di peraduannya. Penat kanda pujuk baru dia terlelap,” desis Raja Puan Anis.

“Sekarang bagaimana?”

“Kita terpaksa lepaskan Adam. Paling tidak, pertikaian kita dengan Raja Long akan selesai,” kata Raja Iskandar.

“Kanda mampu lupakan Adam?” Raja Ismaail menyuakan soalan. Raja Iskandar tertunduk.

“Kita pulangkan Adam kepada ibunya,” Raja Puan Anis mencadangkan.

“Dinda..” tegur Raja Iskandar.

“Itu sahaja cara yang terbaik. Lagipun, seorang ibu lebih berhak ke atas anaknya daripada orang lain,”

“Adakah itu bermakna kanda tidak akan pernah bertemu Adam lagi?” tanya Raja Iskandar.

“Hanya takdir yang menentukan,” balas Raja Puan Anis.

* * * * * * * * * *

"Kanda Adam, janganlah tinggalkan dinda. Dinda  tidak ada teman selain kanda," pujuk Puteri Karmila. Adam keraskan hati. Dia tidak mahu mendengar rayuan Puteri Karmila lagi.

"Jangan pujuk Adam lagi, Puteri Karmila. Adam bukan kekanda Tuanku. Benarkan Adam menjejaki ibu bapa kandung Adam. Takhta dan segala kemewahan itu bukan milik Adam. Semuanya milik keluarga Puteri," putus Adam.
Puteri Karmila menangis semahu-mahunya. Dia memeluk bondanya dengan erat.

"Tuanku, benarkan Adam pergi tanpa pengiring. Adam tidak ada hak untuk dijaga seperti ini," kata Adam sewaktu matanya bertentang dengan mata Raja Iskandar. Lelaki itu tidak sempat membantah apabila Adam terus berkata-kata.

"Halalkan air susu yang Adam minum, makanan yang Adam makan dan pakaian yang Adam pakai. Tidak mungkin Adam dapat menggantikan semuanya," ujar Adam pada Raja Puan Anis. Wanita itu cuba mendakap Adam.

"Jangan sentuh Adam lagi," bantah Adam.

"Puteri Karmila, jaga martabat keluarga Puteri. Jangan cari Adam lagi. Adam tidak mungkin balik ke Mahligai Kayangan. Tempat Adam bukan di sana,"

Dengan kata-kata itu, Adam meninggalkan keluarga angkatnya dan masuk ke dalam balai berlepas lapangan terbang Mustika Fansuri. Pengawal yang ditugaskan oleh Raja Iskandar untuk mengiringinya cuba mengekori tetapi Adam menghalang.

"Biarkan. Kalau itu permintaan terakhirnya sebagai anakanda beta, biarkan dia bebas membuat pilihan," ujar Raja Iskandar apabila pengiring itu kembali dengan aduannya. Matanya sendiri sudah memerah menahan sebak. Anak yang sering dikendongnya sewaktu masih bayi kini sudah pandai membuat keputusan sendiri biarpun usianya belum mencecah 12 tahun. Alangkah cepatnya anak itu matang walaupun dalam didikan istana yang sepertinya memanjakan Adam.

Berbekalkan alamat terakhir ibu kandungnya yang disimpan oleh Raja Puan Anis dan sekeping gambar, Adam cuba menjejaki ibu kandungnya. Arah tujuan Adam adalah Mahkota Peribumi.


*Ikuti kisah seterusnya. Sila tinggalkan komen anda. Terima kasih kerana sudi membaca. Entri kali ini pendek sahaja.

4 comments: