Thursday, August 12, 2010

Haruskah - 22

“Bagaimana dengan ibu?”

“Ibu juga sudah dibenarkan pulang ke Indah Laksana. Malah ke Mahligai Kayangan,” Puteri Karmila memberitahu.

Adam mengeluh berat.

“Benarkan Adam berfikir dahulu,” pinta Adam. Dia masuk ke biliknya dan mengunci pintu walaupun dia sedar Puteri Karmila boleh masuk tanpa sebarang halangan.

“Biarkan, Ila. Mungkin Adam belum bersedia menerima kenyataan,” Hasnah menghalang apabila Puteri Karmila bangkit dan menuju ke pintu bilik Adam.

“Tapi, ayahanda..” Suara Puteri Karmila kedengaran gusar.

“Ibu tahu, Ila. Ibu juga risaukan ayahanda kalian. Dia masih suami ibu. Marilah, kita tidur,”

*

“Hans, ada surat untuk awak. Saya terjumpa di bilik kaunseling tadi,”

Hans menyambut surat yang dihulurkan Hanna dan membacanya.

“Ada apa, Hans?” tanya Alex.

“Jemputan ke Persidangan Penulis Muda Serantau!”

“Bila?”

“Sebulan selepas Peperiksaan Kelas Tiga,”

Adam mengeluh.

“Awak kenapa? Sejak tadi saya lihat awak duduk bermenung,” tegur Hanna.

“Dia bimbangkan awak,” ujar Hans. Adam mencerlung memandang Hans.

“Untuk apa pula?”

“Awak kena pergi ke sekolah sukan. Selepas ini dia tidak boleh berjumpa awak seperti selalu,” Hans menyambung.

“Sudahlah Hans. Jangan bercakap yang bukan-bukan,” kata Adam. Dia meninggalkan teman-temannya.

“Hans, awak pandai-pandai saja. Tengoklah. Adam sudah merajuk.” getus Hanna.

“Tidak. Saya serius. Dia ada hati pada awak.”

“Hans,” Alex menegur apabila melihat wajah Hanna yang cerah merona kemerahan.

*

“Bagaimana dengan kanda Tuanku?”

“Belum lagi, Inang. Kanda belum mahu pulang ke Mahligai Kayangan. Dia mohon waktu untuk berfikir,”

“Tapi, ayahanda Tuanku sudah berkali-kali memanggil kita pulang. Raja Ismaail juga,”

“Kita tidak boleh berputus asa. Tujuan kita ke mari adalah untuk membawa kanda Adam pulang ke Mahligai Kayangan. Selagi kanda Adam tidak mahu mengikut, Ila tidak akan pulang. Itu janji Ila pada ayahanda. Ila tidak boleh bertemu ayahanda lagi sebelum kanda Adam menghadap ayahanda. Sudah sekian lama Ila rancangkan semuanya. Ila akan pastikan kanda Adam pulang bersama kita,”

“Aduhai, apa yang patik hendak jawab kalau ayahanda tuanku berdua menelefon lagi?”

“Katakan saja kami sudah bertemu kekanda Adam. Beritahu saja pada ayahanda sejujur-jujurnya. Pasti ayahanda tidak akan marah. Inang percayalah. Minggu hadapan kita akan balik ke Mahligai Kayangan,”

Laila terdiam. Sikap degil Puteri Karmila tidak berubah langsung sejak kecil.

*

Hanna duduk sendirian di kerusi penonton yang diletakkan di tepi gelanggang. Bola keranjang yang dibawanya diletakkan di sisi. Suasana rembang petang belum menggamitnya untuk pulang.

“Teringat siapa, Hanna?”

1 comment: