Thursday, May 6, 2010

Haruskah - 12

“Adam, belikan saya akhbar,”

“Tapi, awak bukannya sempat baca nanti,”

“Belikan saja. Habis perlawanan petang ini saya bacalah. Awak jangan tidak datang pula,” pesan Hanna sebelum memutuskan talian.

“Macam tahu-tahu saja saya datang lambat hari ini,” desis Adam.

Dia bangkit dari katilnya.

Pintu bilik dikuak dari luar.

“Adam! Baru bangunkah? Tahukah jam sudah pukul berapa sekarang? Adam tidak sembahyang Subuhkah tadi?” tanya Hasnah bertalu-talu.

“Sudah. Adam tertidur baliklah tadi, ibu. Pagi ini guru-guru ada mesyuarat. Tidak mengapa kalau Adam datang lambat sedikit,”

“Pengawas bagaimana Adam ini? Datang lambat ke sekolah! Sudah! Pergi mandi sana!” arah Hasnah.

“Baik, bu,” balas Adam.

Selesai mandi dan  bersarapan, Adam meninggalkan rumah. Tidak lupa dia menyalami Hasnah sebelum berangkat ke sekolah.

“Hanna minta surat khabar tadi,” bisiknya sendiri. Dia singgah sebentar di kedai runcit berdekatan sekolah.

“Kenapa saya macam pernah nampak dia?” desis Adam setelah membelek beberapa mukasurat. Deringan loceng pertama dari sekolah menggesanya supaya segera tiba. Tepat-tepat ketika Adam melangkah masuk ke pekarangan sekolah, loceng kedua dibunyikan.

“Nyaris-nyaris saja,” desis Adam. Wajah Alex yang kegeraman langsung tidak diendahkan.

“Mujur saya yang terlambat tekan loceng selama seminit. Kalau tidak, saya sendiri akan heret awak jumpa Puan Asma. Asyik lambat saja!” gerutu Alex. Adam hanya tersengih.

“Saya tertidurlah, Alex,” balas Adam lalu meneruskan langkah ke kelas.

*

“Alex, awak ada nampak Hanna? Dia tidak datangkah hari ini?” tanya Adam. Sudah dua waktu berlalu namun kelibat Hanna langsung tidak kelihatan.

“Awak lupakah? Hari ini dia ada perlawanan di sekolah di simpang sana. Sekarang tentu dia sedang berlatih,”

“Tapi pagi tadi dia telefon suruh saya belikan akhbar. Bagaimana saya hendak jumpa dia?”

“Awak pergi sahajalah ke gelanggang di belakang sekolah sana. Dia selalu buat latihan di situ. Macamlah awak tidak biasa ikut dia berlatih,”

“Lupa pula saya. Eh, Hans ke mana pula?”

“Yang itu, saya tidak tahu. Agaknya demamnya makin teruk. Semalam badannya panas saja. Saya ingat petang ini saya hendak ke rumah dia. Awak mahu ikut?”

“Saya tidak boleh pergilah. Saya sudah berjanji dengan Hanna hendak tengok perlawanan itu. Mujur awak ingatkan,”

“Hei, asyik berkepit saja kalian berdua,” gerutu Alex.

“Saya dan Hanna tidak ada hubungan apa-apa. Awak jangan salah faham pula,”

“Tapi awak sudah jatuh hati pada dia, bukan? Kenapa awak tidak beritahu dia?” ujar Alex.

“Tidak mahulah saya. Nanti apa pula yang dia fikir,” balas Adam.

Adam mencoret sesuatu pada buku rampaiannya.

“Alex, jawab soalan lima!” arah Puan Akma.

Alex terdiam. Dia memandang Adam.

Adam tidak menoleh.

“Awak kenakan saya!” getus Alex lalu bangkit dari kerusinya.

Adam tersengih sendiri.

“Dua-kosong!” desis Adam sebelum Alex berlalu.

*

Hanna menyambut akhbar yang dibawakan Adam dan membeleknya dengan rakus. Adam duduk di sisinya.

“Tidak sangka betul,” desis Hanna.

“Ada apa, Hanna?” tanya Adam.

“Awak lihat ini. Tiga orang remaja ditahan malam tadi kerana disyaki mengedar ganja dan membunuh dua lelaki, juga terlibat dalam kegiatan penyeludupan bahan berbahaya. Mereka sebaya kita,”

“Dari mana awak tahu berita ini akan keluar hari ini?”

“Susah saya hendak terangkan. Eh, Puan Linda sudah panggil! Saya pergi dulu,”

Hanna meninggalkan Adam yang masih penuh tanda tanya.

“Kenapa saya macam pernah nampak dia ini?” desis Adam. Dia merenung gambar yang dilihatnya pagi tadi sementara menanti waktu rehat separuh masa Hanna.

“Bukankah ini putera Raja Ismaail? Ah, sudahlah! Mungkin pelanduk dua serupa saja,” bisik Adam sendiri.

*

Alex merenung kembali pelan yang telah disiapkannya untuk mengubah bahagian dalam alat pemecah kod yang digunakan semasa memecah masuk ke bilik guru tempoh hari. Risau juga dia andai rahsia mereka terbongkar.

“Buat apa lagi awak atur benda itu? Bukankah kita sudah uji keberkesanannya?” bidas Hanna semasa mereka berkumpul di rumah Hans membincangkan tentang projek itu.

“Saya bimbang perbuatan kita diketahui. Memang asalnya saya mahu hantar begitu saja. Tapi sekarang sudah ada pengesan identiti pemecah kod. Saya terpaksa ubahsuai. Atau, awak mahu ditangkap polis? Saya tidak sanggup.”

“Ah, setakat tahanan sementara,” ujar Hanna separuh berbisik.

“Awak pergilah sendiri. Awak saja yang perempuan. Kami bertiga. Tapi saya tetap tidak mahu ke sana. Buruk rekod saya, susah pula hendak dapat kerja nanti,”

“Yalah. Saya mengalah. Tapi nanti awak buatlah sendiri. Saya sudah penat. Boleh saya tarik diri dari projek ini?” tanya Hanna.

“Eh, hari itu awak sendiri yang beria-ia hendak ikut. Sekarang, mana semangat awak?” kata Hans cuba memujuk.

“Saya sudah ada tanggungjawab lain. Perlawanan saya sudah sampai ke peringkat ketiga. Kalau berjaya, kami akan berlatih dengan melawan pasukan pemain negara lain. Mungkin saya ada peluang untuk mewakili negara pula nanti,” balas Hanna.
Alex mendengus.

“Dasar perempuan!” desisnya perlahan. Hanna yang terdengar rungutan Alex terus keluar dari bilik itu tanpa berkata apa-apa lagi.

“Hanna!” Adam memanggil. Dia cuba mengejar tetapi langkahan kaki Hanna terlalu pantas. Sesuai dengan tarafnya sebagai atlet kebanggaan sekolah. Tercungap-cungap Adam dibuatnya. Maklum saja dia sudah lama tidak beriadah.

*

Hanna menutup pintu pagar rumahnya setelah meletakkan beg yang dibawanya di atas kerusi. Kemudian, dia duduk di buaian yang diletakkan di hadapan rumah untuk menghilangkan lelah dan amarah yang masih berbaki. Bunyi enjin kereta berhenti di hadapan rumah menyentaknya.

Seorang lelaki berkaca mata hitam mendekati pagar rumah yang baru dikunci.

“Awak cari siapa?” tanya Hanna.

Remaja lelaki itu menanggalkan kaca mata yang dipakainya dan menyimpannya di dalam kocek.

“Awak,” balas Adi.

“Saya ingatkan siapalah tadi. Ada apa awak cari saya?”

“Saya mahu pastikan awak selamat. Ada orang di dalam?”

“Tidak. Ibu bapa saya bekerja,”

“Baguslah awak kunci pintu. Tidak adakah orang cari awak beberapa hari ini?”

“Tidak ada, selain kawan-kawan saya,”

“Lega rasanya,” ujar Adi. Dia bersandar pada kereta.

“Awak pandu sendirikah kereta ini?”

“Tidak adalah. Saya belum cukup umur lagi untuk ambil lesen, walaupun saya sudah pandai memandu,”

“Berapa umur awak?”

“15 tahun,”

“Jadi, kita sebaya?”

“Yakah?”

Hanna sekadar membalas dengan anggukan.

“Saya sedang cari seseorang. Tapi saya sudah lama tidak berjumpa dengan dia. Awak boleh bantu saya?”

“Kalau awak ada gambarnya, mungkin saya boleh bantu,” balas Hanna.

Adi mengeluarkan sekeping gambar dari dalam sakunya.

“Ini gambarnya. Tapi mungkin tidak berapa jelas. Gambar ini pun sudah agak lama juga,”

Hanna cuba mengecam kanak-kanak lelaki yang ditunjukkan oleh Adi.

“Awak kenal dia?”

“Saya tidak tahu. Mungkin wajahnya sudah berubah,”

“Mungkin juga. Tidak mengapalah kalau awak tidak kenal. Agaknya memang nasib saya begini. Nampaknya terpaksalah saya mencari lagi,” ujar Adi kesal. Dia melangkah ke tempat duduk di sebelah pemandu.

“Eh, gambar ini..”

“Awak simpanlah. Mungkin awak akan jumpa dia nanti,”

“Bagaimana saya hendak hubungi awak kalau saya terjumpa dia?”

“Nombor telefon dan alamat saya ada di belakang gambar itu. Saya pergi dulu,” ujar Adi sebelum menutup pintu. Kereta yang dinaikinya meluncur meninggalkan rumah itu. Hanna merenung gambar itu sekali lagi sebelum menyimpannya di dalam beg.
___________________________________________________

Adakah Hanna akan menunjukkan gambar itu kepada teman-temannya??

2 comments:

  1. yeah, mesti dy tunjuk..
    n yg tu gambar adam kn??

    mesti da sumting hppnd yg adi nak bgtw..
    mybe psal karmila??

    ReplyDelete