Monday, April 5, 2010

Haruskah - 10

“Ini borangnya. Kau isilah. Kau tahu tulisan aku macam mana. Nanti ada pula yang tidak puas hati kalau ada nama yang tersilap eja atau silap baca. Lagipun, aku tidak mahu terlibat,”

Adam memberikan borang di tangannya kepada Alex. Setelah membaca beberapa perenggan, Alex mengambil pen dan mengisi borang itu.

“Cepatnya kau buat keputusan. Tidak menyesalkah nanti?” tegur Hanna.

“Tidak. Aku pasti dengan apa yang aku buat. Kalau kau tidak mahu ikut, aku cari orang lain. Hans, kau bagaimana?”

“Kau boleh tanya aku macam itu? Mestilah aku mahu ikut serta. Rugilah kalau aku tidak sertai pertandingan ini. Barangnya sudah ada, sudah diuji,”

“Aku takut ketahuan,” ujar Hanna.

“Apa yang ketahuan? Kerja kita hari itu? Kelakarlah kerja itu. Mesti mereka syak itu kerja pelajar kelas satu,” balas Alex.

“Itulah kau orang. Hendak sangat buat kerja gila itu. Mujur saja kau orang tidak ambil kertas soalan kelas dua. Kau tengok apa sudah jadi sekarang? Semua pelajar kelas satu didenda membersihkan sekolah setiap pagi sampai ada pelajar yang mengaku menceroboh bilik guru,” ujar Hanna.

“Huh! Kau juga yang beria-ia mahu ikut hari itu. Kononnya kalau aku tidak benarkan kau ikut kau mahu laporkan pada pengetua,” gerutu Alex.

“Sudahlah itu. Kalian hendak buat projek sama-sama, tapi bila ada kesilapan, mulalah bergaduh. Kalau terus-terusan begini, batalkan sajalah projek ini. Nanti ada pula yang bertekak kalau tidak menjadi,” getus Adam.

“Eh, janganlah begini! Aku janji aku takkan cari gaduh dengan Alex lagi. Tolonglah benarkan aku ikut,” Hanna merayu.

“Kau jangan tanya aku. Alex yang jadi ketua untuk projek ini. Kau tanyalah dia,” ujar Adam.

“Lex?”

Hanna memandang wajah Alex dalam-dalam.

Dia menghela nafas berat.

“Tadi beria-ia tidak mahu ikut. Takut konon. Kau jangan buat hal pula nanti,” ujar Alex. Dia menulis nama Hanna di dalam borang penyertaan itu.

        *        *        *        *        *

Hanna baru pulang dari latihan bola keranjang yang terakhir untuk musim itu. Perlawanan akan diadakan keesokan harinya.

Keadaan di sekitar tempat itu sunyi sepi. Hanya beberapa tempat yang diterangi lampu. Hanna memeluk bola keranjang yang dibawanya erat-erat.

“Menyesal rasanya tidak pulang bersama Puan Linda tadi,” getus Hanna.

Dia memandang ke sekeliling.

Seorang remaja lelaki sebayanya berjalan dengan pantas dari arah hadapan. Hampir saja dia merempuh Hanna.

“Ada apa dengan dia?” tanya Hanna sendirian. Dia menoleh ke belakang, mencari-cari kelibat remaja itu. Derap langkah kedengaran lagi. Kali ini sepertinya lebih ramai.

“Wah, cari anak udang dapat ikan besar!” ujar seorang lelaki.
Hanna berpaling. Tiga orang lelaki sebayanya sedang memerhatikan tingkahnya. Hanna kecut perut.

“Hai, sayang! Buat apa berjalan seorang diri tengah-tengah malam begini?” usik lelaki yang berdiri betul-betul di hadapan Hanna.

Hanna meneguk liur.

Ketiga-tiga lelaki itu mendekat.

Hanna cuba menjerit, namun suaranya terasa tersekat di kerongkong.

Apakah yang akan terjadi kepada Hanna?

3 comments:

  1. Ahaha.. ada la..

    "Hans, kau bagaimana?"

    ngee..

    ReplyDelete
  2. 'Oh, tidak!' jerit lelaki terakhir yang teruk dibelasah Hana.

    Hana telah mengeluarkan jurus terakhir yang diajar oleh Guru Yayah. Seraya dengan itu, Hana tergesa-gesa pulang ke rumah untuk mengelakkan disyaki sebagai saspek pembunuhan.

    ReplyDelete